BUDI BAHASA RAPUH CERMINAN INDIVIDU TOKSIK

 Cerminan budi bahasa yang tinggi sifatnya lahir dari lubuk hati semua orang. Dalam meniti era yang serba moden ini, budi bahasa dapat dilihat melalui percakapan secara langsung atau cara seseorang itu menulis dan berbicara dalam laman sosial. Sikap individu semasa berinteraksi dan berkomunikasi sememangnya melambangkan peribadi masing-masing. Ada kalanya seseorang itu tidak mempedulikan perasaan orang lain apabila berkomunikasi, iaitu tidak kira sama ada secara berdepan atau di alam maya.

Ada pihak yang kurang menghargai orang lain seperti rakan sekerja, jiran tetangga, pelanggan dan pekerja bawahan. Cara mereka semasa menyampaikan mesej ada kalanya menyerlahkan sifat dan peribadi yang sebenar. Apabila komunikasi yang tidak berhemah ini terjadi, maka sudah pasti akan berlakunya salah faham, sekali gus mengeruhkan hubungan sedia ada yang telah terjalin sejak sekian lama.

Oleh sebab itu, amatlah penting untuk kita membina persekitaran yang baik dengan orang sekeliling sama ada dengan rakan sekerja, pelanggan atau dengan pihak yang berurusan dengan kita supaya lingkungan kehidupan kita berada dalam situasi yang harmoni

Sebilangan pihak kini semakin kurang berinteraksi secara berdepan atau melakukan komunikasi secara bersemuka. Mereka lebih gemar menggunakan media sosial untuk berinteraksi sedangkan hal tersebut ibarat mencurah minyak ke dalam api kerana menyemarakkan lagi api kebencian. Semakin hari jelas kelihatan bahawa adab dalam berbahasa dan berkomunikasi semakin tidak beretika dalam kita meniti zaman yang serba canggih. 

Selain catatan status mereka dipenuhi dengan kata-kata kesat, sesetengah golongan muda pula begitu "liar" beraksi dengan bahasa ciptaan mereka sendiri yang kononnya dikatakan lebih menyerlahkan gaya hidup urban di bandar besar. Jika ada pihak yang memberikan komen dengan lebih berhemah menggunakan bahasa yang baik dan betul, individu tersebut bukan hanya diejek, malah turut ditertawakan oleh mereka.

Budi bahasa dan adab sopan sebenarnya dapat menyerlahkan pembangunan dan potensi dini kerana melalui penggunaan bahasa yang baik semasa berkomunikasi sama ada secara bersemuka atau tidak dapat melancarkan kehidupan seharian, baik di tempat kita mencari rezeki atau di mana-mana sahaja kita berada. Pada masa yang sama, hal ini boleh menyedarkan pihak yang selama ini tidak mengutamakan soal keterampilan berbahasa misalnya apabila berdepan dengan pelanggan di kaunter.

Mengimbas kembali pengalaman penulis semasa pergi dan pulang dari tempat kerja, masih ada pegawai perkhidmatan pelanggan mengherdik warga emas yang tidak begitu memahami cara untuk menggunakan pengangkutan awam. Ada yang diherdik dengan begitu kasar semasa berurusan di kaunter tiket kerana tiket hanya boleh didapati di mesin layan diri. Kejadian seperti ini bukan hanya sekali berlaku di hadapan mata penulis. Dalam satu kes lain, pihak berkuasa telah mengumumkan bahawa penggunaan pelitup muka di tempat awam tidak lagi bersifat mandatori tetapi sebagai pilihan individu. Namun begitu, peraturan tersebut masih lagi terpakai semasa berada dalam pengangkutan awam yang mewajibkan penumpangnya memakai pelitup muka. Jika ingkar, penumpang terbabit tidak dibenarkan untuk menaikinya. 

Dalam satu kes yang berlaku di hadapan mata, terdapat sebuah keluarga kecil yang datang dari luar bandar melibatkan pasangan suami isteri dan dua orang anak mereka diherdik secara kasar oleh petugas di sebuah stesen sistem transit aliran ringan kerana tidak memakai pelitup muka. Mereka kelihatan terpinga-pinga kerana tidak diberikan sebarang amaran atau sebarang nasihat sebelum itu. Apabila melihat wajah sang isteri, penulis menebak pastinya dia berasa amat malu kerana diherdik dengan nada kasar sebegitu di khalayak. Mujurlah pada ketika itu terdapat penumpang lain yang bermurah hati memberikan pelitup muka yang dibawa olehnya.

