HARGAI PELUANG MEMILIH KERJAYA
Bayangkan dengan jumlah manusia dari pelbagai
agama, bangsa dan budaya, pastinya tiada satu, sepuluh mahupun 100 jenis sumber
pendapatan sahaja yang sesuai untuk semua. Banyak faktor menjadi penentu sama
ada seseorang itu menjadi pekerja makan gaji, peniaga atau usahawan, mahupun
cuma menghabiskan harta ibu bapa yang kaya-raya. Kelulusan pendidikan,
kecerdasan minda (IQ), kecerdasan emosi (EQ), semangat untuk berusaha,
cita-cita mahupun nasib dan keturunan mungkin menjadi penentu.
Dalam konteks Malaysia, secara tradisinya ibu bapa
melihat kerjaya hebat seperti doktor, peguam dan jurutera sebagai menjamin masa
depan anak-anak. Namun begitu, anjakan paradigma moden kini lebih beralih
kepada mendidik anak untuk menjadi usahawan dan mengejar kemewahan, tetapi
tidak kurang juga lebih gemar anak-anak mengejar apa-apa jua cita-cita
khususnya kerjaya mulia seperti guru, imam masjid, tahfiz, pakar budaya serta
bermacam-macam cabang ilmu yang semakin berkembang, asalkan dapat menjalani
kehidupan dengan tenang dan gembira.
Kerjaya tradisi masih diletakkan pada
kedudukan yang tinggi, tetapi tidak lagi eksklusif sebagai sumber ekonomi
terbaik untuk kehidupan dan membina keluarga.
Memasuki tahun ke-64 merdeka,
kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mengejar cita-cita,
khususnya bukan berasaskan wang dan kekayaan, malah bebas ke arah yang paling menggembirakan
diri atau dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Kebanyakan anak muda yang mendapat inspirasi untuk
menyelamatkan nyawa menyertai pasukan beruniform. Mereka yang ingin mewariskan
ilmu kepada generasi akan datang menjadi warga pendidik – guru tadika, guru
sekolah, pensyarah, penyelidik dan ahli akademik. Tidak kurang juga pilihan
cabang agama untuk anak-anak menjadi imam, tahfiz, ustaz dan ustazah walaupun
ibu bapanya bukan berlatarbelakangkan agama.
Ada yang mengejar kekayaan melalui pelaburan,
sektor kewangan dan insurans, mahupun kerjaya berbahaya yang memberikan
pulangan lumayan. Begitu juga ada yang memilih untuk mewarisi kerjaya tradisi
keluarga sebagai ahli perniagaan, ahli politik, petani moden dan penternak,
ataupun sebagai sukarelawan dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan
Kewujudan perniagaan yang berorientasikan maya telah membuka minda golongan yang terkesan dengan covid-19 untuk cuba menjinakkan diri dengan perniagaan 'online'.Dikesempatan ini banyak pihak telah menganjurkan seminar, webinar dan sebagainya memberi latihan dan pengetahuan bagaimana hendak memulakan perniagaan secara dalam talian.Peluang ini harus direbut oleh bukan sahaja kepada mereka yang telah hilang mata pencarian bahkan harus direbut oleh mereka yang ingin menambah pendapatan.Peluang tidak selalu datang.Fenomena pandemik covid-19 ini ada juga kebaikannya jika datinjau dari kaca mata positif
Keadaan ini jelas mewujudkan kepelbagaian sumber
pendapatan dan kerjaya pilihan yang terbuka luas kepada semua generasi muda.
Situasi ini jauh bezanya berbanding dengan zaman awal kemerdekaan yang
menyaksikan datuk, nenek serta ibu bapa kepada anak muda sekarang berdepan
peluang terhad dalam usaha mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Sememangnya,
ada juga yang terpaksa menerima apa-apa sahaja peluang kerjaya demi
kelangsungan hidup, tetapi tetap mampu berjaya jika sanggup berusaha.
Zaman sudah berubah. Jika dahulu
kerjaya tradisi dijulang sebagai “orang hebat dan berjaya”, zaman sekarang kita
tidak boleh berterusan melabel dari segi pendapatan dan milikan harta. Status
sosial dalam masyarakat, di sekolah, universiti, hubungan ahli keluarga malah
dalam mencari jodoh tidak boleh lagi mengutamakan kerjaya dan pendapatan.
Hasil globalisasi dunia dan semangat kapitalis,
begitu ramai (bukan semua) berkejaran memburu kemewahan dengan sebilangan
daripadanya mencari dari sudut ekonomi gelap – judi, penipuan dan aktiviti
jenayah. Melalui media sosial, ada yang tebal rasa malu berkongsi kerjaya yang
dilihat “tidak cukup hebat” sementara yang kaya hasil ekonomi gelap tanpa segan
silu menayang kemewahan mereka.
Selagi mana sumber pendapatannya halal dan tidak
meragukan, usah diajar anak-anak memandang sinis pilihan kerjaya orang lain.
Hargailah sumbangan setiap cabang ekonomi kepada keharmonian hidup seluruh
rakyat di bumi bertuah ini kerana nilai atau darjat seorang manusia tidak terletak
pada wang dan hartanya.
Ulasan
Catat Ulasan