Bagaimana menjadi penulis yang baik dan efektif?


Menjadi penulis yang efektif bukan sesuatu yang mudah, dan pada masa yang sama, juga bukan sesuatu yang sukar . Namun demikian, tiada jalan pintas atau"laluan tikus"untuk menjadi penulis efektif.Walau bagaimanapun, proses itu akan lancar jika 12 perkara utama seperti yang berikut dijadikan amalan dan budaya penulisan:

1.Tetapkan matlamat karya penulisan:

Sebelum memulakan penulisan, penulis,tidak kira yang baharu atau yang mempunyai pengalaman luas, perlu menetapkan objekrif dengan Jelas. Kita menulis untuk siapa? Apakah yang hendak disampaikan dan mengapakah hendak menulis?Sama ada sesuatu karya itu dihasilkan dengan tujuan untuk memujuk ataupun hanya ingin menyampaikan maklumat.Mempunyai tujuan yang jelas bermakna akan membantu penulis kekal dengan topik penulisan dan memudahkan penerimaan dan pemahaman di pihak kumpulan sasaran

 2. Tentukan kumpulan sasaran:

Siapakah pembaca tulisan dan apakah latar belakang mereka? Kumpulan sasaran ada hubung kait dengan objektif dan tujuan penulisan. Penulis perlu melakukan kajian mengenai kehendak dan cita rasa kumpulan sasaran. Perkara ini amat penting kerana setiap individu mempunyai minat dan keperluan masing-masing. Tentukan sama ada kumpulan sasaran itu merupakan golongan kanak kanak, murid atau pelajar, remaja, dewasa, kumpulan umum, ahli politik, pembuat dasar kerajaan dan negara ataupun mereka yang telah pun bersara. Matlamat penulisan dan kajian kumpulan sasaran juga akan membantu untuk menentukan gaya bahasa sama ada serius, yang mudah ataupun santai.

3.  Padankan nada tulisan dengan kehendak khalayak:

Perkataan yang dipilih akan menentukan nada penulisan yang berkesan. Bergantung pada matlamat dan kumpulan sasaran, penulis dapat menggunakan pelbagai nada, termasuklah nada bermaklumat, mesra, profesional, kritis atau pemujukan. Jika penulis gagal menggunakan nada yang sesuai, hal ini akan menjejaskan mesej yang hendak disampaikan dengan berkesan.

 4. Tulis setiap hari:

Penulis yang efektif dan baik akan menulis setiap hari. Sebagaimana kita bercakap atau berbual setiap hari bagi memperkasakan kemahiran lisan, kemahiran bertulis akan bertambah baik jika kita menulis setiap hari. Tidak kira satu ayat, satu perenggan atau hanya satu halaman. Amalkan aspek ini sebagai rutin setiap hari, yang turut diperkukuh oleh elemen penetapan objekrif dan kumpulan.

5. Baca setiap hari.

Kemahiran penulisan akan diperkasakan dan dimantapkan menerusi budaya membaca setiap hari. Inilah asas penulisan yang efektif. Pembacaan akan membawa setiap penulis ke arah peningkatan mengetengahkan poin bernas yang disertakan dalam penulisan, gaya berhujah dan keberkesanan penguasaan bahasa, Penulis tidak dapat menghasilkan karya yang bermutu dan berkesan tanpa mengetahui apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka sama ada isu, kejadian, masalah dan sebagainya. Sebagai contoh, pandemik COVID-19 yang telah membadai dunia sejak lebih dua tahun lalu membawa perkembangan baharu setiap hari.

Oleh itu, sekiranya seseorang penulis ingin menghasilkan penulisan terkini, bernas dan berkualiti, mereka perlu "baca, baca dan baca" setiap hari, sama ada tulisan akhbar, majalah, buku ataupun jurnal. Budaya ini boleh dipertingkat menerusi interaksi dengan mereka yang merupakan pakar dan mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu.

6. Bawa alat atau buku catatan bersama sepanjang masa:

Penulis perlu menyediakan bank idea, isu dan bukti. Memandangkan daya ingatan manusia adalah terhad, catatkan hasil pandangan, perbualan, pembacaan dan pemerhatian supaya tidak ada perkara yang terlepas pandang. Lama-kelamaan catatan ringkas akan menjadi bahan rujukan jangka panjang.

 7. Usah mengharapkan kesempurnaan pada peringkat awal penulisan:

Tidak ada tulisan yang sempurna. Tidak ada tulisan yang lengkap sebaik-baik kita mula menulis. Oleh itu, tulis segala idea yang terlintas dalam minda sama ada di atas kertas, skrin komputer ataupun telefon mudah alih dengan serta-merta. Selepas memperoleh draf pertama, mulakan usaha memperkasakan karya dengan menyunting dan melakukan semakan demi semakan, dan pada masa yang sama menambahkan fakta, peribahasa dan contoh yang relevan. Dalam lain perkataan, draf awal penulisan hanyalah satu penyampaian idea secara kasar yang memerlukan suntingan demi suntingan dan semakan demi semakan secara konsisten bagi menyegarkan kandungan secara berpakej supaya kelihatan kemas, tersusun dan menarik. Kebanyakan penulis tidak dapat menyempurnakan tulisan mereka kerana terikat dengan kehendak mahu mencari kesempurnaan semata-mata sebaik-baik mula menulis ayat pertama.