Kejadian seumpama ini bukan pertama kali disaksikan kerana kerap kali juga penulis menghulurkan pelitup muka kepada warga asing yang langsung tidak dibenarkan untuk menaiki tren tersebut walaupun sudah membeli tiket. Dalam kes sebegini, pihak pengurusan stesen berkenaan dicadangkan supaya menyediakan pelitup muka atau menjualnya di stesen tersebut untuk mengelakkan kes seumpama ini berulang pada setiap hari. Hal ini demikian kerana tidak semua orang yang peka dengan perubahan peraturan, lebih-lebih lagi bagi golongan dari luar bandar atau warga asing khususnya pelancong.

 Malaysia sedang menuju ke arah negara maju, maka petugas barisan hadapan khususnya pegawai perkhidmatan pelanggan perlu mengamalkan prinsip berbudi bahasa demi meningkatkan imej negara pada peringkat dunia sebelum kita melakukan transformasi yang lebih besar. Budi bahasa merupakan perkara utama atau asas yang akan dinilai terlebih dahulu apabila pihak luar berkunjung ke negara ini.

Budaya masyarakat Melayu amat menitikberatkan ketertiban dalam berkomunikasi tidak kira sama ada secara bersemuka atau melalui media sosial. Melalui amalan komunikasi yang baik. kita mampu membina kehidupan yang lebih tenang dan sentiasa ceria. Oleh itu amalkanlah sikap berbudi bahasa dan adab yang baik dalam berinteraksi dengan orang sekeliling. Tidak rugi apabila kita berbuat baik sesama insan dengan mengamalkan nilai murni kerana kesejahteraan hidup akan membawa keharmonian dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, amalan ini perlu diterapkan menerusi hubungan antara ketua dengan pekerja seliaannya sesama rakan sekerja, jiran tetangga mahupun dalam keluarga masing-masing. Menyentuh tentang hal ini, amalan berbudi bahasa yang menjadi nadi kepada budaya kita semakin dilupakan oleh sesetengah penjawat awam. Dalam konteks ini, setiap pelanggan harus dilayan dengan adil dan saksama kerana setiap masyarakat mempunyai perasaan dan maruah yang perlu dihormati. 

Sebagai penjawat awam yang diamanahkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, budi bahasa merupakan amalan yang wajar diutamakan terlebih dahulu dalam menjalankan tugas seharian. Perlu diingatkan bahawa, untuk terpilih sebagai seorang daripada pekerja dalam perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang mudah. Beribu-ribu permohonan diterima oleh setiap agensi pada setiap hari, namun tidak semua yang berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai penjawat awam. Oleh itu, kakitangan awam sedia ada perlu bersyukur dengan profesion masing-masing dan perlu diterjemahkan menerusi tugas yang diamanahkan demi meningkatkan mutu profesionalisme dan perkhidmatan yang ditawarkan

Sering kali juga kita mendengar kritikan  sesetengah pihak mengenai kelemahan dalam sistem penyampaian penjawat awam terutamanya membabitkan interaksi yang kurang beradab antara pegawai dengan pelanggan Oleh itu penjawat awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menonjolkan budi bahasa di tempat kerja termasuklah layanan, cara berfikir bertindak melahirkan perasaan pertuturan dan kelakuan yang ditunjukkan semasa menjalankan fugas

Pemikiran yang rasional mampu membentuk tindakan dan kelakuan yang disenangi oleh rakan sekerja dan pihak yang berurusan dengan kita Hal ini menyebabkan penjawat awam akan dapat membentuk satu budaya kerja dalam persekitaran yang positif, membanggakan organisasi dan akan dikenang oleh pihak yang berurusan Budaya kerja sedemikian merupakan antara nadi kejayaan sesebuah organisasi di seluruh dunia yang harus diamalkan oleh penjawat awam dalam membentuk mutu perkhidmatan yang cemerlang 

Sebagai penjawat awam. kawalan emosi semasa menjalankan tugas amatlah penting kerana mencerminkan keperibadian seseorang itu. Oleh hal yang demikian, organisasi yang dianggotai oleh pekerja yang tinggi budi bahasanya akan dapat memberikan kepuasan tinggi kepada pelanggannya.

Dalam hal ini, tanpa mengira bangsa. agama, pangkat atau darjat, budi bahasa melambangkan jati diri kita yang sebenar Jika kita tersasar dalam berbahasa semasa berbicara secara bersemuka atau di alam maya, tidak salah untuk kita memohon maaf. Slogan "Budi Bahasa Budaya Kita yang diperkenalkan sejak dahulu periu menjadi asas pegangan dalam kehidupan bermasyarakat Hormatilah individu lain atau tidak dapat tidak, hindarilah berurusan dengan individu yang menjadi "toksik dalam persekitaran pekerjaan demi mengelakkan kita tergelincir ke landasan yang sama


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HADIS 40 : Gesaan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah atau yang tiada kena mengena dengan diri

HARGA RUMAH DAHULU DAN SEKARANG

HADIS 40: TANDA-TANDA KIAMAT