Sekolahku SEJAHTERA- Penjiwaan nilai murni sepanjang hayat
Hukuman yang dikenakan terhadap 18 orang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak.
Hukuman berat ke atas mereka sewajarnya dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan, khususnya buat warga UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya kejadian yang sama tidak berulang kembali. Kematian Allahyarham Zulfarhan lima tahun lalu merupakan kisah yang amat mendukacitakan. Pada 2 November 2021, keadilan akhirnya ditegakkan apabila kesemua pesalah terbabit telah dijatuhkan hukuman.
Mengimbas kembali peristiwa yang pernah menggemparkan negara pada 21 dan 22 Mei 2017, iaitu kira-kira lima tahun lalu mengisahkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain didera dengan tekapan seterika wap pada badannya secara berulang kali dan dipukul oleh sekumpulan pelajar sealiran kerana dituduh mencuri sebuah komputer riba, peristiwa tersebut masih terlekat dalam minda masyarakat. Akibat perbuatan tersebut, Allahyarham Zulfarhan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 setelah dirawat di Hospital Serdang. Kes ini mendapat perhatian dan liputan meluas media serta dianggap sebagai kes buli yang paling ekstrem pernah berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan di negara ini.
Pada 2 November 2021 yang lalu, apabila keputusan akhir dimuktamadkan, enam orang suspek dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun atas kesalahan pencederaan tanpa niat membunuh (Seksyen 330 Kanun Keseksaan), sementara 17 orang suspek dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan pencederaan (Seksyen 34 Kanun Keseksaan), berkuat kuasa pada hari yang sama. Kes ini memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa yang terlepas daripada tindakan undang-undang atas kesalahan yang dilakukan.
Kes tersebut merupakan satu daripada contoh insiden buli yang pernah menggemparkan negara ini. Apabila berbicara tentang kejadian sebegini, keperluan untuk memupuk kembali nilai-nilai murni dalam kalangan murid di sekolah perlu diteliti dan diperkemas semula. Tidak dinafikan bahawa sejak dahulu lagi amalan dan nilai-nilai murni telah diterapkan di bangku sekolah, namun hal tersebut dilihat tidak seiring dengan aspek kemajuan yang dinikmati oleh sesebuah negara. Oleh itu, pembudayaan amalan baik secara berterusan perlu dilaksanakan untuk melahirkan insan yang mempunyai nilai-nilai positif, sekali gus dapat menyumbang pada pembentukan kualiti kehidupan murid yang sejahtera dan mengekalkan nilai moral yang tinggi dalam diri mereka sehingga melangkah ke alam dewasa.
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera dan Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara. Begitulah visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bermatlamat untuk melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, selain melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera,selain menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara dan memberikan peluang pendidik la seluruh rakyat
Dari kaca mata rakyat, KPM merupakan entiti yang menjadi "nadi" kehidupan rakyat. Tanpa pendidikan, sesebuah negara itu akan mundur dan tidak mampu mewujudkan generasi pewaris yang mampu memberikan kesejahteraan dan keharmonian di sesebuah negara. Tanggungjawab KPM adalah untuk membangunkan sebuah sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan memenuhi aspirasi negara yang bermatlamat untuk memberikan peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia
KPM juga merupakan sebuah badan induk yang mentadbir sistem pendidikan negara ke arah mewujudkan suatu sistem pendidikan bertaraf dunia menerusi penanda aras sistem pendidikan pada peringkat global. Oleh itu, selaras dengan hasrat tersebut, KPM turut berusaha mewujudkan bahan bacaan dan rujukan dalam pelbagai bidang ilmu untuk murid sama ada pada peringkat sekolah rendah mahupun peringkat sekolah menengah.
Apabila berbicara tentang soal yang berkaitan dengan KPM, hal ini tidak dapat dipisahkan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang selama ini bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara Pelbagai program dan aktiviti di sekolah diadakan bagi memupuk amalan dan tingkah laku yang positif dalam kalangan murid. Pelbagai program telah diadakan sebelum ini termasuklah program kokurikulum yang bermatlamat untuk menyokong hasrat KPM bagi melahirkan murid yang dapat menghayati dan menerapkan nilai-nilai murni.dalam kehidupan seharian mereka.
Pada masa yang sama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang dilaksanakan bagi tempoh 2013 hingga 2025 pula bersedia untuk menyokong FPK untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan murid agar mereka dapat menempuh cabaran pada masa depan. PPPM juga mampu meneguhkan identiti nasional yang terikat dengan prinsip Rukun Negara.
Bagi menyokong aspirasi PPPM 2013-2025 sebagaimana yang dinyatakan, pada 21 Februari lalu, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan telah melancarkan program Sekolahku SEJAHTERA sebagai konsep yang berteraskan penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian murid. Menteri Kanan Pendidikan berpandangan bahawa inisiatif ke arah pembentukan budaya dan amalan murni di sekolah melalui guru dan murid dapat dipertingkatkan lagi dan dilaksanakan secara berterusan menerusi aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Menurut beliau, keperluan untuk memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA adalah untuk mengukuhkan lagi pelaksanaan program penerapan nilai-nilai murni sedia ada pada peringkat sekolah supaya lebih bersistematik.
Tokoh yang terpilih untuk mengemudi antara kementerian terkanan di negara ini bukan calang-calang individu kerana berpengalaman lebih dua dekad menabur bakti sebagai pensyarah dalam bidang perakaunan di Universiti Tasmania, Hobart, Australia. Beliau berhadapan dengan cabaran tersendiri apabila mengambil alih KPM sebagai Menteri Kanan Pendidikan ketika COVID-19 mula melanda negara. Untuk rekod, beliau antara barisan menteri yang berhadapan dengan situasi di luar dugaan ini, lebih-lebih lagi apabila membabitkan soal cabaran pengurusan bencana yang melibatkan dunia pendidikan negara. Dengan pelbagai isu yang terpaksa dihadapi terutamanya melibatkan isu pendidikan, beliau tenang mengemudi kementerian tersebut bersama-sama pasukan beliau biarpun berhadapan dengan pelbagai kritikan yang sudah menjadi resam bagi setiap pemimpin. Ternyata, dalam menempuh situasi yang sukar itu, beliau berjaya mengharunginya apabila sekolah kini sudah beroperasi seperti biasa dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2021 juga sudah berlangsung dengan jayanya.
Pengurusan pendidikan secara terancang, sistematik dan pelibatan beliau secara langsung dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan, selain konsep Sekolahku SEJAHTERA yang baru sahaja diperkenalkan, jelas menggambarkan kewibawaan dan keterampilan beliau dalam dunia pendidikan. Untuk menelusuri usaha beliau dalam menerajui KPM dan melaksanakan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang diperkenalkan, Sidang Editor Dewan Masyarakat berpeluang mengadakan wawancara secara eksklusif bersama-sama tokoh yang disegani ini dengan diketuai oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar.
"Jika diimbas kembali, dalam tempoh hampir dua tahun berada di KPM, apabila saya mula bertugas di kementerian ini, ada beberapa perkara yang dikenal pasti perlu diberikan perhatian khusus. Dalam tempoh tidak sampai seminggu selepas mengangkat sumpah pada 9 Mac 2020 dan memulakan tugas secara rasmi pada 11 Mac, kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu telah menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac bagi mengekang penularan pandemik COVID-19," bicara Dr. Radzi Jidin pada awal pertemuan kami. Jelas beliau, pada 18 Mac secara kebetulan pada waktu itu cuti persekolahan dan sejak pelaksanaan PKP, tumpuan pada sektor pendidikan begitu berbeza kerana pada waktu itu tidak ada sesiapa yang pernah menguruskan KPM dalam keadaan pandemik. "Tidak ada sesiapa yang berpengalaman. Menteri datang dan pergi, namun pegawai-pegawai di KPM ini cukup berpengalaman untuk menguruskan pelbagai perkara di kementerian. Namun begitu, pada kali ini keadaannya berbeza sama sekali," jelas Dr. Radzi Jidin.
Dalam mengharungi situasi yang amat mencabar itu, pelbagai pendekatan diambil oleh Menteri Kanan Pendidikan termasuklah turun padang ke sekolah secara kerap bagi mendekati warganya dan mengetahui permasalahan yang berlegar di sekitarnya. Melihat peri pentingnya kesejahteraan warga sekolah bukan sahaja dari aspek fizikal malahan aspek mental untuk menjayakan sistem pendidikan, konsep Sekolahku SEJAHTERA diperkenalkan oleh Menteri Kanan Pendidikan.
Secara rasminya kempen "Sekolahku SEJAHTERA" yang mengandungi 14 elemen telah dilancarkan oleh Menteri Kanan Pendidikan pada 21 Februari baru-baru ini. Sekali imbas, walaupun elemen ini dikatakan seakan-akan sama seperti nilai murni yang diterapkan pada peringkat sekolah sejak dahulu lagi, namun terdapat sesuatu yang menarik perhatian masyarakat apabila "roh" yang terkandung di dalamnya terus dimantapkan, lebih lebih lagi nilai ini semakin lama semakin terhakis dek pelbagai pengaruh negatif golongan muda-mudi yang kian menular kini.
Oleh hal yang demikian, sejauh manakah maklum balas yang diterima terhadap program ini? Apakah konsep Sekolahku SEJAHTERA dalam erti kata yang sebenarnya? Mengulas tentang hal tersebut, Dr. Radzi Jidin mempunyai pandangannya yang tersendiri. "Saya sebenarnya ingin memastikan bahawa konsep ini tidak dilihat sebagai konsep yang saya bawa sebagai menteri. Perkara yang disemai dalam konsep 'Sekolahku SEJAHTERA' ini, sewaktu saya mula mengetuai KPM, kami berbincang dan saling bertanya, apakah sebenarnya nilai-nilai penting dalam kehidupan yang dipegang oleh anak-anak ini selepas mereka keluar daripada sistem persekolahan kita? Kalau turun ke bawah, apakah konsep dan elemen penting kehidupan yang betul-betul diselami, difahami dan dibawa dalam diri mereka setelah mereka tamat pengajian ataupun pembelajaran daripada sekolah?," ujar Dr. Radzi Jidin. Persoalan tersebut menjadi keutamaan beliau dan pasukan di KPM untuk menghasilkan "resipi" baharu bagi menyegarkan semula semangat dan nilai-nilai murni dalam kehidupan murid. "Apa-apa yang kita dapati, konsep-konsep yang selalu disebut sebelum ini merupakan konsep yang baik, tetapi lebih kepada konsep yang umum, iaitu tentang sikap tolong-menolong, hormat-menghormati dan soal disiplin. Konsep-konsep ini merupakan konsep yang kita selalu dengar. Namun begitu, kita dapati konsep-konsep yang lebih menyeluruh dalam kehidupan kita tidak begitu disentuh," jelas Dr. Radzi Jidin.
Elemen Sekolahku SEJAHTERA Memancarkan Nilai Positif
Semasa pelancarannya baru-baru ini, banyak pihak melihat elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA mampu menggamit perhatian murid dan guru. Pada masa yang sama, Menteri Kanan Pendidikan juga memberikan jaminan bahawa pengenalan konsep ini di sekolah tidak akan membebankan para guru. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep Sekolahku SEJAHTERA bukanlah sebuah mata pelajaran baharu. Guru juga diyakini tidak akan terbeban apabila menerapkan konsep ini di sekolah. Menyedari hakikat tersebut, Dewan Masyarakat turut mendapatkan pandangan Menteri Kanan Pendidikan untuk mengulas hal yang berkaitan dengan 14 elemen yang terkandung di dalamnya.
"Konsep Sekolahku SEJAHTERA ini terdapat 14 elemen. Perkara utama yang perlu dihayati adalah apabila murid keluar daripada sistem persekolahan kelak. elemen-elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA diharapkan sentiasa berada dalam jiwa mereka dan perkara tersebut perlu diperkukuh dalam sanubari mereka," tegas Dr. Radzi Jidin. Tambah beliau, semasa perbincangan bersama pegawai di kementerian, kata sepakat telah dipersetujui bersama-sama apabila 14 elemen ini diputuskan. "S' yang pertama merujuk persekitaran yang sihat, selamat, dan seronok. Saya berikan contoh tentang elemen sihat. Sihat merupakan elemen yang ditekankan dalam soal kebersihan. Oleh sebab itu, apabila kita menyebut tentang 'Sekolahku SEJAHTERA ada pihak yang berpandangan bahawa hal tersebut sudah dilakukan. Saya tidak menafikan bahawa perkara tersebut betul. Akan tetapi, semakin hari penerapan dan penjiwaan itu semakin berkurangan serta tidak cukup kuat untuk murid pada era masa ini," ujar beliau.
"Jika kita lihat, aspek kesihatan sentiasa disentuh di sekolah. Memang kita sudah cukup sihat, namun bagaimanakah pula dengan konsep kebersihan?" soal beliau.
"Apabila saya duduk berbincang, saya jelaskan bahawa jika betul penerapan konsep kebersihan ini berjaya, mengapakah masalah berkaitan dengan isu kebersihan ini masih lagi tidak selesai?" Saya mula bersekolah pada tahun 1984 dan berumur tujuh tahun pada ketika itu. Hal ini sudah berlalu selama 38 tahun. Adakah kita melihat masalah itu yang berlaku dalam masyarakat selesai?" jelas Dr. Radzi Jidin seraya mengungkapkan persoalan tersebut.
Apabila diteliti secara mendalam, jelas situasi ini tidak pernah berpenghujung. Tambah beliau, orang ramai masih boleh melihat sampah sarap yang masih dibuang merata-rata tempat tanpa rasa bersalah. Maka itu, hal inilah yang sedang diterapkan kembali ke dalam jiwa murid agar tingkah laku mereka selaras dengan kemajuan yang kita sedang kecapi sekarang. "Kita sering memberitahu orang lain apabila kita berkunjung ke negara maju, kita perhatikan negara mereka begitu bersih. Oleh sebab itu, mengapakah amalan yang sama tidak cuba diterapkan di negara ini!" soal beliau.
"Sudah 38 tahun sejak saya di bangku sekolah, cikgu berpesan supaya menjaga kebersihan. Kita sudah pun belajar tentang aspek kebersihan. Akan tetapi mengapakah penjiwaan itu tidak berlaku? Kalau kita biarkan, adakah 40 tahun lagi akan selesai masalah ini? Oleh hal yang demikian, walaupun ada pihak yang mengatakan hal ini bukanlah konsep baharu dan sebagainya, namun kita mahukan penjiwaan itu ada dalam kalangan murid-murid kita, jelas Dr. Radri Jidin. Apa-apa yang diungkapkan oleh Menteri Kanan Pendidikan ini ternyata perlu diperkemas kembali dan nilai-nilai itu perlu diperbaharui serta diamalkan dari semasa ke semasa bukan sahaja pada peringkat sekolah rendah, menengah, pusat pengajian tinggi malah hingga ke hujung nyawa.
