BELAJAR MENJADI "KEDEKUT"


Maksud kedekut di sini ialah anda tidak memberi atau membayar kepada orang lain melainkan setelah membayar kepada diri sendiri terlebih dahulu.Ini membawa maksud anda telah menyimpan beberapa persen dari pendapatan anda terlebih dahulu sebelum dibelanjakan.Lagi besar persennya lagi baik (ikut kemampuan)

 Konsep yang salah ialah kita belanja dahulu pendapatan kita  kemudian ada lebih baru simpan.Selalunya jarang yang dapat disimpan melainkan hanya beberapa bulan sahaja.

Penulis ingin kaitkan hal ini dengan apa yang sedang melanda kita iaitu pandemik covid-19.Seandainya kita amalkan amalan 'kedekut' ini dan telah lama kita lakukan contohnya sepuluh atau lima belas taun yang lalu nescaya pada masa sekarang kita tidak akan merasa susah dengan izin Allah kerana simpanan yang telah kita buat boleh digunakan sekarang.

Yang banyak menimbulkan masalah sekarang ialah tiadanya simpanan atau dengan ungkapan lain kita tidak mengamalkan 'kedekut' pada masa yang lalu sehingga semua pendapatan dibelanjakan dan tiada simpanan langsung.Orang kata kais pagi makan pagi kais petang makan petang.Kita tidak sediakan payung sebelum hujan. Tidak menyimpan bukan kerana cukup pendapatan tetapi kita tak ada sikap atau niat mahu menympan sehingga semua pendapatan dibelanjakan.sebelum bulan habis duit telah habis. Kalau memang tak cukup makan pakai itu soala lain,yang banyak berlaku ialah makan pakai memang cukup tetapi kita membelanjakan duit lebihan kepada perkara yang bukan daruriat atau hajiat.

Kalau kita melihat konsep berbelanja dalam ajaran Islam ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu Daruriat, Hajiat dan tahsiniat.Daruriat bermaksud kita belanja kepada perkara yang memang perlu dibelanja seperti makan pakai,kesihatan dan lain-lain.Hajiat ialah keperluan-kepeluan asas yang memang kena ada seperti kita berbelanja kepada kenderaan, elektrik, telefon internet dan lain-lain dan tahsiniat ialah perbelanjaan yang selain dari keduanya tadi iaitu untuk mencantikkan sahaja kehidupan contoh berbelanja membuat rumah yang besar sedangkan rumah yang sederhanapun sudah memadai kerana kita masih boleh hidup selesa.Berbelanja kepada membeli perabot-perabot baharu semasa hari raya sedang perabot lama masih baik dan boleh digunakan dan sebagainya. Lebih parah kita sanggup berhutang dalam membeli perkara-perkara dalam kkategori tahsiniat.Ini yang menyebabkan kita parah apabila sesuatu musibah diluar jangka berlaku sedangkan kitika itu kita dikelilingi dengan hutang-hutang yang tidak perlu

Selain dari itu kita perlu kepada pelaburan bagi mengelakkan tekanan inflasi.Pelaburan wajib dilakukan dalam bentuk pelaburan patuh syariah yang banyak dalam pasaran sekarang.Kita tidak boleh berharap kepada pendapatan gaji sahaja kerana macam-macam boleh berlaku.Oleh itu sewajarnya kita melindungi ekonomi kita dengan melakukan pelaburan tidak kiralah pelaburan jenis apa asalkan ia patuh syariah.antara jenis pelaburan yang bagus setakat ini ialah pelaburan dalam hartanah dan pelaburan emas

Selain itu juga kita perlu mengambil pelan takaful yang banyak berada di pasaran sekarang.Ia sangat penting sekiranya kita dilanda musibah seperti ditimpa penyakit-penyakit kritikal yang mengancam nyawa.Sudah tentu untuk mengubati penyakit-penyakit ini memerlukan perbelanjaan yang buka sedikit jumlahnya.

