KEKAL SIHAT HINGGA TUA
Apabila usia meningkat, kebanyakan individu akan mula mengalami gejala awal penyakit sendi atau saraf seperti kebas, sakit lutut, sakit belakang dan sebagainya.
Keadaan ini bukan perkara yang pelik kerana majoriti mereka yang berusia akan mengalami kesakitan seiring dengan peningkatan usia.
Jurupulih Anggota Flex Physiotherapy, Wan Muhamad Zahid Wan Zullkefli berkata, terdapat beberapa tip untuk kekal sihat yang boleh diamalkan.
Menurutnya, ini untuk mengurangkan masalah sakit sendi dan saraf pada usia tua nanti.
"Pertama, amalkan pemakanan sihat dan berkhasiat. Ini langkah paling penting untuk mengekalkan kesihatan.
"Makan mengikut panduan piramid makanan dan suku-suku separuh. Ini kerana ia merangkumi semua nutrien diperlukan tubuh dalam kadar yang betul.
"Pengambilan terlalu banyak makanan tidak sihat yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak akan menyebabkan masalah kesihatan serius seperti risiko kegemukan, masalah pencernaan, penyakit jantung, angin ahmar, kencing manis serta barah," katanya.
Menurut Wan Muhamad Zahid, pastikan minum air secukupnya iaitu lapan gelas sehari. Air sangat penting untuk menghidratkan semula tubuh.
"Boleh juga makan makanan yang mengandungi air seperti buah-buahan iaitu tembikai.
"Minum air yang mencukupi boleh menjadikan kulit lebih lembut, anjal, sekali gus kelihatan awet muda," katanya.
Kedua, kurangkan berat badan. Masalah berat badan berlebihan adalah punca utama menyebabkan seseorang berisiko menghidapi pelbagai masalah kesihatan.
"Antaranya tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol, kencing manis jenis dua, penyakit jantung, angin ahmar dan sakit lutut.
"Perkara yang kita sering terlepas pandang dengan berat badan berlebihan ialah, ia boleh menyebabkan masalah sakit lutut.
"Ini kerana berat badan berlebihan akan menekan sendi lutut. Ia berlaku apabila sendi lutut tidak mampu menampung berat berlebihan dan menyebabkan ruang serta tulang rawan lutut semakin menipis. Akhirnya terjadilah masalah radang sendi lutut (knee osteoarthritis)," katanya.
Kata Wan Muhamad Zahid, dapatkan rehat mencukupi kerana proses baik pulih badan akan berlaku semasa tidur pada waktu malam.
"Setelah menjalani rutin yang sibuk, kita perlu tidur di antara tujuh hingga lapan jam sehari supaya otot badan dan minda dapat berehat.
"Jika mempunyai rehat yang mencukupi, ia bukan sahaja membuatkan kita berasa segar dan bertenaga, malah tidak mudah jatuh sakit.
"Ini kerana tidur mencukupi boleh meningkatkan sistem imun badan," katanya.
Ketiga ialah bersenam. Memadai melakukan senaman ringan dan sederhana namun konsisten.
"Kebaikan bersenam sangat banyak. Antaranya membantu melancarkan peredaran darah, melegakan tekanan dan mengawal kadar gula dalam darah.
"Selain itu, senaman yang konsisten dan betul memperbaiki keseimbangan badan, kesan awet muda serta ketumpatan tulang lebih tinggi.
"Cara mahu konsisten bersenam, lakukan sekurang-kurangnya tiga hari seminggu untuk bersenam selama 30 minit atau satu jam. Detoks tubuh secara semula jadi dengan mengeluarkan peluh.
"Sekiranya tidak berkesempatan bersenam, cuba lakukan aktiviti boleh membuatkan badan berpeluh seperti berkebun, mengemas rumah dan sebagainya.
"Walaupun aktiviti ini dilihat remeh tetapi ia mampu mengubah tahap kesihatan seseorang," katanya.
Menurut Wan Muhamad Zahid, terakhir ialah rawatan fisioterapi. Apabila mula sakit badan badan, boleh cuba mencari penyelesaiannya.
"Kita tidak mahu sakit yang berterusan ini mengganggu tugasan harian. Rawatan terbaik ialah dengan rawatan fisioterapi.
"Ahli fisioterapi akan merawat punca masalah sakit melalui kaedah manual terapi, elektroterapi dan senaman.
"Sekiranya kesakitan sudah berkurang, maka boleh kembali aktif dan tubuh menjadi cergas," katanya.
Wan Muhamad Zahid berkata, walaupun seseorang itu masih muda namun mengalami sakit badan, mereka boleh berjumpa dengan pakar fisioterapi dan melakukan rawatan.
"Rawatan ini dapat membantu mengurangkan kesakitan dan mengelakkan ia berlarutan sehingga lanjut usia," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan