Keajaiban membaca
Penulis Steal Like An Artist, Austin Kleon membangunkan disiplin membaca (dan menulis) dengan melakukan langkah-langkah ini.
"Kita mesti percaya pada proses menyelak halaman demi halaman yang akan membentuk kita," kata awal Austin sebagai pemula sesi semalam.
1. Baca lebih daripada satu buku pada satu-satu masa
Kita membina percakapan antara buku dalam kepala apabila lebih daripada satu buku dibaca pada satu-satu masa. Percakapan itu akan membentuk input yang berbeza.
Jika saudara seorang penulis, kualiti output iaitu hasil tulisan bergantung kepada kualiti input yakni buku yang dibaca.
2. Baca buku kanak-kanak bagi mendapatkan kejelasan susunan penyampaian.
Apabila kita menulis apa-apa subjek, usahakan membaca topik yang sama dalam versi buku kanak-kanak.
Kelebihan buku kanak-kanak adalah ia mudah difahami. Ia akan mempengaruhi cara saudara memahami topik dan cara saudara menulisnya.
3. Sedar bahawa, setiap buku menghasilkan tingkah laku berbeza
Ada dua jenis tingkah laku pembaca yang terbentuk dalam amalan membaca.
Pertama, tulisan yang menarik pembaca bertumpu kepada isi yang dikarang.
Kedua, tulisan yang mendorong kita mencari lagi melalui pembacaan yang lain.
4. Sentiasa 'berenang' ke atas
Apabila kita membaca buku yang berada dalam tangan, rangkaikan perbuatan membaca itu dengan mendengar podcast, mengikuti temubual, mengenali guru serta orang yang mempengaruhinya dan membaca kisah hidup penulis buku itu.
Oleh demikian, kita dapat melihat pokok geneologi pengetahuan dan pengalaman penulis yang mencetuskan karya tersebut. Disebabkan itu kita mudah menghayati pembacaan.
5. Baca buku-buku lama
Buku-buku lama mempunyai keanehan tersendiri. Tulisan terdahulu banyak membawa idea-idea yang dibentuk secara konkrit dalam tulisan-tulisan pada masa sekarang.
Keanehan buku lama mendorong kita berfikir dan merangka kefahaman baharu.
Ulasan
Catat Ulasan