STRATEGI MENGHADAPI CABARAN EKONOMI 2023

Banyak ahli ekonomi meramalkan bahawa tahun 2023 akan menjadi tahun yang sukar. Hal itu demikian kerana tahun 2023 diramalkan akan berlakunya kelembapan ekonomi global kerana krisis perang Rusia-Ukraine dan bencana alam yang telah menyebabkan berlakunya krisis rantaian global. Situasi itu telah menyumbang kepada berlakunya peningkatan kadar inflasi pada peringkat global. Oleh itu, ekonomi Malaysia berdepan dengan dua cabaran utama.

Pertama, Malaysia perlu segera menyusun strategi untuk berhadapan dengan kelembapan ekonomi global pada tahun ini. Kedua, menangani halangan struktural yang menjejaskan kualiti kehidupan rakyat dan membelenggu negara daripada terus berdaya saing.

Bagi mengatasi cabaran ekonomi ini, pelaksanaan yang berkesan perlu bersifat transformatif. Isu kos sara hidup, kualiti pekerjaan dan pendapatan, lambakan pekerja asing, sekuriti makanan, bekalan makanan, tarikan pelabur, adaptasi teknologi, pengangguran dalam kalangan siswazah dan belia,keselamatan sosial, dan jurang wilayah memerlukan keazaman dan komitmen politik untuk menyelesaikannya.

Apabila membincangkan isu kos sara hidup, subsidi dan harga yang murah merupakan satu daripada cadangan penyelesaiannya. Kita mungkin terperangkap dengan naratif yang lapuk dan salah, iaitu apabila kerajaan memberikan subsidi kepada pengeluar harga produk dan perkhidmatan menjadi murah, kos sara hidup rakyat juga turun.

Golongan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meringankan kos sara hidup rata-ratanya terdiri daripada kumpulan yang berpendapatan rendah. Jurang pendapatan antara T20 dengan B40 semakin lebar. YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia menegaskan bahawa masyarakat perlu mencari pendekatan baharu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Masalah kos sara hidup merupakan masalah lama. "Kita perlu mencari jalan penyelesaian baharu yang mampan, tidak membebankan, yang produktif. tidak menghalang kemajuan negara, yang menyelesaikan masalah, dan bukan simptom. Struktur ekonomi negara mesti berubah dan tidak boleh selamanya bergantung pada subsidi dan harga murah," tegas beliau.

YAB Dato' Seri Anwar berulang kali menyebut bahawa fokus utama kerajaan dan kabinet ialah memacu ekonomi dan menangani kos sara hidup. Hal ini memerlukan perincian hal ehwal kos sara hidup. Antara tindakan yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan cabaran kos sara hidup ditangani dengan komited, berkesan dan dirasai manfaatnya adalah sebarang pengumuman fokus mesti disusuli dengan tindakan yang berkesan berdasarkan kerangka yang jelas, matlamat yang ingin dicapai, strategi tindakan, tanggungjawab pelaksanaan, pemantauan, dan pelaporan pencapaian. Sehubungan dengan itu, bagi mengukuhkan komitmen dan akauntabiliti pelaksanaan yang berkesan, kerajaan telah mengumumkan kerangka tindakan. Sebagai contohnya, kerajaan memperincikan sasaran. keberhasilan yang boleh diukur, dilaporkan dan difahami oleh semua pihak. Isu kos sara hidup juga perlu merentasi pelbagai portfolio kementerian. Hal ini memerlukan pembentukan pasukan tindakan khas untuk mengukuhkan koordinasi antara kementerian atau agensi, merangkumi aspek utama yang perlu ditangani.


Di samping itu, maklumat terkini perlu dikongsi secara terbuka. Portal khusus perlu diwujudkan bagi perkongsian maklumat terkini secara terbuka dan boleh dicapai oleh masyarakat. Malahan, panel bebas yang dianggotai oleh individu yang berwibawa untuk menilai kemajuan secara terperinci dan memberikan pandangan serta cadangan tindakan perlu dibentuk.

Penyusunan semula jentera kerajaan yang membolehkan koordinasi pelaksanaan yang berkesan juga penting untuk memusatkan semua hal ehwal ekonomi yang strategik di bawah Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia. Antara lain Majlis Tindakan Ekonomi mesti diperkasakan sebagai majlis induk bagi membincangkan dan memantau pelaksanaan dan pencapaian hal ehwal ekonomi yang berkaitan.

Malaysia perlu berubah untuk terus maju, cemerlang, berdaya saing, dan menjadi negara yang dihormati. Polisi ekonomi dan tatacara kita menangani cabaran semasa perlu diselaraskan dengan matlamat pembangunan negara. Pelaksanaan dan kemajuan setiap sektor ekonomi seharusnya dipantau dengan rapi. Rakyat mesti dibantu secara bersasar, berdasarkan keperluan dan matlamat yang jelas dengan cara yang tidak merencatkan rancangan pembangunan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HADIS 40 : Gesaan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah atau yang tiada kena mengena dengan diri

HARGA RUMAH DAHULU DAN SEKARANG

HADIS 40: TANDA-TANDA KIAMAT