7 PANDUAN MENJADI PENULIS YANG BAIK

 "Kalau kamu bukan anak raja dan kamu bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis." - Mutiara kata Imam al-Ghazali.

M AKNA daripada sebalik mutiara kata Imam al-Ghazali inilah yang menjadi mangkin semangat, mengapakah perlu menjadi penulis? Inspirasi daripada mutiara kata ini akan menjadikan seseorang penulis itu seperti "anak raja" yang membuatkan seseorang itu bakal menjadi seorang yang "berkuasa" dan "penting". Menjadi "anak ulama besar" pula, "pewaris ilmu" dan anda bakal "terkenal" kerana anda akan ada pengikut. Maka, jika anda bukan daripada dua golongan tersebut, jadilah "penulis" kerana dengan menjadi penulis anda "berkuasa" menawan minda dan hati pembaca melalui karya anda.

Anda akan menjadi "penting" dan "terkenal", kerana penulis yang baik semestinya penulis yang berilmu, yang berjaya memandaikan pembaca melalui karyanya. Oleh sebab itu, tulislah dengan ilmu dan memberikan jiwa kepada karya.

Bagi sesetengah penulis memilih untuk menjadi penulis atas tiga sebab. Yang pertama adalah untuk mencari pendapatan tambahan melalui penulisan. Ada juga yang menyambung pengajian dengan menggunakan hasil pendapatan menerusi hasil penulisan. Yang kedua, sesetengah penulis menggunakan kaedah penulisan sebagai terapi diri. Segala kesedihan dan cabaran kehidupan yang dihadapi oleh penulis akan dituangkan dalam karya penulisan kreatif sama ada dalam bentuk cerpen, novel ataupun kumpulan cerpen yang kebanyakannya dirakam berdasarkan kisah benar hidup penulis. Yang ketiga, penulis yang sudah bersara daripada perkhidmatan, selalunya mengambil peluang menulis untuk menambahkan amal jariah untuk bekalan akhirat. Jariah yang akan ditinggalkan oleh penulis melalui hasil penulisan selepas ketiadaannya di dunia nanti diharapkan agar penulisannya dibaca oleh pembaca. Hasilnya, pembaca mendapat manfaat daripadanya, berubah ke arah kebaikan dan positif kerana penulis mahu diingati kerana kebaikan yang ditinggalkan olehnya.

Oleh sebab itu, sehabis boleh, hasilkanlah penulisan yang terbaik sama ada bentuk tulisan ataupun bimbingan penulisan supaya akan ada anak didik penulis seterusnya yang dapat menjadikan dunia penulisan ini, jika bukan untuk tujuan mencari pendapatan tambahan, tetapi sebagai medan terapi diri dan mengumpulkan amal jariah. Penulis yang baik ialah penulis yang dapat berkongsi pengalaman dan ilmu penulisannya dengan sebaik-baik mungkin kepada orang lain yang bercita-cita ingin menjadi penulis sepertinya. Mengikut maksud daripada pepatah Cina, "memberi joran dan mengajar menggunakannya adalah lebih baik daripada memberi ikan, supaya mereka mendapat banyak ikan lagi selepas pandai menggunakan joran". Terdapat tujuh panduan untuk menjadi penulis yang baik.

Panduan pertama, jadilah penulis yang versatil, yang mampu menulis dalam pelbagai genre, yakni karya kreatif seperti cerpen, novel, skrip drama, puísí moden dan tradisional, serta boleh menulis karya bukan kreatif. Lebih baik lagi jika anda boleh menulis karya untuk pelbagai tahap umur, sama ada kanak-kanak, remaja ataupun dewasa. Sesetengah penulis mempunyai bakat  semula jadi sebagai pelukis. Hal ini memberikan banyak kelebihan kepada penulis untuk berkarya dalam  bidang penulisan kreatif kanak-kanak, seperti buku bergambar, buku cerita berilustrasi dan buku cerita informatif. Selain boleh melukis sendiri, penulis dapat memberikan deskripsi kepada  ilustrator dalam tulisan, untuk membantu mereka membuat ilustrasi. 

Pengalaman seseorang penulis sebagai editor dalam pelbagai penerbitan juga membantu penulis menulis dalam semua bidang, sama ada karya bukan kreatif ataupun karya kreatif dalam semua genre. Sebagai editor majalah misalnya, editor wajib menghasilkan tulisan editorial pada setiap bulan. Hal ini sebenarnya dapat menjadi latih tubi  untuk penulis mahir dalam penulisan rencana yang berkesan dan baik.

Satu kelebihan kepada editor jika anda bukan sahaja boleh menguruskan karya penulis lain, tetapi anda juga mampu menulis dan menghasilkan karya sendiri. Kelebihan ini menjadikan anda editor yang mampu memberikan jiwa baharu terhadap karya penulis yang "suam-suam kuku" isi dan persembahannya menjadi sebuah karya yang berjiwa dan berinspirasi. Anda mampu menjadi editor yang membina bakat penulis.