Kita tidak mahu masyarakat semakin hilang nilai pertimbangan pada saat zaman semakin moden. Menyentuh tentang hal ini, Dr. Radzi Jidin mengimbas kembali kes yang berlaku kepada Allahyarham Zulfarhan yang didera sedemikian rupa hanya kerana pihak yang menuduhnya mempercayai firasat dan hasil tilikan bomoh. "Apabila kita melihat contoh peristiwa yang berlaku terhadap Allahyarham Zulfarhan, pelajar di UPNM yang didera oleh rakan-rakannya sehingga melecur seluruh badan, bukan seorang yang mendera Allahyarham, tetapi berbelas-belas orang. Apakah yang berlaku kini kepada rakan-rakan yang mendera? Arwah meninggal. Sebuah keluarga hilang seorang ahli keluarga, ayah hilang seorang anak, emak hilang seorang anak. kakak hilang seorang adik, dan kawan kawan yang mendera itu berada di dalam penjara. Adakah tiada rasa belas kasihan apabila mereka menyeterika rakan mereka sendiri? Apakah yang berlaku terhadap anak-anak kita? Kering betul hati anak anak kita. Dalam kalangan yang mendera tu langsung tiada rasa empati. Apakah itu suatu keputusan yang rasional apabila tindakan yang dilakukan oleh mereka hanya kerana mendengar cerita daripada seorang bomoh?" hujah Menteri Kanan Pendidikan ini. "Mereka mempercayai percakapan bomoh terbabit yang mengatakan Allahyarham telah melakukan sesuatu dan tanpa usul periksa, mereka mengambil tindakan yang pada akhirnya menyebabkan rakan mereka kehilangan nyawa dan mereka yang mendera pula berhadapan dengan hukuman penjara. Oleh sebab itulah terdapat elemen rasional dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA." tegas Dr. Radzi Jidin.
Setiap kali berlakunya pertukaran peneraju di mana-mana kementerian, terdapat penganalisis dan pengkritik menyatakan bahawa pasti ada gagasan berbeza yang akan diperkenalkan oleh seorang menteri. Hal ini bukan perkara baharu dan dikatakan sudah menjadi resam setiap kali berlakunya pertukaran menteri. Dr. Radzi Jidin meleraikan persoalan tersebut dengan berpendapat bahawa hal itu tidak terkait dengan soal seorang menteri hendak memperkenalkan gagasan baharu atau tidak, namun perlu diingatkan bahawa hal sedemikian berkaitan dengan keadaan semasa dan persekitaran dalam konteks kita membina generasi pewaris negara.
"Apakah elemen-elemen penting yang ingin kita terapkan? Oleh Sebab. itulah pada konsonan terakhir, iaitu 'A' itu bermaksud 'artikulasi. Kadang kadang kita didedahkan dengan kisah majikan yang berkongsi tentang ramai graduan yang ditemu duga tidak dapat menjawab soalan dengan baik. Kadang kadang bukan kerana calon tersebut tidak menguasai ilmu tersebut, namun apabila mereka hendak berhujah dan menyusun hujahan itu, mereka kurang terdedah dengan pendekatan yang terbaik. Kita belajar di sekolah, ada pembukaan, ada isi, dan ada penutup. Akan tetapi, bagaimanakah caranya untuk menyusun hujahan-hujahan tersebut?," soal Dr. Radzi Jidin. Jelas beliau, apabila menyentuh tentang konsep SEJAHTERA ini, hal tersebut tidak terhad pada 14 elemen sahaja. Persoalannya, apakah yang perlu ada dalam diri seseorang itu? "Sama juga seperti konsonan "T", iaitu tekun, teliti dan terampil. Misalnya perkataan 'terampil', jika saya tanya apakah definisi terampil, ramai yang kurang faham bahawa maksud 'terampil lebih kepada soal kecekapan seseorang itu. Apabila seseorang itu cekap, barulah kita nampak gayanya yang meyakinkan,” ujar beliau. Tambah Dr. Radzi Jidin, banyak orang mengandaikan aspek terampil ini lebih kepada soal penampilan. Namun begitu, sebenarnya keterampilan itu berdasarkan kecekapan seseorang dalam aspek kehidupan mereka. "Kamus Dewan ada menyatakan bahawa terampil ini merupakan suatu kecekapan sebagaimana seseorang itu tekun bekerja dan teliti dalam melakukan sesuatu. Oleh itu, pemikiran aras tinggi bukan sekadar melibatkan perbuatan. Jika hendak melakukan sesuatu kita perlu tekun, teliti dan cekap," ulas beliau tentang maksud terampil dengan lebih mendalam.
