Strategi Ar-Rahnu Gandakan Duit Dengan Bijak

 Strategi Ar-Rahnu Gandakan Duit Dengan Bijak

Buat duit dengan menggadai emas dan beranakkan emas. Ini adalah istilah yang sesuai dikaitkan dengan strategi Ar-Rahnu. Maksud Ar-Rahnu adalah sistem gadaian Islam. Lebih spesifik, ia memberikan peluang untuk kita menggadaikan emas kita, untuk ditukarkan dengan wang ringgit.

Sebelum instrumen pelaburan logam popular di Malaysia, hanya segelintir individu sahaja yang tahu medium gadaian ini. Ar-Rahnu biasanya memberikan nilai pinjaman yang besar iaitu:

50% hingga 70% daripada nilai emas yang kita pajakkan.

Sebagai pelabur logam jutawan, kita melihat Ar-Rahnu sebagai satu pusat mesin duit yang lumayan. Strategi ini juga dikenali sebagai strategi sedut duit daripada organisasi berduit. Tetapi pastikan ada ilmu yang secukupnya dan modal yang cukup, sepertimana yang akan dirungkaikan di bawah ini.


Kekuatan Emas Fizikal

Kupasan dalam bab ini akan mengukuhkan lagi minda kita sebagai pelabur jutawan. Satu daripada logam yang ditekankan dalam buku ini adalah emas. Ia mempunyai nilai yang luar biasa. laitu emas boleh digadaikan.

Sebagai contoh, kita berada dalam situasi memerlukan duit dengan kadar yang segera. Ketika itu, kita hanya mempunyai emas. Tanpa perlu risau atau berfikir panjang, kita boleh jadikan emas sebagai alat cagaran untuk dapatkan pinjaman.

Namun begitu, menggadai emas sesuka hati boleh jadi satu tindakan yang kurang bijak, apabila kita jahil dalam ilmu memanfaatkan pelaburan logam. Emas yang digadaikan tanpa perancangan yang betul, kelak akan membuatkan kita terduduk bingung.


Strategi Lebarkan Sayap Pelabur Logam Jutawan

Pakar-pakar pelaburan seperti Peter Lynch, Warren Buffett, Benjamin Graham dan ramai lagi bersetuju bahawa kita tidak boleh bergantung pada satu jenis sumber pelaburan.

Terdapat puluhan peluang atau instrumen selain daripada pelaburan logam. Dengan menguasai strategi Ar-Rahnu, kita dapat melebarkan sayap dengan lebih luas. Caranya adalah menerusi menambah lebih banyak portfolio pelaburan.

Dengan nilai pinjaman hasil daripada gadaian emas, kita dapat gunakan duit itu untuk membeli beberapa sumber kekayaan baru seperti:

  • Hartanah.
  • Saham.
  • Bisnes.

Ini adalah sebab utama mengapa orang kaya terus kaya Kerana duit yang diperoleh tidak digunakan secara membabi buta 

Strategi Ar-Rahnu ini sebenarnya adalah satu lagi strategi untuk kita memanipulasi kekayaan cara halal.

Bagaimana Maksimumkan Pinjaman

Alang-alang meminjam, kita pinjam sebanyak mungkin. Ini adalah strategi para pelabur logam yang bijak. Dari sudut orang yang jahil kewangan, meminjam duit terlalu banyak akan menyebabkan saluran kewangan kita bakal parah dalam jangka masa panjang.

Namun dari sudut pelabur logam yang bijak, semakin tinggi nilai pinjaman, semakin seronok untuk mereka mengembangkan saluran pendapatan. Apabila kita tahu strategi Ar-Rahnu yang betul, ia akan mewujudkan obsesi yang bijak terhadap dunia kekayaan.

Gadai Emas Berdasarkan Kuantiti

Formulanya begini. Semakin banyak kuantiti gram emas, semakin tinggi nilai pinjaman yang boleh kita ambil. Ini kerana nilai pinjaman akan diberi berdasarkan jumlah berat dan ketulenan emas. Justeru itu, cara yang terbaik adalah menggadaikan emas dengan kuantiti yang banyak

Untuk langkah yang lebih bijak, jangan gadaikan semua emas yang kita ada. Gadaikan jumlah yang kita perlukan atau kuantiti tertentu sahaja. Dalam erti kata lain, pastikan kita masih lagi mempunyai emas dalam tangan.

Dalam masa yang sama, bersiap sedia untuk membayar kos upah simpan. Ini kerana semakin banyak nilai emas, semakin tinggi kos yang perlu kita tanggung,


Cara Bijak Gadai dan Tambah Sumber Kekayaan

Selepas memperoleh pinjaman, langkah seterusnya adalah cara kita menggunakan duit itu. Pelabur logam yang cetek ilmunya terhadap wang biasanya tergoda emosi, untuk membelanjakan wang itu ke tempat yang tidak betul.

Mereka cenderung menggunakan wang pinjaman untuk membeli item-item yang digelar liabiliti. Liabiliti adalah item yang mengambil duit daripada poket kita, tanpa memberikan sebarang pulangan keuntungan.

Kita boleh letakkan contoh liabiliti sebagai contoh, telefon bimbit, aksesori kereta, tiket panggung wayang, gajet dan sebagainya, Bahayanya liabiliti adalah, ia merupakan item yang membangkitkan nafsu. Jika gagal dikawal, kelak boleh jatuh lingkup.

 Ambil Kesempatan Terhadap Waktu Harga Emas Jatuh Miskin

Oleh disebabkan emas adalah item komoditi, ia mempunyai waktu ghairah dan waktu miskin. Waktu ghairah adalah ketika harga emas itu sedang seronok melonjak naik. Manakala waktu miskin pula adalah ketika harga emas sedang pilu menjunam turun.

Fokus kita adalah memerhatikan waktu yang dilihat sebagai waktu miskin. Iaitu ketika harga emas sedang menunjukkan prestasi yang hambar. Ketika harga sedang turun, ini adalah waktu yang sesuai untuk kita menggunakan strategi Ar-Rahnu.

Ini bermaksud, kita pajak emas-emas pada harga yang rendah. Bagaimana untuk mengambil kesempatan terhadap strategi ini?

Berikut adalah strategi mudah yang boleh dipraktikkan apabila berlaku situasi harga emas jatuh miskin: 

1. Sebaik sahaja kita dapat mengesan atau menghidu harga emas sedang menjunam turun, segera pajakkan emas kita di Ar-Rahnu.

2. Apabila memperoleh duit pinjaman, gunakan ia sebagai modal untuk kita membeli lebih banyak item emas. 

3. Sebaik sahaja harga emas kembali ghairah, iaitu meningkat naik, jual kembali emas itu kepada individu yang berminat.

4. Gunakan duit untung untuk tebus emas yang dipajak.

 5. Baki selepas membayar kos itu dikira sebagai nilai keuntungan kita.

Dengan kata lain, yang terbaik jika menggunakan teknik ini adalah tempoh masa kurang 6 bulan ke satu tahun. Langkah- langkah di atas memberikan penekanan terhadap keupayaan, untuk kita mencipta keuntungan sebaik sahaja harga emas menurun.

Strategi Ar-Rahnu ini sering digunakan berkali-kali oleh pelabur logam yang bijak. Lebih-lebih lagi jika kita tahu membuat analisis teknikal terhadap prestasi harga emas.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HADIS 40 : Gesaan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah atau yang tiada kena mengena dengan diri

HARGA RUMAH DAHULU DAN SEKARANG

HADIS 40: TANDA-TANDA KIAMAT