Antara penulis dengan editor saling melengkapi. Seperti melunaskan kerja editor perlu banyak kesabaran dan ketelitian, maka dalam penulisan juga penulis perlu mengamalkan dua prinsip itu - sabar dan teliti. Kerja seorang editor tidak ubah seperti petani yang sentiasa membuang duri serta mencabut rumput yang tumbuh di celah-celah tanaman yang mengganggu kesegarannya. Perlu berhati-hati, mencabut rumput dan membuang duri sahaja, jangan sampai tercabut tanamannya. Demikian juga ketika menulis, menulislah dengan perancangan yang teliti.

Panduan kedua, perancangan yang lengkap dan teliti. Dalam hal ini, penulis perlu membuat perancangan yang rapi dan betul sebelum memulakan penulisan. Hal ini amat penting supaya penulis tidak menjadi keliru. Misalnya, untuk penulisan cerpen, penulis sudah menyediakan rangka dan sinopsis mengikut jenis cerpen yang perlu ditulis oleh penulis, sama ada karya yang akan dihasilkan oleh penulis cerpen Islam, budaya, sains fiksyen ataupun satira, semuanya ada rangka dan sinopsis yang tersendiri.

Bagi penulisan novel pula, penulis perlu menyiapkan perancangan plot novel yang lengkap terlebih dahulu. begitu juga halnya dengan penulisan  buku bukan kreatif, penulis perlu menyediakan perancangan judul yang lengkap dengan kandungan bab sebelum memulakan penulisan. Penulis tidak akan membuang masa di hadapan komputer, untuk baru memikirkan hendak menulis tentang apa? Bagaimana hendak memulakannya? Jauh sekali untuk baru terkial-kial mencari idea, ilham atau mendapatkan bahan untuk pengisian penulisan.

Kaedah membuat perancangan yang rapi dan mantap sebelum memulakan penulisan ini membolehkan anda menjadi penulis yang prolifik. Anda boleh menulis beberapa karya dalam satu masa, bahkan boleh menangguhkan penulisan dan memulakannya kembali pada masa yang anda sudah bersedia, tanpa risau anda akan kehilangan idea dan ilham.

Untuk merancang penulisan, tetapkan sasaran karya besar, yakni berbentuk buku sama ada kreatif ataupun bukan kreatif yang mengambil masa jangka panjang, di samping karya kecil-kecilan berbentuk eceran sama ada cerpen ataupun rencana. Untuk penulisan rencana, sediakan rangka dan catatan isi 5 rencana. Bukan itu sahaja, penulis sudah menentukan kaedah penulisan rencana yang akan digunakan dalam penulisan tersebut, yang sesuai dengan isu yang hendak dibangkitkan.

Panduan ketiga, memiliki ilmu penulisan, penerbitan dan ilmu bantu. Tidak cukup menulis dengan berbekalkan bakat semata-mata. Bakat boleh dibina setelah anda didedahkan dengan ilmu penulisan dan mempunyai kesungguhan untuk  menjadi penulis. Jika anda mengetahui anatomi buku, yakni satu cabang ilmu penerbitan pula, banyak membantu anda dalam penulis buku umum dan  hal ini merupakan satu kelebihan.Dengan memahami anatomi buku memudahkan penulis membuat penulisan dan pengisian buku umum yang akan diterbitkan oleh penulis, iaitu dari segi perancangan bab dan bahan sokongan yang perlu ada bagi memantapkan persembahan buku. Ilmu bantu di luar bidang juga amat diperlukan jika anda ingin menjadi penulis yang versatil.

Panduan keempat, banyak membaca. Hobi membaca buku seperti buku sains, buku perubatan dan buku teknikal banyak membuahkan idea baharu dalam penulisan kreatif.  Untuk menghasilkan karya satira misalnya, penulis perlu menguasai ilmu luar bidang kesusasteraan, bagi memudahkan penulis mencipta watak satira dalam cerpen penulis. Prinsip sesetengah penulis, setiap modal yang dikeluarkan oleh penulis untuk membeli buku sebegini, yang tentunya mahal harganya, akan dipastikan mendapatkan pulangan yang berganda. Caranya, penulis tertentu akan memastikan pembacaan  buku di luar bidang kesusasteraan itu, akan membantu penulis menghasilkan karya kreatif, cerita berilustrasi untuk kanak-kanak atau cerpen.

Sebagai penulis, mereka perlu membuat pelaburan untuk membeli buku bernilai dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Buku tersebut amat berguna sebagai bahan bacaan dan rujukan bagi memudahkan penulisan. Sediakan ruang sudut kerja penulisan ini di rumah yang tersedia dengan pelbagai buku. Jika dalam genre sastera, sediakan buku sastera popular hingga sastera tinggi, termasuk buku kajian dan sejarah kesusasteraan serta kritikan sastera. Membaca karya orang lain sangat penting untuk anda menilai kemampuan diri dalam penulisan, dengan membuat perbandingan, menjadikan contoh, pencetus idea dan ilham baharu supaya anda tidak membuat perulangan dalam berkarya.