Penulis sendiri ada pengalaman ini di mana tahun lepas seorang ahli keluarga penulis dihinggapi penyakit kanser.Alhamdulillah dengan adanya pelan takaful yang penulis ambil sebelum ini dapatlah menampung belanja perubatan yang sangat besar.Setakat ini telah beratus ribu telah dibelanjakan.Bayangkan sekiranya penulis tidak ada mengambil polisi takaful  tsudah tentu duit simpanan tidak tertampung untuk menguruskan perubatan yang sangat besar jumlahnya.Mahu bergolok bergadai untuk membayar belanja perubatan

Sebagai panduan kita kisah nabi atau sirah nabi-nabi wajar dijadikan pedoman. Kalau kita menyoroti sirah nabi, kita akan jumpa kisah nabi Yusof yang diceritakan oleh Allah melalui firmannya dalam surah Yusof ayat 47-49 yang bermaksud

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47)

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).(48)

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.(49)

Kisah ini merupakan tafsiran mimpi yang dilakukan oleh Nabi Yusuf AS di dalam penjara apabila rakan sepenjara baginda yang telah datang kepadanya untuk ditafsir mimpi Raja Mesir.

Mesir telah berjaya bertahan dan mendepani cabaran kemarau teruk untuk tempoh tujuh tahun. Kejayaan Mesir ini turut dikongsi oleh seluruh Timur Tengah yang mendapatkan bantuan Mesir yang juga berdepan dengan situasi yang sama termasuk Palestin.

Melihat kejayaan Mesir dalam usaha berhadapan dengan krisis kemarau panjang yang berlarutan, ia adalah hasil usaha dan idea Nabi Yusuf AS yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir. Beberapa formula telah disusun oleh Nabi Yusuf AS agar Mesir mampu bertahan ketika musim kemarau tersebut.

Formula kejayaan itu,  merujuk kepada yakin kepada Allah, usaha yang luar biasa, simpan dahulu belanja kemudian, utamakan yang utama dan akhirnya fokus pada bulatan kawalan.

Formula pertama dalam menyelesaikan dan berhadapan dengan krisis kemarau Mesir pada ketika itu ialah melalui fasa yakin Allah SWT ada. Apabila kita menghadapi krisis ekonomi, kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah SWT itu ada dan Dia ciptakan kita dengan tujuan. Kita hidup di dunia ini adalah untuk diuji termasuk ujian ekonomi yang didatangkan oleh Allah SWT.

Allah SWT mahu uji kita sejauhmana ujian yang datang mendekatkan kita kepadaNya atau sebaliknya. Lihat secara positif, pasti ada hikmah pada setiap sesuatu. Apabila kita yakin Allah SWT ada, kita akan menjadi hamba yang lebih kuat.

Ini ditunjukkan oleh Nabi Yusuf AS apabila didatangi bekas rakan sepenjara Baginda untuk bertanyakan kisah mimpi Raja Mesir. Sekiranya Nabi Yusuf AS ingin membalas dendam terhadap apa yang dilakukan oleh bekas rakan sepenjara Baginda itu, maka Nabi Yusuf AS boleh sahaja mengendahkan mimpi tersebut. Nabi Yusuf AS sentiasa yakin akan setiap yang berlaku itu adalah ketentuan daripada Allah SWT dan baginda dipenjara bukan kerana lelaki tersebut tetapi kerana itu adalah takdir Allah SWT dan lelaki itu hanya asbab kepada Baginda dipenjara.

Formula kedua Nabi Yusuf AS dalam menyelesaikan isu kemarau Mesir iaitu usaha yang luar biasa secara berterusan. Nabi Yusuf AS mentafsirkan mimpi Raja Mesir dengan penyelesasian masalah dengan menanam selama tujuh tahun secara bersungguh-sungguh dengan berterusan.  Nabi Yusuf AS memastikan rakyat Mesir bersungguh dalam tiga cara. Pertamanya Nabi Yusuf AS menyebut bersungguh-bersungguh hanya untuk tujuh tahun sahaja. Maknanya usaha tersebut perlu disertakan dengan jangka masa berapa lama perlu berusaha bersungguh-sungguh.

Keduanya Nabi Yusuf AS menggunakan kaedah ancaman iaitu sekiranya tidak bersungguh-sungguh, maka tujuh tahun berikutnya akan menderita semua orang kerana segala apa yang disimpan kemungkinan akan habis apatah lagi sekiranya tidak menyimpan. Ketiga adalah kaedah memberi ganjaran dan menyampaikan berita gembira. Setelah tujuh tahun kedua dengan kemarau dahsyat, maka Nabi Yusuf AS menyampaikan berita gembira semua rakyat Mesir akan mendapat hujan dengan kelimpahan rezeki yang melimpah ruah.

Dalam menyelesaikan masalah kemarau Mesir, Nabi Yusuf AS mengajarkan tentang formula simpan dahulu belanja kemudian. Baginda mengatakan, bila datang musim menuai, jangan semua yang dituai dijadikan makanan dan ada sebahagiannya yang disimpan ke dalam gudang. Baginda turut mengajar kepada rakyat Mesir supaya kekalkan kesegaran gandum yang disimpan di dalam gedung dengan tidak membuang kulitnya beserta tangkainya agar apabila tempoh tujuh tahun, gandum tersebut masih lagi segar untuk digunakan.

Utamakan yang utama diajarkan oleh Nabi Yusuf AS apabila kita beroleh rezeki jangan digunakan mengikut hawa nafsu. Perihal mimpi Raja Mesir juga mengajarkan bahawa utamakan yang utama dengan simbolik lembu dan juga tangkai gandum tersebut. Lembu merujuk kepada kenderaan manakala gandum pula merujuk kepada pertanian. Nabi Yusuf AS dalam hal ini melihat pertanian adalah lebih utama untuk diusahakan berbanding fokus kepada kenderaan.

Fokus pada bulatan kawalan dalam formula yang terakhir telah diajarkan oleh Nabi Yusuf AS. Dalam kehidupan kita sentiasa ada lingkungan masalah yang diluar kawalan kita seperti lembu dalam mimpi Raja Mesir. Jangan kita fokus kepada perkara yang dliuar kawalan kita seperti zaman yang semakin mencabar atau ekonomi yang semakin merosot. Sedangkan kita perlu fikirkan  apa usaha yang perlu kita lakukan yang di dalam kawalan kita seperti tangkai gandum tersebut agar masalah yang mendatang dapat kita selesaikan.

Sekiranya kita terlalu memikirkan punca masalah tanpa memikirkan cara penyelesaiannya, dibimbangi kita akan kalah dengan hasutan syaitan dan akhirnya tidak melakukan apa-apa usaha dalam menyelesaikan masalah tersebut.Kita tidak boleh mengubah sesuatu takdir yang berlaku, tetapi kita boleh mengubah cara kita melihat setiap takdir yang berlaku.

Begitu sekali cantiknya Allah Taala mengajar kita melalui kisah nabi Yusof ini yang sewajarnya kita jadikan iktibar dalam kita menguruskan ekonomi sama ada ekonomi peribadi, keluarga dan negara.Sesungguhnya kisah-kisah dalam Al Quran menjadi pedoman kita sekiranya kita mahu menggunakan akal fikiran.Sekarang ini kita sedang berdepan dengan situasi yang sangat mencabar iaitu cabaran kesihatan, ekonomi dan politik negara.masalah ekonomi disebabkan wabak covid-19 seharusnya diberi tumpuan yang khusus dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.Apakah strategi kita selaku individu?Apakah strategi pemimpin untuk menghadapi kelembapan ekonomi yang sedang dan bakal berlaku.Ini semua perlu difikirkan dan diambil tindakan bersama 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HADIS 40 : Gesaan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah atau yang tiada kena mengena dengan diri

HARGA RUMAH DAHULU DAN SEKARANG

HADIS 40: TANDA-TANDA KIAMAT