Bukan Mata Pelajaran Baharu
Sudah menjadi lumrah atau kebiasaan apabila setiap kali perkara baharu diperkenalkan, timbul kerisauan kepada pihak pelaksana kerana memikirkan bebanan yang mungkin bertambah. Hal ini merupakan situasi yang normal, kerana mereka berandaian dengan bebanan sedia ada, adakah mereka mampu melaksanakan setiap perkara yang diamanahkan dengan sebaik-baik mungkin? Walau bagaimanapun, pada majlis pelancaran konsep Sekolahku SEJAHTERA baru-baru ini, Dr. Radzi Jidin memberikan jaminan bahawa guru-guru tidak perlu khuatir kerana beban mereka tidak bertambah. Hal ini demikian kerana konsep tersebut bukanlah sebuah mata pelajaran baharu.
Menurut beliau, KPM akan terus menerapkan perkara itu ke dalam jiwa para guru dan murid. "Alhamdulillah, secara umumnya penerimaan daripada guru dan murid amat baik. Apabila kementerian melakukan sesi libat urus bersama-sama ibu bapa, guru dan masyarakat, masing masing melihat konsep ini merupakan satu konsep yang baik." Tambah beliau lagi, "Sebaik-baik sahaja sekolah dibuka, kita berjaya memulakan penerapan konsep ini ke dalam sesi persekolahan." Secara tidak langsung, adakah ini sebuah mata pelajaran baharu ataupun sisipan kepada mata pelajaran sedia ada? "Mata pelajaran yang ada kini sudah cukup untuk pelajar sekolah. Konsep ini menekankan soal penerapan yang boleh dibuat secara langsung atau tidak langsung oleh guru," jelas Dr. Radzi Jidin menjelaskan perkara tersebut bagi meleraikan kekeliruan dalam kalangan murid dan guru.
Menteri Kanan Pendidikan turut mengingatkan bahawa keperluan untuk berhujah di dalam kelas amat penting dan hal tersebut dapat diterapkan melalui elemen "artikulasi". Beliau menyarankan supaya setiap patah kata hujahan itu perlu tersusun dengan baik. Apabila anak-anak ini sudah dewasa kelak, mereka akan sentiasa berfikir bahawa apabila hendak memulakan percakapan, perlu ada kaedah, ketertiban serta susunan mengikut keutamaan. "Insya-Allah apabila amalan ini sudah mula diterapkan walaupun mengambil masa yang lama, tetap dapat berlangsung dengan jayanya. Amalan penjiwaan ini mengambil masa yang panjang," ucap Dr. Radzi Jidin.
Menurut beliau, perkara utama yang perlu diterapkan oleh murid adalah dengan mengenali konsep. guru dan "Peringkat awal adalah untuk mengenali konsep. Oleh itu, kita berikan definisi ringkas untuk masing-masing faham akan konsepnya. Terdapat perkara yang perlu kita sentuh. Oleh sebab itulah pada masa yang sama, lagu Sekolahku SEJAHTERA turut dicipta untuk memahamkan makna konsep ini secara keseluruhannya," jelas beliau. Tambah Menteri Kanan Pendidikan, apabila sudah ada pemahaman dari segi konsep, maka perkara yang seterusnya pula melibatkan soal penerapan dan penjiwaan terhadap konsep tersebut.
Bersempena dengan Sambutan Hari Guru pada tahun ini dengan tema “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera" diharapkan seluruh warga pendidik mampu melonjakkan elemen SEJAHTERA agar penerapan dan penjiwaan dalam kalangan murid terhadap konsep ini dapat disemai sehingga mereka menempuh alam dewasa kelak. Penjiwaan elemen SEJAHTERA yang diperkenalkan oleh KPM ini perlu dilaksanakan secara holistik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Dalam hal ini sudah pasti murid yang berjaya menerapkan elemen SEJAHTERA ke dalam dirinya akan membentuk suasana persekitaran dan sekolah yang sejahtera sifatnya.
Ulasan
Catat Ulasan