MASA DEPAN GENERASI PKP
Negara kini memasuki Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) 3.0 dalam tahun kedua wabak COVID-19 mencengkam dunia. Bukan sahaja di
Malaysia, malah kebanyakan negara di seluruh dunia berdepan dengan nasib
serupa. Ada yang menanganinya dengan lebih baik kerana mempunyai sumber dan
teknologi terkini, namun terdapat juga negara yang semakin tersungkur
kerana tidak mampu menanganinya dengan baik.
Bagi penduduk dunia, termasuklah rakyat Malaysia,
kebimbangan sumber ekonomi menjadi antara perkara yang paling lantang dibangkitkan.
Tubuh badan dihambat penyakit, poket pula semakin sepi tanpa isi. Golongan yang
bekerja mahupun berniaga mengadu tentang gaji dipotong, hilang pekerjaan dan
tiada sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup, sehingga rata-ratanya
mengharapkan bantuan daripada kerajaan mahupun daripada golongan berkemampuan.
Bagi graduan baharu, sukar bagi mereka untuk mencari kerja walaupun melalui
proses temu duga secara dalam talian sedikit sebanyak agak memudahkan mereka.
Murid sekolah dan pelajar universiti pula
menyatakan kebimbangan mereka tentang kualiti pembelajaran melalui komputer dan
peranti digital. Selain berdepan dengan kekangan peralatan dan kemudahan
Internet, terdapat dalam kalangan mereka yang tidak dapat mengikuti latihan
amali sama ada di makmal, bengkel kerja, pejabat mahupun sektor industri.
Pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) pada tahun 2020 menjadi kumpulan pertama yang didapati lewat mengambil
peperiksaan, lewat mendapat keputusan dan pastinya lewat mendapat penempatan di
menara gading. Pelajar SPM tahun 2021 dan beberapa tahun yang akan datang juga
mungkin berdepan dengan nasib serupa apabila jangkaan pemulihan penuh (dalam
kebiasaan baharu) di negara ini sekitar tahun 2023 atau 2024, dengan perangkaan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan pemulihan global mengambil
tujuh tahun lagi (2028) berdasarkan kadar vaksinasi untuk mencapai imuniti
kelompok.
Apakah nasib yang bakal berlaku
terhadap anak-anak kecil? Ada yang lahir ke dunia terus dalam era PKP. Sehingga
kini, interaksi sosial hanya berlaku bersama-sama dengan ahli keluarga. Sejak
dari tadika hingga sekolah menengah, sistem sosial dan perhubungan dengan rakan
seusia terjejas, termasuklah interaksi formal dengan orang dewasa seperti guru
dan kakitangan sekolah. Mereka menghabiskan masa selama berbulan-bulan di rumah
dan tidak boleh ke mana-mana.
Wabak COVID-19 dan
hidup di bawah perintah darurat banyak mengajar kita tentang erti kehidupan.
Ramai yang hidup selesa dalam kepompong sendiri terpaksa menghadapi
rintangan dan mahu atau tidak, kita terpaksa belajar untuk berdikari demi
kelangsungan diri dan keluarga.
Zaman mengharapkan bantuan daripada kerajaan atau
pihak berwajib datang membantu sudah berlalu. Ibu bapa selaku tonggak utama
yang membentuk jati diri anak-anak perlu mempunyai perancangan sendiri untuk
masa depan mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa. Selain itu, hal
yang berkaitan dengan kewangan, sistem sosial, moral, disiplin dan teras agama
generasi berikutnya yang perlu diperkukuh supaya mereka mampu berdikari kelak,
seperti ibu bapa mereka yang kini belajar hidup di celah-celah hambatan
wabak penyakit.
Akan ada suara sumbang yang mungkin
bertanya, “apakah perancangan kerajaan dan pihak berwajib”? Perlu diingatkan
bahawa kerajaan berfungsi sebagai pembuat dan pelaksana dasar. Umpama dibina
ratusan masjid, tetapi jika penduduk tidak menggunakannya, maka usaha itu
hanyalah sia-sia belaka.
Tanggungjawab ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti
setempat dalam usaha melindungi dan merancang masa depan generasi PKP ini
terlalu besar. Adakah mereka ingin diajar supaya duduk mengharapkan bantuan
orang lain, atau berusaha untuk kejayaan diri sendiri? Adakah mereka mahu
dididik menjadi “pak turut” atau ditanam keberanian untuk berusaha dan
berdikari?
Sesetengah masyarakat tidak sedar antara kelebihan
wabak ini dan juga PKP dapat dianggap sebagai rezeki tambahan kerana dapat
meluangkan masa bersama-sama keluarga, selain memberi peluang ibu bapa lebih
mengenali kelebihan dan kelemahan anak-anak mereka. Jika suatu ketika dahulu
kita cuma mengharapkan guru, sekolah dan pengasuh melentur buluh, sekarang
merupakan masa untuk ibu bapa sendiri mengendong rebungnya. Kenalilah anak-anak
dan apabila sudah mengetahui akan potensi mereka kelak, maka dari itulah kita
merancang perjalanan mereka.
Ambillah iktibar daripada generasi pascamerdeka
yang bergelumang dalam kemiskinan dan kehancuran yang ditinggalkan penjajah.
Mereka mampu berdikari, memajukan diri, serta tidak gentar dengan kesukaran
hidup bagi memastikan masa depan anak-anak terbela. Itulah yang perlu
ditonjolkan oleh generasi sekarang dan yang seterusnya. Walaupun berdepan
dengan apa-apa jua badai yang menimpa, mereka perlu memiliki ketahanan dan jati
diri untuk terus melangkah ke hadapan.
Ulasan
Catat Ulasan