8. Tulis untuk diri sendiri terlebih dahulu:

 Jika ingin memastikan setiap penulisan itu menarik, penulis perlu menulis untuk diri sendiri terlebih dahulu. Penulis perlu membaca atas kapasiti diri mereka sebagai penulis dan kemudian membaca dari sudut pembaca. Jika perkara ini dijadikan amalan, kita boleh mengelakkan penulisan "syok sendiri". Penulis perlu menerima hakikat bahawa mereka menulis untuk orang lain, bukan untuk diri mereka semata-mata.

9. Gunakan bahasa yang mudah dan padat:

Selari dengan prinsip tujuan penulisan dan kumpulan sasaran karya yang dihasilkan, penulis perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca. Elakkan menggunakan perkataan yang bombastik, iaitu banyak menggunakan kata yang indah dan luar biasa kelihatannya tanpa membawa pengertian yang bernas, serta elakkan penggunaan perbendaharaan kata yang kompleks atau jargon teknikal. Penulis perlu permudahkan mesej dan pemahaman pembaca.

 10. Belajar kemahiran dan kuasai bahasa:

Satu daripada langkah yang paling penting untuk menjadi penulis yang lebih baik adalah dengan mempunyai penguasaan yang kuat dari segi tatabahasa. Kesilapan seperti menggunakan kata kerja yang salah atau kehilangan kata nama, sebagai contoh, boleh menimbulkan gangguan dalam penyampaian. Selari dengan prinsip selalu membaca, penulis perlu memastikan ejaan terkini, dan selalu menjadikan kamus, sama ada yang bercetak ataupun dalam talian, sebagai "rakan utama dalam bidang penulisan.

 11. Dapatkan maklum balas:

Penulis yang baik dan disegani akan mendapatkan pandangan dan respons daripada kumpulan sasaran mengenai hasil tulisan masing masing. Mendapatkan maklum balas mengenai hasil tulisan bukan satu tindakan yang memalukan. Dalam kebanyakan masa, penulis rasa malu dan segan untuk berbuat demikian. Sebaliknya, jika berbuat demikian, maklum balas tersebut akan membawa kita ke hadapan untuk memajukan kualiti penulisan, selain memperoleh idea atau pandangan terkini untuk terus menulis.

12. Hadiri kelas bahasa dan penulisan:

Walaupun sudah lama menulis, seseorang penulis wajib kembali ke kelas penulisan bagi memperkasakan pelbagai ilmu terkini selari dengan kemajuan teknologi. Sebagaimana bahasa dan proses komunikasi yang lain, penulisan juga mengalami perkembangan secara berterusan dan bersifat dinamik. Selari dengan pendidikan sepanjang hayat, setiap penulis perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Pendek kata, untuk menjadi penulis yang efektif dan menghasilkan bahan penulisan yang berkualiti, seseorang penulis perlu menggunakan deria atau anggota dalam diri mereka secara menyeluruh, iaitu minda, mata, telinga, mulut, tangan, kaki, hati, serta sudah pasti pen dan pensil (kini digantikan oleh pelbagai peranti terkini).

Sebenarnya penulisan merupakan satu daripada kaedah atau cara manusia berkomunikasi. Dalam kehidupan harian, kita menggunakan pelbagai cara untuk berkomunikasi; sama ada komunikasi lisan ataupun bukan lisan. Maka, antara tujuan utama penulisan adalah untuk merangsang minat atau tindakan para pembaca serta mencapai matlamat bersama.

Penulis perlu memastikan mesej  tulisan sampai kepada kumpulan sasaran dengan berkesan. Oleh itu, adalah penting setiap penulis perlu menulis sebagai seorang penulis, editor dan juga sebagai seorang  audiens bagi memastikan mesej yang disampaikan benar-benar diterima dan difahami oleh kumpulan sasaran dengan lancar. Jika tidak, proses komunikasi, dalam aspek ini penulisan akan berhadapan dengan gangguan, iaitu akan gagal memenuhi matlamat penulisan kita.Tahap kemahiran, pengetahuan, penguasaan bahasa, keperluan khalayak dan gaya penulisan penerbit akan menambahkan kekuatan dan kualiti setiap penulisan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HADIS 40 : Gesaan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah atau yang tiada kena mengena dengan diri

HARGA RUMAH DAHULU DAN SEKARANG

HADIS 40: TANDA-TANDA KIAMAT