Panduan kelima, idea dan ilham yang segar dan semasa. Elakkan daripada membawa isu dan tema lapuk umpamanya jika sebuah novel kanak kanak, cerita yang diketengahkan tentang sukan, mesti tidak lari daripada kisah permainan bola sepak, tidak mampu membeli kasut bola dan hasad dengki dalam pasukan. Kisah klise yang sejak tahun 1970-an telah diceritakan oleh penulis sezaman dengannya, sedangkan banyak lagi sukan lain untuk kanak-kanak dan remaja yang boleh dipersembahkan dalam bentuk penulisan.

Begitu juga, jika menulis karya kreatif berkisar tentang kisah cinta anak remaja menerusi Facebook (FB) sudah tidak relevan lagi kerana kemunculan banyak media sosial baharu untuk remaja, FB kini lebih serasi untuk pengguna dewasa.Demikianlah hakikatnya apabila  menulis, janganlah syok sendiri. Penulis perlu membuat kajian tentang isu yang sesuai dan relevan.

Panduan keenam, penulisan yang bersesuaian dan memikat hati pembaca. Sebagai penulis seperti kata bijak pandai Imam al-Ghazali, anda berkuasa dan berilmu melahirkan karya untuk pembaca. Bahan bacaan yang anda sediakan itu hendaklah bersesuaian dan memikat hati pembaca, mengikut tahap umur pembaca. Untuk bahan bacaan  kanak-kanak misalnya, anda perlu  tahu tentang bentuk buku bacaan yang sesuai dengannya. Sebagai misalnya, berdasarkan kajian kanak kanak, mereka yang berusia dua hingga tiga tahun biasanya dari segi bahasa, perkembangan bahasanya pantas, boleh mengenali objek dan menamakan aksi dalam gambar dan boleh membezakan saiz yang besar dan yang kecil. Suka meniru gaya atau buku aksi yang dipandangnya. Dari segi kognitif, boleh mengingati dua tiga perkara dan boleh mengkategorikan benda yang serupa. Buku yang sesuai untuk mereka, buku konsep saiz, warna kegunaan, buku tentang kelakuan, latihan mengingati, mengenali anggota badan dan buku  bergambar yang membantu kanak kanak mengenali aksi.

Panduan ketujuh, menguasai bahasa dan tatabahasa serta sunting karya sendiri. Selain karya anda berjaya memikat pembaca, terlebih dahulu anda perlu pastikan karya anda memikat editor sebagai penjaga gawang penerbit. Sebagai penulis yang menulis dengan penerbit yang berlainan status dan fungsinya, penulis mesti memahami konsep dan dasar penerbitan setiap penerbit terlebih dahulu, supaya karya penulis tidak ditolak. Demikian juga halnya  apabila menulis untuk majalah yang berlainan konsep dan fungsinya, penulis perlu memastikan karya yang dikirimkan kepada editor tidak akan ditolak, yakni dengan cara mengirimkan karya yang bersesuaian, kerana walaupun anda membawa isu yang sama contohnya isu kesihatan, penyakit dan rawatan, tetapi tumpuan atau fokus penulisan anda perlu mengikut konsep majalah tersebut. Jika majalah itu majalah berunsur budaya, maka isu budaya perlu dikaitkan selain tulisan itu dominan membicarakan hal tentang kesihatan, penyakit dan rawatan.

Bagi memikat hati editor, karya anda perlulah mempunyai bahasa yang baik, bersesuaian dan bernas. Seboleh mungkin anda perlu meminimumkan kesalahan ejaan, menggunakan ayat yang lengkap dan sempurna, serta tatabahasa yang betul. Bagi mendapatkan hasil yang baik dari segi bahasa dan tatabahasa, penulis bertanggungjawab membaca semula dan menyunting terlebih dahulu karyanya sendiri. Janganlah meletakkan tanggungjawab menyunting itu kepada editor sepenuhnya kerana beranggapan itulah tugas hakiki seorang editor. Oleh itu, tugas anda sebagai penulis hanyalah menulis dan menyediakan manuskrip untuk editor memprosesnya menjadi majalah atau buku. Tidak malukah anda untuk mengaku itu karya anda setelah berjaya ditangani editor menjadi buku? Dalam hal ini, anda patut mengakui bahawa editor turut menyumbang dan bertungkus-lumus untuk mencantikkan karya anda.

Kesimpulannya untuk menjadi penulis yang baik, bertanggungjawablah terhadap karya anda, biar berharga di atas rupa - "Beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda 'tak penuh". Anda yang tahu tentang nilai karya anda, usahlah hantar kepada editor selagi anda tidak berpuas hati. Jujurlah dengan diri sendiri - berdiri di atas bakat sendiri, bukan mencuri karya yang bukan milik diri. Anda bukan sahaja tidak ada harga diri, bahkan anda "menggari hati" editor, untuk lebih berhati-hati terhadap karya yang masuk ke peti e-mel sidang redaksi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HADIS 40 : Gesaan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah atau yang tiada kena mengena dengan diri

HARGA RUMAH DAHULU DAN SEKARANG

HADIS 40: TANDA-TANDA KIAMAT