Terapi robotik
"SELEPAS lapan sesi menjalani rawatan pemulihan robotik, cara saya berjalan semakin baik walaupun belum pulih sepenuhnya."Sebelum ini, cara berjalan tidak seimbang kerana saya mengangkat kaki kanan lebih tinggi berbanding kaki kiri," kata Zulkefli Yusof.
Zulkefli, 55, ialah pesakit angin ahmar yang menjalani rawatan pemulihan robotik di Klinik Untuk Pemulihan Robotik, Latihan dan Teknologi Lanjutan (Create) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurutnya, setakat ini, dia sudah menjalani rawatan pemulihan robotik tahap kedua."Selepas ini, saya akan menyambung semula rawatan berkenaan menggunakan modul baharu yang sebelum ini terhenti kerana pandemik Covid-19."Rawatan ini banyak memberikan perubahan dalam diri dan kehidupan saya," katanya.Zulkefli yang menetap di Ampang, Selangor berkata, dia diserang angin ahmar dua tahun lalu dan terlantar tidak boleh berjalan selama dua bulan."Pada mulanya, rakan yang mencadangkan saya menjalani rawatan fisioterapi di PPUM."Selepas beberapa sesi rawatan ini (fisioterapi), saya ditawarkan untuk menjalani rawatan pemulihan robotik," katanya.Kata Zulkefli, dia berminat menjalani rawatan ini kerana mahu mencuba kaedah rawatan terkini dengan keberkesanan pemulihan lebih baik.
Menurutnya, dia berharap dapat mencapai pemulihan sebanyak 90 peratus supaya dapat segera kembali bekerja.Sementara itu, Perunding Perubatan Pemulihan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Norhamizan Hamzah berkata, pemulihan robotik adalah kaedah rawatan, pemulihan dan keupayaan untuk pesakit kehilangan keupayaan sementara yang menggunakan kaedah teknologi terkini serta peralatan robotik.
Dr Norhamizan berkata, rawatan ini turut menggunakan bukti saintifik dan tidak menggunakan kaedah rawatan secara rambang."Fokus rawatan di Klinik Create ialah kepada pesakit dewasa yang mengalami ketidakupayaan fizikal dan kognitif iaitu pesakit saraf (neurologi), angin ahmar, kecederaan saraf tunjang, lumpuh serta mengalami trauma pada otak (disebabkan kemalangan)."Klinik ini diwujudkan tahun ini. Ia dilengkapi 10 peralatan robotik berteknologi tinggi untuk merawat pesakit."Ia membabitkan 'cogniplus and vienna test system', 'virtual reality rehabilitation', 'Armeo®spring and M2®', 'tibion bionic leg:robotic orthosis', 'g-eo system', 'balance trainer ® & balance master ®', 'motomed', 'bte:functional capacity evaluation system', functional electrical stimulation' dan 'driving simulation'," katanya.
Menurut Dr Norhamizan, PPUM menjadi hospital kerajaan pertama di Malaysia mempunyai kemudahan peralatan pemulihan robotik."Kemudahan ini dapat direalisasikan dengan kerjasama antara pakar perubatan pemulihan dan perunding kejuruteraan bioperubatan.Perkhidmatan Klinik Create kali ini lebih berstruktur, efisien dan sistematik. Maksudnya, pemilihan pesakit sangat tersusun, tempoh dan jenis rawatannya jelas," katanya.
Dr Norhamizan berkata, perkhidmatan pemulihan robotik sudah ada di PPUM sejak 2013, tetapi tidak mempunyai klinik khusus untuknya."Pesakit yang menjalani rawatan pemulihan robotik sebelum ini dipantau oleh pakar perubatan pemulihan masing-masing mengikut jenis penyakit dan ketidakupayaan mereka."Oleh itu, struktur rawatan setiap pesakit adalah berbeza tanpa pembabitan perunding kejuruteraan bioperubatan."Tetapi, sekarang berbeza kerana rawatan pemulihan robotik di Klinik Create membabitkan gabungan bersama pakar berkenaan," katanya.
Dr Norhamizan yang juga pensyarah kanan perubatan berkata, peratusan kepulihan pesakit mengikuti rawatan ini adalah bergantung kepada jenis dan tahap keterukan penyakit dihidapinya."Dalam proses rehabilitasi, lebih awal rawatan ini dilakukan maka peluang pesakit untuk pulih adalah tinggi."Contoh, pesakit angin ahmar, sekiranya mereka mengalami penyakit itu kurang daripada tempoh enam bulan dan menjalani rawatan pemulihan berstruktur dengan intensiti yang betul, maka kadar kepulihannya sangat tinggi."Kadar kepulihan boleh dicapai lebih kurang 90 peratus dan ia pencapaian yang sangat baik. Seterusnya mereka boleh menjalani kehidupan secara normal dengan kembali bekerja, memandu kenderaan dan sebagainya," katanya.
Dr Norhamizan berkata, contoh lain ialah pesakit yang sudah setahun diserang angin ahmar dan boleh berjalan, tetapi dengan bantuan tongkat."Oleh itu, rawatan pemulihan robotik ini boleh meningkatkan kualiti dan kelajuan pesakit berjalan. Kaedah rawatan ini menggunakan gabungan penggunaan peralatan robotik dengan fisioterapi."Menerusi gabungan kaedah ini, pesakit boleh pulih seawal empat bulan berbanding kaedah konvensional yang mengambil masa lebih enam bulan.
Bagaimanapun, pencapaian ini bergantung kepada tahap dan tempoh pesakit menghidap penyakit berkenaan," katanya.Ditanya mengenai kos rawatan, Dr Norhamizan berkata, ia antara RM40 hingga RM70 dan bergantung kepada peralatan robotik digunakan pesakit."Kebanyakan pesakit yang menggunakan rawatan pemulihan robotik ini adalah golongan orang kurang upaya (OKU), oleh itu mereka layak mendapat rawatan secara percuma."Kita akan pastikan semua pesakit mendapat kemudahan rawatan secara adil," katanya.
Menurut Dr Norhamizan, rawatan di klinik ini adalah sangat intensif dan bilangan pesakit untuk satu sesi tidak ramai."Bilangan maksimun pesakit untuk satu sesi rawatan ialah 10 orang yang dijalankan selama 30 hingga 40 minit."Tujuannya untuk memastikan pesakit berpuas hati dengan rawatan diberikan oleh pakar perubatan pemulihan bersama perunding kejuruteraan bioperubatan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan