PRAKATA
BISMILLAH
Terima kasih kerana memilih buku ini sebagai santapan minda. Buku ini ialah latihan menulis bagi sesiapa sahaja yang berminat dan bercita-cita untuk menjadi penulis. Sekiranya anda tiada masa yang banyak untuk membaca buku ini, memadailah anda membaca Bab 1 dan 2 buku ini sahaja. Sekiranya anda tersangat sibuk, cukuplah dengan membaca Bab 2 sahaja.
Tip menulis yang dikongsi dalam buku ini sebahagiannya merupakan idea berdasarkan pengalaman pengarang sendiri. Selainnya merupakan idea yang terbit daripada beberapa sesi perkongsian tip menulis. Anda akan mendapati bahawa ada beberapa tip menulis yang sememangnya telah pun dibincangkan oleh ramai pakar. Namun begitu, beberapa petua yang baharu akan dapat anda temui dan mungkin cara dan gaya penulisannya sesuai dengan anda.
Sebahagian besar daripada kandungan buku ini bersumberkan sesi-sesi diskusi atau perkongsian yang diadakan oleh pengarang dalam kumpulan kecil (sekitar 5 orang) bagi melatih peserta untuk memantapkan kemahiran penulisan. Sesi berkenaan dibahagikan kepada 3 komponen diskusi: Faktor-faktor yang memungkinkan makalah ditolak majalah/surat khabar untuk penerbitan. Faktor-faktor makalah yang ditulis wajar dipertimbangkan majalah/akhbar untuk penerbitan.Faktor-faktor makalah yang ditulis sesuai untuk dihantar bagi tujuan pertimbangan penerbitan.
Anda akan menemukan enam karya asal pengarang yang kemudiannya telah diterbitkan oleh majalah tempatan. Diharapkan makalah berkenaan berguna bukan sahaja sebagai panduan penulisan, tetapi juga faedah ilmu daripada diskusi dalam rencana berkenaan.
Perbincangan dalam buku ini bukanlah setakat lontaran idea pengarang. Termuat dalam buku ini juga idea orang-orang sebelum pengarang yang jasanya terhadap dunia penulisan dan pengarang sendiri amatlah besar.
Tidaklah dapat disenaraikan nama-nama mereka di sini, wajar disebut nama Ayahanda Firdaus Abdullah yang mana ilmu dan pengalaman penulisan beliau kedua-duanya mempunyai impak yang besar kepada pengarang, bukan sahaja dalam dunia penulisan, tetapi juga dalam institusi kekeluargaan. Bonda Nik Safiyah Karim juga berperanan dalam kehidupan penulisan dan berkeluarga pengarang dan tergolong dalam senarai ini.
Buku ini tidak setakat berperanan sebagai latihan menulis kepada anda untuk menghasilkan makalah bagi terbitan majalah atau akhbar, tetapi tip yang dikemukakan itu sejagat sifatnya, iaitu sama sahaja, boleh digunakan untuk semua jenis penulisan.
Seperkara penting lagi adalah tentang adanya puluhan kata-kata motivasi kehidupan dan menulis yang dimuatkan dalam buku ini. Mudah-mudahan anda boleh mendapat manfaat daripadanya. Sebelum anda memulakan pembacaan buku ini, renungilah kata motivasi berikut:
Bersakit-Sakit Dahulu, Bersenang-Senang Kemudian.
Siapa dan di mana anda sekarang sebenarnya tidaklah begitu penting. Menjadi apa, dan menuju ke arah mana yang anda bergerak itulah yang sepatutnya anda risaukan. Destinasi dan matlamat perlu jelas. Kalau anda memang tidak berkemahiran menulis, berusahalah memahirkan diri anda. Jika tidak ada idea, wajibkan membaca ke atas diri anda. Jika tiada ilmu menulis, ikuti kelas-kelas yang dianjurkan.
Jangan diikat diri anda dengan bagaimana pilunya kehidupan anda pada masa lalu. Leraikanlah ikatan itu daripada diri anda dengan sentiasa memulakan kehidupan baharu. Percayalah dengan izin-Nya, esok masa ada untuk anda. Kata bijak pandai, "Setiap detik dalam hidup ialah perjalanan, setiap perjalanan merupakan pelajaran dan guru yang paling pintar ialah kepiluan." Bijak pandai juga ada berkata, "Misery is a better teacher than happiness."
Manusia akan lebih insaf dan belajar melalui kesusahan daripada kesenangan kerana kesenangan itu lazimnya melekakan. Kepiluan mengembalikan kita ke landasan dan menjelaskan semula destinasi dan matlamat kehidupan.
BAHAGIAN A -KONSEP-KONSEP PENTING
SINOPSIS
BAHAGIAN A mengandungi 3 bab. Anda akan menemukan perbincangan mengenai tujuh tip pantas menulis yang menjadi tajuk buku ini dalam bab satu. Ketika anda membaca bab ini, bayangkan bahawa pantas menulis itu seperti terjun meluncur salji atau sebarang sukan meluncur yang lain.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan petua menulis dan memahami siapakah yang dikatakan intelektual masyarakat dimuatkan dalam bab yang sama.
Dalam bab 2 pula, anda dijelaskan tentang konsep penulisan meluncur yang menjadi sebahagian daripada tesis buku ini. Perbezaan konsep penulisan berangka dan penulisan meluncur dimasukkan berserta beberapa contoh yang penting. Selain itu, anda diperkenalkan dengan tokoh-tokoh penulis dan tokoh-tokoh sukan luncur yang hebat dalam bab yang sama ini.
Bab 3 adalah huraian tentang lima petua umum penting penulisan yang mana anda diperkenalkan dengan dua tokoh penulis hebat, iaitu Imam al-Ghazali dan William Shakespeare. Bab tiga ini juga memasukan perbincangan mengenai asam garam penulisan.
Kenapa berlengah-lengah lagi, anda boleh terus membaca dan kemudiannya nanti dengan izinNya luncur menulis berdasarkan tip pantas menulis dan kaedah luncur menulis dibincangkan dalam Bab 1 dan 2 buku ini.
BAB 1
Tujuh Tip Pantas Menulis
Pendahuluan
MASA itu emas. Kalau sememangnyalah ada kaedah menulis pantas, tentulah masa menulis yang berhari-harian itu dapat dimanfaatkan untuk perkara- perkara lain juga. Penulisan atau wacana teks sememangnya penting, sehingga ada disebut tentang betapa berpengaruhnya mata pen itu berbanding dengan mata pedang. Melalui penulisan, perubahan terhadap masyarakat daripada yang mundur kepada yang maju dapat dilakukan. Ini hanya dapat dilakukan sekiranya anda itu sememangnyalah intelektual masyarakat.
Bab satu ini adalah perbincangan tiga perkara berikut:
a. Tujuh tip pantas menulis
b. Kepentingan petua menulis, Masa itu Emas
c. Beza wacana teks berkualiti dan berkesan
a. Tujuh Tip pantas Menulis
Ringkasnya, penulisan meluncur adalah teknik pantas menulis dengan terus mencoret idea-idea yang hendak disampaikan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Teknik ini berbeza sama sekali dengan penulisan berangka yang memerlukan seseorang itu menyiapkan struktur idea terlebih dahulu sebelum memulakan penulisan.
Persamaan antara kaedah berangka dengan kaedah meluncur atau apa-apa kaedah lain sekalipun ialah penulis itu mestilah sudah menguasai idea yang hendak dilontarkan ke dalam rencananya.
Sebelum membincangkan ketujuh-tujuh tip ini dengan terperinci, wajar juga dikongsikan kata-kata motivasi berikut:
Berakit-Rakit ke Hulu, Berenang-Renang ke Tepian
Kata orang yang berhikmah, jika kita boleh sentiasa meletakkan satu kaki selangkah di depan kaki yang satu lagi, kita akan sampai di tempat yang dituju akhirnya. Merasakan diri kita serba tidak berkemahiran dalam menulis tidak mengapa. Apa-apa sahaja yang kita tahu tentang penulisan, kita cuba tuangkan. Merasakan diri serba tahu, tetapi sebenarnya tidak pun begitu, adalah bodoh sombong. Kata John Ruskin (1819-1900), seorang penulis dan ahli falsafah Inggeris, "Penghargaan paling besar bagi orang yang bekerja kuat bukanlah apa yang dia peroleh daripada pekerjaan itu, tapi sejauh mana perkembangannya dengan kerja kuatnya itu."
Susah memang susah. Hendak jadi penulis memang payah. Ini bukan perihal magis atau silap mata. Bukan sahaja perlu bersengkang mata, banyak yang ditulis ke tong sampah sahaja. Anda mungkin gagal menerbitkan artikel, tetapi anda telah berjaya mengetahui dan berpengalaman pada satu laluan yang gagal. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Lakukan koreksi diri. Mungkin topik yang ditulis sudah basi, mungkin penulisannya hambar tiada interaksi, monolog sahaja. Mungkin isunya sangat sensitif. Minta pandangan pakar sekiranya rencana masih lagi terus ditolak.
Yang berikut ialah perbincangan tentang tujuh tip khusus menulis kaedah meluncur ini.
1. Makan apa yang hampir, tulis apa yang terlintas
Anda mungkin pernah berada dalam jamuan makan. Di atas meja terhidang pelbagai juadah dan lauk-pauk. Pepatah ada menyebut, "Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Sekiranya banyaknya makanan itu boleh menyusahkan anda, ambil sahaja makanan yang terdekat.
Penulisan kaedah meluncur juga hampir sedemikian rupa. Kadang kala kita mempunyai terlalu banyak idea atau perkara yang hendak ditulis sehingga kebingungan apa yang hendak dituangkan ke dalam rencana. Tulis sahaja apa-apa yang terlintas. Jika anda tidak melakukan perkara ini, anda akan terus kebingungan dan akhirnya tidak ada satu idea pun yang dapat ditulis. Setelah menulis sahaja apa-apa yang terlintas, anda boleh menyusun semula idea-idea berkenaan kemudian.
2. Gunakan teknik analogi
Terdapat banyak teknik penceritaan atau laporan dalam sesebuah rencana. Beranalogi adalah salah satu daripadanya dan anda perlu berani menggunakannya. Jika anda hendak menulis tentang patriotisme, fikirkan apakah yang boleh dikiaskan dengan kesetiaan kepada negara. Mungkin anda boleh menganalogikan kesetiaan kepada negara dengan kesetiaan kepada jenama.
Tidak pasti kata-kata motivasi ini relevan di sini untuk anda ataupun tidak, tetapi renungkanlah kesesuaiannya dengan kebolehan anda, dan berikut adalah kata-kata motivasi tersebut:
Ukur Baju di Badan Sendiri dan Berani Gagal
Malas adalah ujian terbesar menulis dan pastinya anda bukan pemalas. Ciptakan piawaian anda berdasarkan kemampuan sendiri. Ukurlah baju di badan sendiri. Menjadi kuat bukan bererti anda tidak pernah kalah. Ada orang berkata, memiliki keazaman bangkit kembali setapak berundur kalah tetapi menyimpan tenaga adalah kehebatan sebenar. Menyerah kalah adalah lemah, tetapi membandingkan kehebatan orang dengan kemampuan sendiri bukan caranya. Menambahkan tekanan sahaja kalau bukan badan sendiri yang diukur untuk baju sendiri.
Sebenarnya banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kepayahan dan kegagalan menulis. Kematangan terbina apabila kita belajar daripada kepayahan dan kegagalan itu. Ada kata-kata yang menyebut, "Kepayahan tidak pernah dirasakan oleh mereka yang tidak mahu berusaha." Kalau memang anda tidak mahu menjadi penulis, tidak mengapa. Memang betul, Banyak profesion lain di luar sana yang boleh anda ceburi dengan bakat semula jadi anda. Berangan-angan sahaja tidak memungkinkan anda menjadi penulis. Anda perlu luncur menulis dan jangan malu kecundang, sebaliknya beranilah menghadapi kegagalan.
Sebenarnya, anda boleh juga menggunakan kiasan tidak berdasarkan makna, tetapi berdasarkan bunyi sebutan perkataan. Contohnya, jika anda hendak menulis tentang orang yang korup (rasuah), anda boleh menganalogikannya dengan orang yang berkurap. Hal ini dikatakan kerana masing-masing akan cuba menyembunyikan keburukannya. Kedua-duanya boleh menjadi barah, dan rawatannya juga tidak mudah.
3. Pilih definisi atau peristiwa
Bagaimanakah hendak memulakan luncuran? Ahli akademik gemar menggunakan teknik definisi. Kebiasaannya, tekniknya berbeza dengan para wartawan. Berdasarkan pengamatan, wartawan gemar memulakan luncuran tulisannya dengan melaporkan peristiwa. Sebenarnya tiada teknik yang khusus untuk memulakan penulisan. Terpulanglah kepada kreativiti masing-masing.
Sekiranya anda memilih untuk meluncur dengan definisi, tulis sahaja definisi yang berkaitan dengan tajuk makalah anda. Jika anda hendak menulis tentang patriotisme misalnya, teruslah menulis definisi istilah itu. Anda boleh meminjam mana-mana definisi yang ada dengan menyatakan sumbernya.
4. Pernyataan atau soalan
Anda boleh luncur menulis dengan mengemukakan pernyataan seperti, "Tiga sebab kekuatan mata wang Dolar Amerika Syarikat berbanding dengan RMB/Yuan negara China." Selepas memberikan definisi atau melaporkan peristiwa berkaitan mata wang, terus tulis sahaja tiga sebabnya.
Anda juga boleh memilih kaedah melontarkan soalan, "Benarkah mata wang RMB China tidak dapat menyaingi mata wang Dolar Amerika Syarikat?" Sama juga seperti sebelumnya, nyatakan tiga sebab-sebab atau jawapannya.
5. Kemudiankan penggunaan istilah yang tepat dan pepatah
Ahli peluncur salji yang profesional bukan sahaja tepat pergerakannya, tetapi juga boleh mempamerkan skil tertentu yang berbunga-bunga. Penonton yang kegembiraan melihat skil tersebut akan bertepuk tangan dan bersorak-sorakan. Memanglah penulisan yang baik perlu tepat dari segi istilahnya.Penggunaan pepatah atau peribahasa pula akan mencantikkan lagi persembahan dan mengukuhkan lagi ketajaman buah fikiran dalam penulisan. Hal ini tentunya boleh mendatangkan kesedapan dan keseronokan kepada pembaca.
Anda tidak akan boleh menghasilkan rencana sekiranya anda sibuk memikirkan istilah yang tepat, ayat yang betul, nahu yang tidak salah dan keperluan penulisan yang baik ketika anda sedang menulis. Luncur sahaja menulis dan jangan berhenti hingga sampai di sasaran akhir (kira-kira 1000 patah perkataan).
6. Buka dan tutup dengan tudung saji yang sama
Dalam kursus-kursus penulisan, ada disebut tentang kepentingan urutan dan tautan untuk menghasilkan rencana yang berkualiti. Sekiranya anda luncur menulis dan terus menulis, secara semula jadinya nanti tautan dan urutan idea dari satu perenggan ke satu perenggan akan terbina. Inilah kelebihan penulisan kaedah meluncur. Tautan dan urutan yang istimewa terletak pada rencana yang dibuka dan ditutup dengan tudung saji yang sama. Apa maksudnya kata-kata ini? Jawapannya ada pada contoh yang berikut.
Sebagai contoh, dengan memilih menggunakan kaedah definisi (tip ketiga), perenggan pertama bagi makalah bertajuk "Kecintaan kepada Keluarga dan Kecintaan kepada Negara" dibuka dengan tudung saji yang berikut:
Patriotisme adalah perasaan bangga dan bersyukur terhadap pencapaian negara dan perasan malu dan bersalah kerana tidak dapat menyumbang kepada kemakmuran negara.Tudung saji yang sama perlu digunakan pada perenggan akhir seperti contoh yang berikut:
Kita perlu setia kepada negara sebagaimana kesetiaan kita kepada keluarga. Kita bangga dan bersyukur dengan pencapaian ahli keluarga, kita juga patut bangga dan bersyukur dengan pencapaian negara. Kita malu dan bersalah jika tidak menyumbang kepada kebahagian keluarga. Kita juga patut malu dan bersalah jika tidak menyumbang kepada kemakmuran negara.
Keistimewaan penulisan seperti ini memerlukan latihan yang kerap. Apabila anda memulakan penulisan, cuba fikirkan bagaimana tip ini (buka dan tutup dengan tudung saji yang sama) dapat dimanfaatkan.
Sekiranya anda memang telah berjaya menghasilkan penulisan dengan teknik menyediakan rangka, tujuh tip ini mungkin tidak perlu bagi anda. Sekiranya anda masih terkial- kial hendak menulis, eloklah anda mencuba penulisan kaedah meluncur ini.
Masalah memang tetap akan ada, dan renungkan kata-kata motivasi berikut sebelum anda membaca tip ketujuh yang merupakan terpenting sekali.
Masalah Tiada Kalau Ada Penyelesaian
Sekiranya penyelesaian yang anda usahakan, bukan masalah yang dibesar-besarkan, kehidupan anda lebih tenang dan produktif dengan menumpukan kepada penyelesaian masalah. Sementara anda ada masa dan sihat ini, bersegeralah menulis. Kesempitan waktu dan kesakitan memanglah masalah, tetapi ini bukan bermakna kegiatan penulisan mesti ditamatkan
Orang yang hebat memfokuskan perkara yang masih boleh dibuat, bukan apa yang tidak dapat dibuat. Berpeganglah pada kata-kata ini sekiranya anda mahu menjadi orang yang hebat, "Berlarilah ketika kita boleh, berjalan jika harus, merangkak jika perlu, menyerah sekali-kali tidak." Kalau sudah tidak boleh menulis secara duduk, dengan berbaring pun masih boleh menulis. Kalau sudah tidak kuat menaip lagi, bercakap sahaja pun boleh.Mintalah pertolongan orang lain untuk menulis apa yang anda cakapkan. Kalau anda tidak sihat, tetapi memang positif orangnya, anda akan nampak banyak peluang untuk menulis dalam keadaan tidak sihat itu.
Topik-topik seperti pengalaman sewaktu sakit dan ujian kesabaran ketika sakit boleh menjadi topik pilihan penulisan anda. Anda juga boleh menulis tentang nikmat sihat dan masa lapang kerana andalah orangnya yang dapat membezakan antara masa sakit dengan masa sihat. Dalam keadaan bermasalah seperti ini, kalau masalah yang hendak disibukkan, memang makin besarlah masalah itu. Kalau peluang terus menulis yang ditumpukan, masalah pun akan hilang.
7. Mulakan dengan memastikan akhiran
Penulis mestilah mengetahui matlamat akhir penulisannya. Boleh jadi matlamatnya untuk berkongsi informasi, meyakinkan hujah, meminta bertindak dan sebagainya. Tip ketujuh ini mempunyai mesej tambahan yang lain. Ibarat hendak membuat terjunan meluncur salji, seseorang itu perlulah tahu di manakah laluan dan garis akhir luncuran berkenaan.Lazimnya, apabila kita hendak membaca sesuatu dokumen, kita akan membelek halaman terakhir dokumen berkenaan untuk mengetahui jumlah halamannya. Begitulah juga dengan menulis. Anda perlu ada gambaran kasar bagaimana laluan dan noktah akhir dalam rencana anda sebelum memulakan penulisan. Pada laluan yang tergambar dalam minda anda itu, letakkan idea-idea yang hendak dilontarkan. Apabila anda meluncur menulis, capai semula idea-idea berkenaan. Dalam fikiran anda itu tentulah sudah ada media mana yang hendak disasarkan dan jenis karya apa yang hendak anda tuliskan. Jurnal berwasik adalah media bagi karya akademik dan media massa bagi tulisan separa akademik.
Sebelum diskusi ini berpindah ke sub-bahagian yang lain, mohon baca kata-kata motivasi menulis berikut ini:
Sasaran Mesti Tepat, Latihan Mesti Kerap
Menentukan sasaran dalam penulisan memang dimestikan, tetapi janganlah yang bukan-bukan. Jangan dicuba lautan dalam jika anda bukan ikan. Sasarkan tulisan pada penerbitan harian berbanding bulanan. Sasaran yang pertama, ada 30 peluang penerbitan sebulan dan sasaran yang keduanya bergantung pada kolum yang disediakan.
Kata orang yang arif, tidak perlu kecewa dengan kegagalan kerana kegagalan adalah peringatan terbaik bagi membetulkan sasaran. Kalau sememangnya artikel anda kerap ditolak, adalah lebih baik mengirimkan tulisan ke mana-mana penerbitan dalam talian. Bukan sahaja medium ini boleh memuatkan rencana yang tersebar luas, kos penerbitannya juga tidak begitu besar.
Sekiranya anda telah bertekad untuk menjadi penulis, tumpukan masa anda dengan aktiviti menulis. Cuba apa-apa sahaja yang dilihat dan didengar mahupun dihidu dan dirasai untuk dikaitkan dengan penulisan. Berikan definisi peranan diri dengan jelasnya. Aku adalah penulis, aku adalah penulis dan aku adalah penulis. Sungguhpun begitu, kata-kata orang alim berikut jangan diabaikan: "Jangan hanya kerana kesibukan, kita lupa ibadah dan keluarga."
Tidak ada orang yang tiba-tiba menjadi pemain bola sepak yang hebat. Sama juga halnya dengan penulis. Kalau memang ada orang yang tiba-tiba menjadi penulis hebat, tunjukkan di mana rumahnya. Mereka mungkin telah menghadiri kelas-kelas penulisan. Apa yang pasti, mereka telah berpuluh-puluh kali membuat latihan. Kata-kata hikmah cendekiawan ini wajar dijadikan perhatian: "Semakin banyak kamu berkeringat dalam latihan, semakin sedikit kamu berdarah dalam pertempuran". Bagaimanakah anda ingin menjadi penulis hebat kalau latihan menulis pun jarang-jarang dilakukan? Kelas-kelas menulis pun diabaikan. Tidak akan melencong bola itu ke gawang gol kalau tiada ratusan latihan sepakan pisang (banana kick) berkenaan dilakukan.
Bila luncur menulis nanti, anggarkan juga jumlah perkataan atau halaman yang hendak ditulis. Kebiasaannya, untuk rencana bagi penerbitan majalah atau akhbar, 1000 patah perkataan sudah memadai.
b. Kepentingan Petua Penulisan, Masa itu Emas
Melakukan pekerjaan seperti penulisan secara trial and error sememangnya banyak faedahnya. Bukan sahaja anda dapat mengenal pasti sendiri kelemahan dan kekurangan sesuatu teknik yang digunakan, bahkan juga anda sendiri dapat mematangkan diri kerana mengalami sendiri masalah yang dihadapi ketika melakukan pekerjaan penulisan itu.
Dalam dunia yang serba mencabar dan bersaing, setiap orang mahu memastikan mereka memiliki kelebihan daripada orang lain supaya tidak keciciran mengharungi cabaran berkenaan. Memanglah tiada jalan pintas bagi mencapai kejayaan dalam penulisan. Setiap orang mesti melalui liku-liku kepayahan sebelum boleh mengecap kejayaan.
Sungguhpun begitu, belajar daripada pengalaman orang yang telah melalui liku-liku kehidupan itu suatu strategi yang baik kerana anda sudah dapat mengetahui kemungkinan kos atau untung yang anda akan perolehi tanpa perlu melalui kepayahan yang pernah dilalui orang berkenaan. Perkataan petua yang sama ertinya dengan tip itu membawa maksud idea dan kemahiran orang yang lebih tua atau yang lebih lama hidup, ataupun yang lebih tepat, orang yang telah lama berkecimpung dalam sesuatu bidang pekerjaan, seperti penulisan ini.
Mereka yang lebih banyak makan garam dalam dunia penulisan tentulah boleh memberikan petuanya. Mereka seakan-akan berada di puncak gunung dan dapat melihat keseluruhan pemandangan alam. Kelebihan mampu melihat ufuk yang lebih jauh dan luas membolehkan mereka memerhatikan turun naiknya matahari dan pasang surutnya air lautan dengan lebih baik. Kelapa tua berkualiti bukanlah kerana tuanya kelapa itu, tetapi kerana santannya. Hal ini sama dengan manusia. Anda boleh mendapat petua daripada orang yang telah terbukti kualitinya sebagaimana santan pada kelapa tua itu.
Petua juga boleh diambil daripada orang yang gagal dalam penulisan. Daripada orang seperti inilah anda dapat menentukan apakah garis sempadan yang tidak boleh dilangkah sekiranya anda tidak mahu gagal dalam penulisan. Lain padang lain belalang. Petua memang penting, tetapi anda perlulah memilih petua atau tip yang diberikan mengikut kesesuaian diri. Tip pantas menulis yang dibincangkan dalam bab ini tidak semestinya terpakai untuk semua orang walaupun tidak ada ruginya jika anda mencubanya. Sebagai contoh. anda disarankan supaya terus menulis definisi sekiranya anda berkecenderungan menulis ala akademik atau luncur menulis peristiwa sekiranya anda berkecenderungan kewartawanan. Ini hanyalah petua berdasarkan kecenderungan seseorang. Jika anda tidak mempunyai kedua-dua kecenderungan berkenaan, anda luncur sahaja mengikut apa-apa sahaja cara yang anda selesa. Yang penting, ukur baju di badan sendiri.
Dalam ribuan petua yang hebat, tidak ada satu petua pun yang dapat mengalahkan petua yang akan dinyatakan ini. Bertindak atau menulislah berdasarkan common sense anda. Terlalu rigid mempraktikkan sesuatu petua akan memerangkap diri anda sendiri. Akibatnya anda tidak dapat bergerak, apatah lagi hendak meluncur. Malangnya, perkara yang common sense tidak begitu diambil berat oleh kebanyakan orang. Sepatutnya, yang common sense itulah yang menjadi common practice. Mesejnya, sungguhpun anda mengetahui banyak petua menulis, anda perlu menggunakan common sense untuk mempraktikkan apa-apa petua yang anda tahu berdasarkan suara hati atau naluri anda.
Practice makes perfect. Peribahasa ini juga merupakan satu petua penting dalam penulisan. Anda mungkin boleh menulis buku 1000 tip menulis atau seratus satu macam tip pantas menulis. Namun, jika anda tidak mempraktikkannya, sampai kiamat pun anda tidak akan berjaya menjadi penulis. Praktis menulis mestilah berterusan bagi membolehkan anda mudah dan lancar untuk luncur menulis Jika anda tidak istiqamah dalam latihan menulis, anda rasa begitu payah hendak menghasilkan penulisan setiap kali anda hendak memulakan latihan baharu. Batu yang besar memang susah hendak digolekkan ke tempat yang disasarkan apabila anda berhenti menolaknya. Sekali anda sudah menggolekkannya, teruskan dan jangan berhenti walaupun secara perlahan-lahan. Momentum menulis mesti dijaga sebagaimana memastikan batu yang bergolek itu tidak hilang momentum gerakan. Jika ini anda dapat lakukan, batu yang digolekkan akan mudah sampai di sasarannya dan rencana yang ditulis akan mudah untuk disiapkan dan mudah-mudahan dapat disiarkan.
c. Beza wacana teks berkualiti dan berkesan: Intelektual Masyarakat
Siapakah intelektual masyarakat? Jawapan kepada soalan pendek ini memerlukan penjelasan yang panjang lebar. Sebagai permulaan, eloklah dibezakan tiga golongan intelektual dahulu: pertamanya, intelektual komuniti saintifik (scientific community intellectuals), kedua, intelektual komuniti lingkaran (circled community intellectuals) dan yang ketiga, intelektual masyarakat (public intellectuals).
Tiada pengkategorian yang mutlak sifatnya.Matlamat pengketogarian ini untuk membezakan apakah sebenarnya fungsi intelektual masyarakat itu.Komuniti saintifik ialah cerdik pandai yang terdidik dalam bidang penyelidikan .Karya-karya mereka mempunyai kualiti akademik yang tinggi dan khalayaknya adalah dalam kalangan komuniti alademik atau intelektual sahaja.Kualiti menjadi syarat utama karya-karya saintifik ini. Formatnya juga tidak sama.
Kebiasaannya, IFMD ialah abreviasi yang digunakan bagi makalah komuniti ini. Introduction (1), Method (M), Finding (F), dan Discussion (D). Wacana teks seumpama ini di luar skop perbincangan dalam buku ini.
Komuniti intelektual yang hampir dengan kategori intelektual masyarakat ialah intelektual komuniti lingkaran. Kebiasaannya, mereka juga datang daripada kumpulan komuniti saintifik. Walau bagaimanapun, kandungan wacana teks yang ditulis sudah semakin kurang berteori, kurang bermetodologi dan kurang teknikal. Buku ilmiah lebih biasa digunakan sebagai medium kumpulan ini.
Lazimnya, komuniti ini memiliki ideologi yang sepunya. Di menara gading, komuniti lingkaran liberal berpengaruh. Di negara kita, komuniti ini terpecah mengikut sentimen perkauman dan ideologi. Ada komuniti lingkaran liberal dan konservatif, ada komuniti lingkaran Melayu dan bukan Melayu.
Intelektual masyarakat juga boleh datang daripada komuniti saintifik dan komuniti lingkaran. Namun begitu, penulisan mereka lebih mesra dan inklusif masyarakat. Dalam negara Malaysia yang majoritinya menggunakan bahasa Melayu, tidak mudah atau sememangnya tidak mungkin bagi mereka yang tidak berkomunikasi dalam bahasa Melayu untuk menjadi intelektual masyarakat bermedium Bahasa Malaysia.
Penulisannya sederhana sahaja; tidak terlalu teknikal dan tidaklah pula hambar. Walaupun buku dan makalah ilmiah digunakan bagi mengkomunikasikan idea, kebiasaannya akhbar dan majalah lebih berkesan untuk dijadikan wahana. Penulisan mereka lebih ditumpukan tentang kesan atau impaknya terhadap masyarakat supaya masyarakat boleh membuka minda untuk melakukan perubahan.
Perbezaan wacana teks berkualiti karya komuniti saintifik dengan wacana teks berkesan intelektual masyarakat boleh digambarkan pada satu garis rentang ekstrem kiri dan ekstrem kanan. Ekstrem kirinya adalah intelektual komuniti saintifik, dan ekstrem kanannya intelektual masyarakat. Di antara dua ekstrem inilah kedudukan komuniti intelektual lingkaran dikategorikan
Kategori penulisan berkualiti atau berkesan ini juga tidaklah mutlak sifatnya. Bagi tujuan memudahkan perbincangan, sementara waktu ini bolehlah dibezakan ketiga- tiga kumpulan komuniti intelektual dengan menggunakan istilah wacana teks berkualiti dan wacana teks berkesan.
Yang berikut dibincangkan intelektual masyarakat yang berfungsi membuka minda bagi melakukan perubahan:
i. Mengemukakan gagasan baharu secara berkesan.
Ramai intelektual masyarakat datangnya daripada kalangan ahli akademik, tetapi sedikit ahli akademik yang berkeupayaan dan berkebolehan menjadi intelektual masyarakat. Keadaan ini menyebabkan berlaku jurang yang besar antara dunia kesarjanaan dengan dunia sebenar masyarakat di luar.
Sungguhpun gagasan atau idea baharu mungkin dimiliki oleh ahli akademik tertentu, jika mereka tidak mengambil inisiatif untuk memahami masalah masyarakat dan mengkomunikasikan ideanya dalam bahasa dan budaya masyarakatnya, sampai bila- bila pun mereka tidak akan menjadi intelektual masyarakat.
Kalau dalam kelas kuliah pun sudah tidak ada usaha untuk memahami masalah pelajarnya, dan berusaha dengan 20 teknik komunikasi untuk memandaikan mahasiswanya, apalah yang hendak diharapkan menjadi intelektual masyarakat itu. Kalaulah di dalam bilik kuliah pun gagasan tidak dapat disampaikan dengan berkesan, hebat mana sekali pun gagasan itu, lupakan sahajalah impian menjadi intelektual masyarakat itu.
ii. Tidak bercakap berdasarkan kepakaran dan tidak melakukan penyelidikan dengan berkesan
Ada pula individu yang merasakan dirinya intelektual masyarakat. Umur mungkin baru setahun jagung, tetapi mengepak jauh di awang-awangan. Memang tidak dinafikan memang ada yang jagung emas dalam dunia cendiakawan. Intelektual masyarakat mempunyai gagasan untuk merobah minda bagi melakukan perubahan dalam masyarakat. Recycle idea yang sama hanya menghasilkan masyarakat yang recycled.
Hanya melalui penyelidikan yang mantap dan berkesan, idea baharu dan unggul dapat dibangunkan. Untuk maksud ini, intelektual itu harus aktif dalam kegiatan komuniti saintifik yang mementingkan kualiti penerbitan. Teori dan metodologi terkini mesti dikuasai bagi menghasilkan temuan dan gagasan baharu.
Merobah minda masyarakat itu perlu tahu ke mana arah yang hendak diubah. Masyarakat mahu tahu ke arah mana mereka hendak dibawa. Saintis percaya bahawa, "Nothing is permanent except change, (tidak ada apa yang kekal kecuali perubahan)." Lakukan perubahan berdasarkan model masyarakat unggul yang pernah wujud. Dengan benar-benar memahami masyarakat unggul itulah minda masyarakat masa ini dapat dididik untuk dibawa ke suatu definisi masyarakat unggul baharu.
iii. Bukan mengagamakan orang yang memang sudah beragama.
Ramai intelektual yang khalayaknya ialah penyokongnya. Idea-ideanya hebat dan mendapat tepuk sorak yang gemuruh, tetapi semuanya ialah penyokong-penyokongnya. Tidak ada apa-apa yang baharu melainkan memperbaharui ego sahaja. Tradisi ini banyak berlaku di pelbagai tempat, termasuk juga di universiti.
Preaching to the converted. Berdakwah kepada orang yang sudah kuat agamanya memang mudah. Mendapat tepuk sorak daripadanya bukannya payah. Intelektual masyarakat bukan sahaja dapat mengubah paradigma atau minda komuniti lingkaran intelektualnya, tetapi juga minda masyarakatnya.
Sekiranya karya anda dibaca oleh komuniti anda sahaja, anda bukanlah intelektual masyarakat. Memang betul anda seorang yang hebat, tetapi anda hebat berdasarkan keputusan mahkamah anda.
iv. Mencontohi intelektual masyarakat yang ada
Untuk memahami fungsi intelektual masyarakat, anda perlu mengenali tokoh-tokoh yang masyhur. Nama-nama seperti Jordan Peterson, seorang personality media serta pakar psikologi Canada, terkenal sebagai intelektual masyarakat. Beliau banyak mengubah masyarakat dalam isu-isu keluarga dan feminisme.
Ada juga nama-nama lain seperti Barry Commoner, seorang ekologis terkemuka, yang masing-masing dengan kekuatannya sendiri. Nama mereka mungkin tidak begitu menyerlah dalam komuniti saintifik, tetapi impaknya terhadap masyarakat amat luas.
Profesor Friedrich Max Müller, ketika mengkritik buku yang dirancangkan mengenai public intellectuals tulisan McKenzie Wark, melontarkan beberapa idea yang pedas tetapi konkrit bagi membezakan antara intelektual universiti dengan intelektual masyarakat.
Beliau sendiri ada menyentuh mengenai kemestian mempunyai student yang family oriented sebelum menjadi society friendly oriented. Beliaulah yang memberikan contoh Barry Commoner, salah seorang pejuang alam sekitar yang banyak memberikan perubahan kepada minda masyarakat. Masyarakat Malaysia perlu bangkit untuk melakukan sesuatu supaya ramai intelektual masyarakat dapat dilahirkan.
Di universiti, nama Antonio Gramsci sangat popular. Beliau pernah mengemukakan konsep intelektual organic, iaitu intelektual yang bersama-sama dengan masyarakat, memahami masalah masyarakat dan menggerakkan masyarakat bagi melakukan perubahan untuk kebaikan masyarakat.
v. Antara yang bertentangan dengan yang bertindan
Tiada pengkategorian yang terlepas daripada masalah ketidakmutlakan. Ciri-ciri yang ada pada tiga komuniti intelektual di atas sebahagiannya bertentangan dan sebahagiannya bertindih. Pengertian berkualiti dan berkesan juga mempunyai ciri-ciri bertentangan dan bertindihan masing-masing.
Ketiga-tiga komuniti komuniti itu bertindih keintelektualan, tetapi bertentangan dari sudut ciri-ciri penyampaian mesej. Yang ekstrem kiri dan komuniti saintifik penyampaiannya perlulah kental, teknikal, metodologikal dan teoretikal sebagaimana yang disentuh sebelum ini. Hal ini amat bertentangan dengan penyampaian mesej sama ada penulisan atau pertuturan medium intelektual masyarakat. Ia perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah dengan mesej yang jelas. Sementara mesej komuniti saintifik perlu sehabis rasional, dari segi penyampaian mesej intelektual masyarakat perlu lebih mesra awam untuk berjaya menyentuh emosi khalayaknya.
Untuk menjadi intelektual masyarakat, anda perlu mengetahui adanya kategori-kategori dan pembahagian seperti ini. Setidak-tidaknya anda tahu anda berada di mana dan di landasan apa. Ini tidaklah pula bermakna dalam memastikan mesra masyarakat, anda perlu dengar dan tunduk kepada suara mereka. Memang benar mesej yang berkesan ialah mesej yang dapat difahami dan diterima masyarakat. Dalam banyak perkara, biar pakar yang menentukan kualiti sesuatu perkara dan benda.
Tujuh keajaiban dunia perlu ditentukan oleh pakar yang ada kaitannya dengan bidang sejarah, budaya dan psikologi keajaiban, bukan diserahkan kepada majoriti untuk menentukannya. Memang benar boleh dibahaskan tentang siapakah yang menentukan kualiti sesuatu kasut. Tukang kasut yang membuatnya, ataupun individu yang memakainya. Memang betul bahawa kelazatan sesuatu makanan boleh dibahaskan, sama ada ditentukan oleh tukang masaknya, ataupun yang memakannya.
Perbahasan ini berlaku kerana adanya ciri-ciri yang bertentangan dan ciri-ciri yang bertindih pada semua perkara yang kita bahaskan.
Kesimpulan
KENAPA buku ini penting? Pentingnya buku ini kerana ramai yang hendak menulis dan berminat menulis, tetapi terus dihantui masalah tidak boleh atau tersekat- sekat menulis. Sememangnyalah tujuan buku ini ditulis untuk berkongsi petua dan motivasi menulis. Bagi mencapai tujuan itu, perbincangan penulisan atau wacana teks yang berkesan dan berkualiti juga disentuh. Dengan adanya tip-tip yang dikongsi dalam buku ini, diharap lebih ramai lagi yang boleh menulis. Bukan itu sahaja, lebih banyak penulisan yang berkesan dan berkualiti dapat dihasilkan dan dengan itu diharapkan juga nanti lebih ramai ahli masyarakat yang ada kesedaran dan tertarik untuk lebih gemar menelaah buku.
BAB 2
Antara Penulisan Berangka dan Meluncur
Pendahuluan
APAKAH tip atau rahsia pantas menulis ini? Perbincangan tentang tip atau petua menulis sememangnya telah banyak dilakukan. Kebiasaannya, ramai yang tidak berpuas hati dengan penjelasan-penjelasan tentang tip itu.
Buku-buku dan makalah yang ditulis tentang tip menulis ini baik dalam bahasa melayu mahupun dalam bahasa Inggeris sememangnya telah banyak diterbitkan. Namun begitu, buku Tujuh Tip Pantas Menulis ini berbeza kerna tumpuannya adalah kepada kepantasan penulisan tanpa menggadaikan kualiti bahan yang dihasilkan.
Bab ini membincangkan apakah tip atau rahsia yang membolehkan seseorang itu dapat menghasilkan karya dengan pantas dan banyak dalam tempoh yang singkat. Anda boleh mencubanya. Tip-tip yang akan dikongsi ini mungkin sesuai untuk anda.
Perbincangan dalam bab ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
a. Penulisan berangka dan meluncur
b. Mengenali tokoh penulis dan peluncur
c. Lima cabaran luncur menulis
a. Penulisan berangka dan penulisan meluncur
Bagaimanakah anda biasanya memulakan penulisan? "Saya akan berfikir untuk memulakan penulisan dengan menulis rangka, kemudian diikuti dengan beberapa isi penting sebelum membuat kesimpulan."
Inilah contoh jawapan yang biasa kita dengar.
Tidak banyak bezanya dengan tip yang diajar di bangku sekolah. Ajukan soalan ini kepada anda. Berapakah jumlah artikel yang sudah anda tulis? Jika memang banyak, teruskan sahaja dengan kaedah yang telah anda praktikkan. Hal ini bermakna kaedah tersebut memang bagus dan berkesan untuk anda.
Jika anda masih terkial-kial, buku ini amat sesuai untuk anda. Berbeza ketika di bangku sekolah, rencana ditulis kerana mesti ditulis atas arahan guru. Jika tidak dituliskan, tiada markah diberikan kepada anda malah lebih tidak seronok apabila anda dimarahi guru sekiranya gagal menyiapkan rencana tersebut.
Minat dan kemahuan adalah kata kuncinya untuk menulis ini. Persoalannya sekarang, bagaimanakah hendak menulis rencana dalam keadaan tiada lagi paksaan dan tekanan peperiksaan? Lagipun kalau anda malas menulis dan sekadar berangan-angan untuk menjadi penulis yang hebat, tidak ada sesiapa yang memarahi anda seperti yang dilakukan oleh guru sekolah dahulu.
Memang tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa kaedah penyediaan rangka itu penting dan berkesan semasa di bangku sekolah. Namun demikian, kaedah ini mungkin tidak lagi berkesan sekiranya seorang itu hendak pantas menulis. Ramai yang tidak berjaya menghasilkan rencana dengan mengikut kaedah ini. Mungkin anda adalah seorang daripadanya
Sekiranya andalah orangnya yang sejak sekian lama asyik berfikir tentang rangka, tetapi anda masih juga belum menulis, mungkin anda perlu cuba berganjak kepada kaedah penulisan meluncur.
Penulis luncur diibaratkan seperti orang yang melakukan luncuran tidak kiralah luncuran sukan apa sekalipun, luncur salji, papan luncur, mahupun luncur air. Apabila sudah mula menulis, mereka tidak lagi menoleh ke kiri dan ke kanan, tetapi terus luncur menulis. Perbincangan mengenai perkara ini dan tip pantas menulis telah dijelaskan dalam bab 1.
Yang berikut ialah rajah ekstrem kiri dan ekstrem kanan tentang kaedah menulis secara berangka dan secara meluncur.
Antara Dua Rentang Kaedah Menulis
Kaedah Kerangka Menulis - Kaedah Terus Meluncur
Bagi mereka yang baru hendak memulakan kaedah terus meluncur dalam penulisan, anda dinasihati supaya tidak terus ekstrem, tetapi juga tidak berada di tengah-tengah. Anda perlu berada pada skala terus luncur menulis yang lebih dekat dengan titik tengah. Ertinya, kerangka menulis boleh ada ataupun tiada. Perkara yang lebih mustahak ialah anda menulis dan terus menulis sehinggalah anda sampai di destinasinya nanti. (Dengan Izin-Nya).
Sekiranya seseorang itu hendak pergi ke suatu tempat, kaedah manakah yang lebih baik? Adakah mereka perlu mempunyai peta arah tuju terlebih dahulu atau terus sahaja menuju ke tempat itu tanpa ada peta? Anda dan kebanyakan orang yang lain pasti bersetuju bahawa peta arah tuju mesti ada terlebih dahulu sebelum menuju ke suatu destinasi. Pengarang juga bersetuju dengan hal ini.
Namun begitu, berapa ramaikah yang sudah memiliki peta itu dalam genggamannya, tetapi masih tidak tiba di destinasi yang ingin dituju? Samalah juga halnya dengan menulis. Anda sudah mempunyai kerangka menulis, tetapi tetap juga tidak mula menulis.
Kejayaan menulis sesebuah makalah tidak semestinya menuntut anda untuk mempunyai peta terlebih dahulu. Tidak bermakna juga anda boleh pasti sampai di destinasi yang dituju dengan terus meluncur sahaja.
Kita semua telah pun dididik dengan kaedah peta arah tuju ini. Bagaimana pula dengan mereka yang terus sahaja pergi ke tempat yang dituju tanpa ada peta? Tentulah dalam mindanya ada beberapa informasi tentang tempat dituju itu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada kemungkinan besar anda akan tersesat apabila menggunakan kaedah terus meluncur ini. Walau bagaimanapun, kebiasaannya individu tidak berpeta berkenaan akan sampai juga di tempat yang hendak dituju. Inilah yang dimaksudkan tentang tip khas terus meluncur menulis tanpa perlu terlebih dahulu membuat kerangka menulis
b. Mengenali tokoh penulis dan peluncur
Mesej penting buku ini ialah anda terus sahaja menulis apa- apa yang hendak ditulis. Jika anda masih terkial-kial lagi, baca semula 7 tip pantas menulis dalam Bab Satu sebelum ini. Dalam bahagian ini anda akan diperkenalkan dengan tokoh-tokoh penulis dan peluncur
Jadual yang berikut merupakan senarai nama tokoh- tokoh berkenaan berserta dengan jenis aktiviti penulisan atau sukan luncuran masing-masing.Anda mungkin sudah ada idola anda, baik tokoh penulis ataupun tokoh peluncur. Jadikan mereka sebagai sumber inspirasi untuk anda luncur menulis.
Gambar-gambar yang berikut bertujuan untuk anda membayangkan bagaimana keadaan anda pantas menulis dengan luncuran yang laju seperti mereka.
Gambar-gambar di atas menunjukkan bagaimana tips pantas menulis dalam buku ini diambil daripada teknik meluncur ahli sukan luncur berkenaan. Sekurang-kurangnya ada tiga persamaan yang boleh diperhatikan berdasarkan teknik penulisan luncur ini.
Pertama, apabila seseorang itu melakukan mana-mana sukan meluncur, mereka tidak akan lagi menoleh ke kanan dan ke kiri, tetapi terus tunduk memberikan tumpuan ke atas laluan. Inilah yang dimaksudkan dengan penulisan luncur ini. Apabila seseorang itu sudah membuat keputusan untuk menulis, tiada lagi kesempatan untuk menoleh kiri dan kanan, apatah lagi ke belakang. Tulis dan terus tulis. Para sukan luncur berkenaan dibantu oleh graviti untuk bergerak. Anda terus sahaja tulis mengikut gerak hati sehingga sampai ke titik akhir.
Kedua, semakin pantas peluncur berkenaan meluncur, maka akan semakin tunduk dan membongkok tubuh badan mereka. Ini membawa pengertian bahawa ketika luncur menulis, anda sudah hampir tidak dapat menyedari apa yang berlaku di persekitaran anda. Yang ada adalah antara keseimbangan otak dan jari-jemari, seakan-akan di jari-jemari itu juga ada otak yang berfungsi.
Ketiga, perhatikan bahawa tidak seperti lumba kereta atau lumba motor, tiada cermin belakang pada sukan-sukan tersebut. Ini membawa pengertian bahawa sebelum anda mula meluncur, anda sudah pastikan bahawa laluan yang anda lalui itu memang benar jelas dan selamat. Apabila anda luncur menulis, anda harus pastikan bukan sahaja tempat yang selesa dan selamat, tetapi juga persekitaran dan masa yang sesuai. Selamat meluncur.
Dalam bahagian selanjutnya, perbincangan antara profesion ini digabungkan bagi melihat persamaan dari segi cabaran profesion masing-masing.
Sebelum berpindah ke bahagian seterusnya, renungkan dahulu kata-kata motivasi berikut, mungkin ada manfaatnya bagi anda.
Bermorallah dan Lakukan Penulisan Sehabis Baik
Semua orang ingin berjaya dalam hidup. Rasa-rasanya tidak ada orang yang menulis sekadar ingin menulis sahaja. Kalau ada begitu, eloklah diubah niat pekerjaan menulis ini. Tiada jalan pintas untuk berjaya ini. Jangan sesekali plagiat, petik dan tempek nukilan orang lain kerana itu merupakan perbuatan yang tidak bermoral.
Kita perlu menggandakan usaha. Memang ramai yang berusaha menulis, tetapi masih tetap tidak berhasil. Kejayaan tidak datang berjumpa kita. Kemas kini strategi anda dan keluar untuk mendapatkan kejayaan itu.
Dalam dunia yang serba bersaing dan serba mencabar ini, kita perlu menjadi luar biasa. Jangan menulis seperti melepaskan batok di tangga sahaja. Biasa-biasa sahaja dalam penulisan akan menjadikan anda seorang sahaja pembaca kepada tulisan anda Letak betul-betu batok atau gayung itu ditempatnya.
Apabila anda menulis, tumpukan seluruh perhatian. Curahkan seluruh tenaga. Usahakan penulisan sehabis baik. Banyak manfaatnya jika anda berpendirian, apa-apa pun yang dilakukan, maka lakukanlah dengan sebaik baik. Anda akan dapat memetik buahnya juga nanti. Jika tidak melalui tersiarnya rencana pun, percayalah bahawa kemahiran, kegigihan, keikhlasan dan ciri-ciri penting penulis hebat menyubur dalam diri anda.
c. Lima Cabaran Penulisan Meluncur
Sememangnya sukan meluncur ini banyak cabarannya sama ada meluncur salji atau meluncur skateboard. Sebagaimana sukan-sukan berkenaan, anda tidak digalakkan untuk terus sahaja meluncur tanpa ada panduan. Buku panduan pantas
meluncur memang boleh dibaca, tetapi sebagaimana panduan sukan berkenaan, anda tetap perlu anda bimbingan terlebih dahulu, setidak-tidaknya beberapa perkara asas. Sekiranya anda ragu-ragu akan pernyataan ini, anda boleh terus luncur menulis sekarang. Anda memang seorang yang luar biasa sekiranya anda dapat menyiapkan draf rencana yang boleh disiarkan. Dalam bahagian ini dinyatakan beberapa cabaran penting penulisan meluncur ini.
1. Takutkan tersungkur
Dalam semua aktiviti sukan meluncur, perkara pertama yang ditakuti adalah terjatuh atau tersungkur, malah anda juga berisiko untuk termasuk ke dalam lubang berbahaya atau terbabas ke dalam gaung yang curam. Tersungkur dalam penulisan luncur pula tidak menyebabkan tulisan anda luka berdarah walaupun artikel yang anda hasilkan dibuang oleh editor ke dalam tong sampah.
Anda mungkin telah membaca perbincangan mengenai tujuh tip pantas menulis sebelum ini. Anda mungkin perlu mendapatkan sedikit bimbingan daripada mereka yang pernah dan berjaya menggunakan kaedah penulisan luncur ini. Risiko rencana terjerumus ke dalam lubang sampah mungkin dapat dikurangkan.
Berdasarkan pengalaman mereka yang pernah meluncur salji, jatuh ketika meluncur itu tidaklah sesakit sebagaimana yang dibayangkannya sebelum meluncur. Anda tidak perlu takut tersungkur dengan penulisan luncur ini kerana bukan sahaja tiada apa-apa kesakitan, malah setiap kali meluncur menulis, anda akan mempelajari teknik baharu untuk mengimbangkan bakat diri secara perlahan-lahan.
Awas, jangan cuba bergerak pantas ketika meluncur dalam permainan skateboard sekiranya anda baru hendak bermula. Luncur salji tidak sama dengan luncur skateboard dan luncur menulis juga tidaklah seratus-peratus sama kedua-duanya. Justeru itu, jangan takut tersungkur, sebaliknya berhati-hatilah juga dan teruslah meluncur.
2. Pentas yang selamat
Jika anda baru sahaja hendak menjadi penulis dan baru pula tahu kaedah meluncur ini, eloklah anda mencari media penerbitan yang tidak begitu mencabar terhadap penerbitan rencananya. Meluncur di atas bahan sejuk tidak sama dengan meluncur atas jalan atau simen. Meluncur di atas salji tidak sama dengan meluncur di atas ais walaupun alat yang digunakan sama sahaja. Meluncur di atas salji lebih mudah berbanding dengan meluncur di atas ais (ice skating) kerana tahap dan darjah kelicinannya berbeza dan risiko kecederaannya juga berbeza. Oleh sebab anda mungkin adalah pendatang baharu dalam dunia penulisan, wajarlah meluncur di atas salji sahaja bukannya di atas ais atau di atas air seperti dalam acara luncur laut..
Kirimkan artikel anda ke media online. Established media yang sedia ada sangat licin untuk anda dan artikel anda akan mudah tergolek dan tidak dapat diterbitkan. Anda perlu teruskan kaedah meluncur menulis ini tidak kira sama ada rencana anda itu disiarkan ataupun tidak. Sekiranya anda terus luncur menulis, bukan sahaja anda hebat di atas salji tetapi juga akan hebat di atas ais pada suatu masa nanti.
3. Ketandusan idea
Tidak dapat dinafikan bahawa idea amat penting ketika menulis.Anda takut untuk meluncur kerana anda merasakan bahawa anda tiada buah fikiran untuk menulis. Bagaimanakah hendak meluncur di tanah yang tandus? Bukan sahaja mengarut bercakap mengenai salji, skateboard di atas tanah yang tandus pun agak mustahil.
Anda tidak perlu menanti salji buatan atau simen disediakan dalam penulisan meluncur ini. Anda luncur sahaja, idea akan datang kemudian. Ini bukanlah bermakna anda tidak perlu membuat pembacaan. Ini adalah perbincangan tentang perbezaan penulisan berangka dengan penulisan meluncur. Apa sahaja kaedah penulisannya, pembacaan memang diwajibkan.
Anda merasakan bahawa kawasan tanah tandus adalah sangat panas atau kawasan salji sangat sejuk., Adalah difahamkan, orang yang meluncur salji itu sebenarnya tidak kesejukan seperti yang kita mungkin bayangkan, malah ada yang menceritakan mereka ada ketikanya berpeluh kepanasan.
4. Melambat-lambatkan luncuran
Hendak luncur atau tidak? Inilah detik-detik yang menakutkan sekiranya anda baru hendak berlatih meluncur salji. Memulakan luncuran skateboard kelihatan lebih mudah kerana satu kaki lagi boleh digunakan untuk bertahan. Kalau anda takut berdiri ketika meluncur skateboard, anda boleh meluncur dengan duduk di atas skateboard itu.
Luncur menulis tiada risiko berbahaya seperti itu.
Walaupun kesemuanya, menulis, meluncur salji, dan skateboard bermula dengan rasa takut-takut itu. Semakin anda melambat-lambatkan penulisan meluncur, semakin lambatlah anda mendapatkan kemahiran penulisan ini.
5. Kepantasan mental
Penulisan meluncur memerlukan kepantasan minda atau mental. Kepantasan mengimbangkan diri ke kiri dan ke kanan ketika melakukan luncur salji atau luncur skateboard tidak terletak pada kepantasan fizikal semata-mata. Untuk mendapatkan keseimbangan itu, mental quickness mesti ada seolah-olah di bahagian kaki itu juga ada komponen otak. Kepantasan minda inilah yang menjadi cabaran dalam penulisan kaedah luncur ini.
Kelajuan anda menulis itu hanya akan ada sehingga koordinasi antara tangan dan otak berada di titik keseimbangan. Sekiranya komponen otak ada pada kaki bagi luncur salji dan skateboard itu, maka komponen otak seolah-olah ada pada tangan dan jari-jemari anda. Apa pun, untuk mendapatkan kemahiran awal dan asas, anda perlu ada pelatih atau pembimbing. Kemahiran ini hanya boleh berkembang secara semula jadinya setelah kemahiran asas diperoleh.
Kesimpulan
ANDA mungkin tertanya-tanya, adakah kaedah pantas menulis ini bermakna tiada langsung dimulakan dengan rangka sama sekali? Soalan seperti ini sangat relevan. Jika ada pun rangka yang ada dalam teknik penulisan luncur, teknik ini tidak sama dengan rangka penulisan kaedah berangka. Dalam kaedah penulisan berangka, anda perlu melihat rangka di hadapan mata yang lengkap dengan pendahuluan, beberapa isi penting dengan penerangan ringkas dan kesimpulan. Rangka dalam kaedah penulisan meluncur hanya ada dalam minda sahaja seolah-oleh mereka yang hendak meluncur salji, mereka sudah ada gambaran tentang selekoh kiri dan kanan yang ada, laluan curam dan landai dan yang penting sekali garis penamatnya.
Sekiranya anda masih takut-takut hendak memulakan kaedah ini, tidak mengapa. Kesemua mereka yang memulakan sukan luncur itu pada awalnya takut-takut juga, tetapi setelah mendapat motivasi dan melakukan sedikit pembacaan tentang tekniknya, mereka terus berani meluncur sahaja. Teruslah luncur menulis kerana tidak ada bahayanya luncur menulis sebagaimana bahayanya memulakan sukan-sukan luncur itu.
BAB 3 Petua Umum Menulis
Pendahuluan
APABILA ditanyakan kepada tiga orang berpengalaman menulis berlainan, anda mungkin bukan sahaja memperoleh tiga petua menulis yang tidak sama tetapi juga boleh jadi 30 tips atau petua berbeza. Hal ini menggambarkan bahawa tiada yang khusus tentang tips menulis ini. Tips yang sesuai bagi profesyen A mungkin tidak sesuai bagi profesyen B. Tips yang ada pada seseorang itu ialah kaedah digunakan oleh orang itu. Lain padang, lain belalang.
Penguasaan ilmu ialah prasyarat penulisan. Ibarat aur dan tebing, membaca dan menulis tidak dapat dipisahkan. Membaca dapat menambahkan dan mematangkan idea.
Bab ini ialah perbincangan tentang perkara-perkara yang berikut:
a. Lima petua umum penulisan
b. Belajar daripada Idola
c. Asam garam penulisan
a. Lima petua umum penulis
Mungkin sahaja anda pernah mendengar sebahagian daripada tip-tip yang dibincangkan dalam bahagian ini. Perbezaan perbincangan lima tip yang dibincangkan ini ialah tumpuan mesej luncur menulis dan bukan setakat petua semata. Sebelum membaca tentang lima petua menulis dalam bahagian ini, renungkan kata-kata di balik motivasi menulis ini.
Jangan Bazirkan Masa, Matlamat Perlu Jelas
Tulislah seberapa banyak yang boleh dan tulislah dengan matlamat yang jelas. Jangan bazirkan masa dan tenaga kita menulis pada perkara yang tidak bermanfaat. Kalau kita menulis kerana orang suka pada perkara itu dan bukan pada pentingnya perkara itu, maka sesuatu yang tidak sihat berlaku kepada diri kita.
Kita harus memimpin pendapat majoriti, bukannya mengikut telunjuk majoriti. Suara majoriti itu memanglah kuat. Kita bukan hendak mendengar suara yang kuat, tetapi suara yang kebenarannya adalah hakikat. Kompas moral mesti jelas. Dengannya akan terpandu arah utara dengan tepat. Mana boleh didengar pandangan suara majoriti tentang kedudukan arah utara itu. Kalau majoriti mengatakan yang selatan itu arah utaranya, akan karamlah armada itu dan terhempaslah kapal terbang.
Jangan ditinggalkan kompas moral itu. Manfaatkannya setiap kali anda menulis. Renungilah kata-kata hikmah berikut: "Kehidupan itu bukan sahaja hal perjuangan. Ia adalah sebuah perjalanan. Cara kita melalui liku-likunya dan cara kita memberikan makna kepada perjalanan kita itu menentukan kesudahan hidup kita."
Matlamat hidup perlu jelas terhadap apa-apa sahaja yang kita lakukan di bawah kolong langit ini. Kalau memang menulis tentang hiburan itu amat penting, teruskanlah menulis. Jangan lupa selitkan mesej moralnya. Kalau memang menulis tentang fesyen terkini itu penting, teruskanlah menulis. Jangan lupa masukkan kata-kata nasihatnya. Manusia itu bukan sahaja apa yang dia makan, tetapi juga apa yang dia baca. Masa itu bergerak seperti luncurnya anak panah daripada busurnya. Perginya tidak terkejarkan, tinggalnya pula tidak terkembalikan. Berlengah-lengah membuat pekerjaan akan berkesudahan dengan timbunan pekerjaan. Lebih malang lagi, tiada satu pun tidak terlunaskan. Dengan penulisan, ingat-mengingatkanlah sesama kita supaya dapat melakukan kebaikan. Manusia itu diingatkan, peringatan dalam al-Quran ada disebutkan, "Demi masa, manusia itu dalam kerugian, rugi kerana tidak beramal dengan kebaikan dan tidak saling mengingatkan tentang kebenaran."
Berikut adalah lima petua penting penulisan yang dimaksudkan dalam bahagian ini:
1. Melakukan pembacaan yang berkesan
Tulisan yang mantap ialah manifestasi pembacaan yang baik atau berstrategi. Anda perlu tahu dan ada strategi membaca. Terdapat banyak tujuan dan fungsi pembacaan. Antaranya termasuklah mengajar dan menulis atau memeriksa dan menyunting.
Bacalah sebaik-baiknya. Penulis tidak membaca setakat hendak faham. Mereka membaca kerana berkehendakkan bahan tambahan menulis. Ketika anda hendak mula membaca, lontarkan beberapa soalan. Apakah idea baharu atau tambahan yang aku perlukan? Adakah data dan fakta yang aku ada sudah mencukupi dan tepat? Bagaimanakah melalui wacana teks ini, aku boleh meyakinkan pembaca dengan bahan ini?
Pembacaan berstrategi ialah pembacaan serampang tiga mata. Siap siaga menulis pada awal pembacaan, pengumpulan data dan fakta pada bahagian pertengahan dan akhirnya penghayatan idea-idea penting. Bacalah sebaik-baiknya sebelum menulis bagi melancarkan penulisan.
2. Kerap memperkatakan tentang apa yang hendak dituliskan.
Hasil tulisan ialah terjemahan buah fikiran. Bercakaplah sekerap-kerapnya tentang buah fikiran yang hendak ditulis. Dengan kerap bercakap-cakap, idea akan menjadi lebih mantap. Tulislah idea yang telah dituturkan itu. Anda tidak perlu menunggu sehingga semua buah fikiran sempurna untuk mula menulis.
Tulis sahaja seberapa banyak yang anda mampu dahulu. Sekiranya penulisan anda belum sempurna, teruskan dengan kerap bercakap-cakap lagi. Kali ini lebihkan tumpuan kepada menyempurnakan penulisan ketika bertutur itu. Kemas kini makalah anda dengan memasukkan input baharu daripada pertuturan berkenaan. Teruslah bercakap-cakap dan sempurnakan makalah anda secepat yang mungkin sebelum ilham yang ada hilang.
3. Mulakan menulis di awal pagi
Badan cergas minda cerdas. Awal pagi ialah waktu terbaik untuk menulis. Ketika fikiran tidak berserabut sahajalah anda boleh berkarya. Anda perlu mempunyai tekad yang kuat untuk menulis ini. Persekitaran memanglah penting. Itu sahaja tidak cukup.
Mungkin dengan membaca kata-kata nasihat berikut, tekad anda semakin meningkat:
Kuatkan Tekad dan Terus Sahaja Luncur Menulis
Kadangkala ada orang beranggapan bahawa dirinya itu langsung tidak boleh menulis. "Saya bukan tidak mencuba, banyak kali saya cuba untuk meluncur, tapi tak boleh juga," kata orang itu. Mulalah dia merendah diri dan hilang semangat. "Aku tidak sehebat dia, aku tidak sehebat tokoh karyawan itu dan karyawan ini," demikianlah bunyi keluhannya.
Jika andalah orangnya itu, hentikan sikap tersebut. Terus sahaja melompat atau terjun untuk luncur menulis. Mungkin anda tergolek dan termasuk lubang. Kalau anda masih boleh keluar dari lubang itu, bermakna itu bukanlah masalah yang besar. Masalah hanya ada kalau penyelesaiannya tiada.
Gigihlah berusaha untuk menulis. Mungkin anda pernah terbaca atau terdengar kata-kata ini, "Kehidupan adalah perjalanan. Tidak penting siapa yang di depan ataupun di belakang kerana masing-masing akan sampai juga." Tentulah ada liku-liku yang dilalui penulis untuk menjadi karyawan. Takkan yang bulat boleh datang bergolek begitu sahaja dan yang pipih tiba-tiba datang melayang.
Anda kadangkala terasa sukar sangat hendak mula menulis ini. Luncur sahaja menulis sebagaimana seorang peluncur salji. Bila sudah melompat dan terjun, tahulah apa yang hendak dilakukan kemudian nanti. Kata orang "Jika ingin berhasil, jangan menunggu termotivasi dulu baru bergerak, tapi bergeraklah terlebih dahulu, maka diri kita akan termotivasi dengan sendirinya." Apabila sudah terjun, kita tidak lagi perlu memaksa diri. Graviti membolehkan kita pergi lebih pantas dan lebih laju lagi. Luncur sahajalah menulis.
Sebelum meneruskan pembacaan bab ini, baca lagi dahulu kata- kata motivasi berikut ini,
Dua Ciptaan Dengan Memulakan Ciptaan Minda
Apakah motif penulisan anda? Menerangkan, meyakinkan atau meningkatkan kesedaran? Ke manakah pembaca hendak dibawa? Nampakkan sasaran yang hendak dituju sehingga ada cahaya di hadapan.
Pakar motivasi terkemuka Stephen Covey (1932-2012) dalam karya masyhurnya, The Seven Habits of Highly Effective People, ada menukilkan bahawa "... setiap sesuatu ciptaan akan ada dua ciptaan. Satunya yang dapat dilihat di hadapan mata, satu lagi yang telah pun bermula dalam minda." Ambil masa mendatangkan imaginasi terhadap apa yang hendak ditulis. Percayalah, "Sesuatu yang dapat dibayangkan pasti dapat diraih. Sesuatu yang diimpikan pasti dapat dicapai." Bersegeralah menulis sementara laluan terjunan menulis cerah di hadapan.
Waktu malam sebelum tidur adalah terbaik untuk membuat ciptaan pertama. Pejamkan mata sederhana rapat dan senaraikan apa yang hendak dilakukan sepanjang esok hari. Buat senarai keutamaan dengan perincian langkah atau tindakan pencapaian. First thing first. Yang utama mesti diutamakan. Jangan terlalu "ambitious". Jangan buat cerita dongeng di dalam minda itu. Masuk akal kalau bercita-cita hendak menjadi orang kaya. Hilang akal, kalau mahu menjadi Yang di-Pertuan Agong. Tidak pastilah dalam amalan agama lain. Dalam ajaran islam, penganutnya digalakan membaca doa sebelum tidur. Bacalah doa, minta Dia mengabulkan semua yang telah disenaraikan.
Kalau itu memang dapat dilakukan, badan anda akan secara automatik bergerak mengikut apa yang diprogramkan. Jangan rosakkannya dengan "bad mood" pada waktu pagi. Sejam pertama pada awal pagi menentukan produktiviti harian anda Apa yang telah melekat dalam imaginasi minda akan sendirinya terjadi secara fizikal di hadapan mata. Anda boleh menyiapkan rencana dan sudah boleh meminta yang tersayang atau yang dipercayai kepakarannya menyemaknya. Jauhilah makhluk parasit dalam penulisan. Kerjanya berbaik dengan anda sebab menjadikan anda kuda tunggangannya untuk menulis. Setiap kali dia berbaik dengan anda, ada sahaja udang di balik batu. Makin banyak berbaik-baiknya dengan anda, makin besarlah udang di sebalik batu itu. Jauhilah mereka kerana merekalah penghalang ciptaan kedua anda daripada terjadi.
Tidur pada awal waktu menghasilkan tidur yang berkualiti. Senaman juga perlu dilakukan seawal-awalnya. Janganlah tunggu sudah sakit barulah anda mahu bersenam. Jangan lupa juga untuk menguntumkan banyak senyuman. Mulakan pagi anda dengan senyuman. Elakkan awal pagi yang berserabut. Mula seawal-awalnya untuk semua aktiviti. Pekerjaan bertangguh tidak menjadi. Mulakanlah seawal- awalnya penulisan anda. Sememangnya pagi yang berkualiti mempengaruhi keseluruhan hari anda.
4. Nyatakan dengan jelas berkenan peranan anda.
Manusia berfungsi berdasarkan peranannya. Guru tatatertib mempunyai fungsi yang berbeza dengan guru-guru yang mempunyai peranan yang lain. Takrif sejelas-jelasnya peranan anda. Adakah anda mahu berperanan sebagai penulis profesional atau biasa-biasa sahaja? Guru tatatertib ketegasan telah mentakrifkan peranannya, iaitu sebagai seorang yang mahukan yang tegas. Anda perlu jelas mentakrifkan peranan anda dalam penulisan. Siapakah idola anda? Al-Ghazali, Shakespeare atau siapa sebenarnya? Banyakkan membaca karya mereka dan cuba fahami peranan mereka. Contohi peranan mereka - memulihkan semula semangat agama atau pengkritik sosial atau apa-apa sahaja peranan idola anda itu tidak mengapa.
Takrif sejelas-jelasnya peranan anda itu. Aku mahu menulis kerana aku ada peranan dalam masyarakat. Aku berperanan mendidik masyarakat tentang pentingnya penjagaan alam sekitar. Aku mesti menulis sekurang-kurangnya satu rencana seminggu. Aku mesti berusaha supaya rencana tersebut dapat diterbitkan atau dikongsi dengan apa-apa cara sekalipun.
5. Makan yang tidak berlebihan.
Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Makanlah sekurang-kurangnya bagi memastikan kecergasan jasmani. Banyak makan mengurangkan hari untuk hidup. Kata-kata hikmah berikut oleh Luqman kepada anaknya amat membantu kita untuk makan secukupnya sahaja.
Wahai anakku, apabila perut kekenyangan, intelek menjadi lemah, hikmah menjadi senyap, seluruh anggota tubuh malas melakukan ibadah.
Dengan kurang makan, banyak wang ringgit dan masa dapat dijimatkan. Tekanan wang berkurangan, masa makan dan membuang hampasnya juga berkurangan. Ketenangan menulis dapat ditingkatkan, masa menulis dipanjangkan. Makanlah sekurang-kurang sekadarkannya sahaja sudah cukup.
Mudah-mudahan lima pertua yang dibincangkan ini ada manfaatnya untuk anda.
b. Belajar daripada Idola: al-Ghazali dan Shakespeare
Anda mesti mempunyai idola ataupun ikon anda sendiri. Dalam bahagian ini, akan ditonjolkan dua tokoh besar: al-Ghazali dan Shakespeare.
1. Imam al-Ghazali
Tokoh ini lahir pada 1058 Masihi dan dibesarkan dalam keluarga yang amat mementingkan pendidikan agama. Minatnya dalam dunia penulisan begitu ketara terutamanya pada zaman matangnya. Karya Ihya' Ulumuddin (Menghidupkan Kembali Agama) telah mengangkat nama tokoh ini ke persada dunia, di samping akhlaknya. Dalam buku 7 Tip Pantas Menulis ini, terutamanya bahagian motivasi, banyak kata-kata hikmah tokoh ini dirujuk.
Untuk menulis, anda perlu mengetahui dan meminati tokoh-tokoh hebat dalam penulisan. Karya Ihya' Ulumuddin itu bukannya monograf sebarangan, sebaliknya bertaraf ensiklopedia. Kandungan tulisannya amat mendalam maknanya dan begitu banyak nuansanya. Korpus ilmu Islam, baik dari segi fiqh, aqidah, mahupun tasawuf terhimpun dalam karya unggulnya ini.
Mulanya al-Ghazali berguru daripada Imam al-Juwaini di Nishapur, di samping mendalami ilmu tasawuf dengan Abu Ali al-Faramadi. Kematian Imam al-Juwaini menyebabkan ramai muridnya mematahkan penselnya kerana patah semangat. Imam al-Ghazali terus ke Baghdad, dan di sinilah beliau menempa nama. Karyanya, Kasr al-Shahwatayn wajar disinggung.
Kitab ini adalah tentang bagaimana seseorang itu perlu menundukkan keinginan dua nafsunya: gelojoh makan dan seks tidak terkawal. Pada bahagian empat dan lima kitab ini, terserlah daya intelektual al-Ghazali sebagai tokoh besar Islam. Dalam kitab itu juga dibincangkan konsep kesederhanaan untuk menemukan titik keseimbangan.
Analogi semut dalam lingkaran atau bulatan cincin yang panas ialah contoh kiasan yang digunakan Imam al-Ghazali dan dirujuk ramai orang untuk memahami bagaimana menentukan titik keseimbangan berkenaan. Manusia bukan malaikat, tetapi dilahirkan dengan lingkaran nafsu sebagaimana panasnya lingkaran cincin itu. Manusia seperti semut itu perlu ke kiri dan ke kanan, perlu ke tengah dan ke tepi, untuk mencari titik keseimbangan. Di titik tengah itulah akhirnya posisi yang paling seimbang bagi semut itu nanti. Pengajaran penulisan daripada Bab Empat dan Lima Kasr al-Shahwatayn ini bukan sahaja tentang keseimbangan, tetapi sebagai penulis, anda wajar menggunakan kiasan atau analogi ketika mengungkapkan pandangan.
Ramai yang pernah membaca atau mendengar ceramah tentang syikir khafi. Teknik penulisan secara analogi terus digunakan Imam al-Ghazali. Kali ini beliau menyatakan bahawa betapa sukarnya untuk mengesan masalah keangkuhan atau riak seseorang. Sikap riak menurut beliau, ibarat semut hitam di atas batu hitam pada suatu malam yang gelap gelita pula.
Luncurlah menulis. Pertamanya, menulislah dengan ikhlas. Kedua, percayalah kepada keberkesanan teknik penulisan menggunakan analogi kerana ia merupakan salah satu teknik penulisan yang telah dibuktikan berkesan. Imam al-Ghazali meninggal dunia pada usia 53 tahun pada tahun 1111 dengan meninggalkan legasi karya yang banyak halamannya, mengatasi banyak hari hidupnya.
2. William Shakespeare
Tokoh tamadun lain juga ada peranannya untuk memandu kita mengetahui pengalaman mereka dalam penulisan. Di dunia Barat umpamanya, tokoh sasterawan yang umurnya tidaklah begitu panjang juga seperti al-Ghazali itu ialah William Shakespeare.
Beliau merupakan seorang penulis skrip dan pelakon drama di samping terkenal sebagai ahli puisi. Tokoh ini pula lahir pada 1564 di Stratford. Sebagai seorang penulis prolifik Zaman Kebangkitan Semula Eropah, tentulah banyak persoalan masyarakat yang diperhatikan dan direnungkan untuk ditangani beliau.
Meskipun terdapat beberapa karya yang dikaitkan dengan nama beliau, tidak semua karya berkenaan dihasilkan sendiri. Walaupun begitu, karya-karya yang dikaitkan dengan beliau terus popular sehingga hari ini. Selain aktif dalam kegiatan sivik di Kota Stratford, bapanya, John Shakespeare pernah bekerja sebagai pembuat sarung tangan, yang membolehkannya memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.
Kelebihan dalam kedudukan sosial dalam aktiviti sivik inilah membolehkan keluarga Shakespeare belajar tentang ilmu bahasa dan kesusasteraan Inggeris. Kerjayanya semakin memuncak sebagai budayawan Inggeris bermula pada tahun 1592 ketika beliau berada di kota London, dan di situlah beliau menempa namanya sebagai pelakon drama dan ahli puisi itu.
Sebagaimana Imam al-Ghazali yang menghilangkan diri daripada pandangan awam, Shakespeare juga ada zaman hilang daripada pandangan awam, iaitu antara tahun 1585 dan 1592. Cuma yang berbeza antara dua tokoh ini ialah al-Ghazali meninggalkan zaman kemuncak dunia kesarjanaan ketika menjadi profesor Kolej Nizamiyah di Baghdad. Shakespeare pula mengecap zaman kegemilangannya selepas hilang daripada pandangan awam.
Ketika berada di London itulah karyanya "Venus and Adonis" (1593) diterbitkan. Karya ini merupakan sebuah naskah puisi yang panjang dan kemudiannya diikuti dengan "The Rape of Lucrece" pada tahun 1594. Cuplikan "To be or not to be; that is the question" ialah kata-kata yang banyak dirujuk dan merupakan suatu soliloquy, iaitu pengucapan sendirian individu.
Tidak seperti bapanya yang terlibat dalam kegiatan sivik kemasyarakatan, Shakespeare memberikan tumpuannya kepada bidang seni dan kesasteraan. Beliau sendiri menjadi ahli pengasas kepada kompani para pelakon iaitu The Lord Chamberlain's Men.
Beliau juga merupakan penerbit drama dan hampir saban tahun beliau menghasilkan dua drama melalui kompaninya itu. Dalam tempoh 20 tahun, keseluruhan drama yang berjaya dihasilkan memang banyak, sebanyak 38 buah drama. Secara keseluruhanya, karya yang dikaitkan dengan nama beliau ialah 38 buah drama, 2 puisi naratif, 154 sonnet dan pelbagai puisi kategori lain.
Ada dicatatkan bahawa skrip drama dan puisi nukilan beliau telah terjual sebanyak empat bilion naskhah dalam tempoh kira-kira 400 tahun selepas kematiannya. Sumbanganya ini telah membolehkan namanya dicatatkan dalam buku The Guinness Book of World Records.
Dalam tempoh yang lama beliau menumpukan penulisannya terhadap drama genre tragedi. Antara penulisannya yang masyhur termasuklah Hamlet, Rome dan Juliet, Macbeth, Othello dan King Lear. Dalam Hamlet itulah cuplikan "to be or not to be" yang dinyatakan sebelum ini ada dinukilkan. Sementara karya al-Ghazali lebih merupakan kritik dan nasihat agama dalam pembinaan akhlak, Shakespeare pula menulis tentang kritik sosial terutamanya kisah cinta dan keluarga.
Shakespeare meninggal dunia di Stratford-upon-Avon, pada 23 April 1616 ketika berumur 52 tahun. Sebenarnya, tarikh kelahiran dan kematiannya tidak diketahui secara tepat. Namun, beliau dikatakan lahir dan meninggal dunia pada tarikh 23 April, tetapi kesahihan tahunnya tidak dapat dipastikan.
Sebelum kita sambung ke bahagian yang selanjutnya, mungkin sesuai dikongsikan di sini kata-kata motivasi yang di dalamnya ada legasi hikmah peninggalan Imam al-Ghazali itu.
Elakkan Menjadi Tin Kosong, Pantaslah Bertindak
Memang ramai yang boleh memberikan petua atau tip menulis. Yang boleh memberikan motivasi pun ramai juga. Anjuran seminar dan bengkel ada hampir saban minggu. Buku dan rencana mengenainya pun banyak. Banyaknya tip dan motivasi menulis itu adalah kerana ramai yang berfikir dan berpengalaman dalam penulisan. Yang bertelur sebiji riuh sekampung boleh tahan juga ramainya.
Kata bijak pandai seseorang yang luar biasa itu sederhana dalam ucapannya, tetapi hebat dalam tindakannya. Bersederhana ini sesuatu yang dituntut. Sederhana tidak bermaksud tidak bersungguh-sungguh, tidak melakukan yang terbaik atau tidak bekerja keras.
Ramai yang tahu tentang kehebatan Imam al-Ghazali Kesederhanaan menurutnya ialah keseimbangan. Ibarat semut yang berada dalam lingkaran cincin panas. Ke kiri dan ke kanan, ke tepi dan ke tengah semut itu. Hidup atau mati, di tengah-tengah juga kesudahannya. Itulah dia titik seimbang kesederhanaan.
Titik seimbang kesederhanaan itu boleh membawa erti banyakkan menulis, kurangkan bercakap, jika anda ingin menjadi penulis yang hebat. Kata pujangga tersohor ini lagi, “Seandainya bercakap itu sekadar perak, berdiam itu emas, maka berdiamlah sahaja." Gilaplah emas itu melalui penulisan, elakkan daripada menjadi tin kosong.
c. Asam Garam Penulisan
Menjadi penulis pada zaman moden ini berbeza dengan pada zaman dahulu kerana teknik dan pendekatannya berlainan. Pada zaman ini hanya wacana teks yang bermutu sahaja diterbitkan dan akan dilakukan ulang cetak bagi karya berkenaan. Pada zaman dahulu, tulisan yang berkualiti akan disalin semula sama ada oleh pelajar tokoh-tokoh guru yang menulis ataupun atas arahan pemerintah. Memang ada yang menjadi penulis dan pada masa yang sama juga menjadi penerbit. Jika kualiti penulisannnya memang mantap tidak mengapa. Tentu ramai sahaja yang akan membeli dan membacanya. Jika tidak, jadilah dia penerbit, pencetak dan pembaca bukunya sendiri.
Memang tidak mudah untuk menerbitkan sesuatu bahan, sama ada buku, laporan atau rencana. Dalam Bab Empat selepas ini, dibincangkan secara khusus tentang pentingnya mempunyai autoriti dan kepakaran dalam perkara yang ditulis. Dalam bahagian ini, perbincangan tentang lima asam garam penulisan akan dimuatkan.
1. Menulis sekerat jalan
Berkobar-kobar untuk menulis sesuatu isu memanglah bagus.Walau bagaimanapun, anda perlulah memiliki keazaman yang kuat untuk memastikan luncuran tulisan anda sampai di penamat. Bagaimana hendak memulakan rencana sampai di noktah terakhir itulah masalah yang menghimpit ramai penulis.
Terlalu ramai yang menulis sekerat jalan. Kebiasaannya, tidak pun melebihi 50 peratus, iaitu tidak sampai 500 patah perkataan daripada 1000 patah perkataan yang biasa dianggarkan bagi tujuan rencana untuk akhbar dan majalah. Paling kurang pun, terdapat tiga punca masalah ini. Pertamanya, hangat- hangat tahi ayam. Semangat yang membara dan berkobar-kobar hendak menulis tidak akan sampai di noktah akhir sekiranya idea yang hendak disampaikan masih belum matang. Memang benar, mungkin anda telah banyak melakukan pembacaan. Ini tidak bermakna anda sudah boleh menulis. Orang yang banyak mengeluh biasanya mudah patah semangat. Untuk menjadi penulis isu-isu yang berat, anda bukan setakat memerlukan pengetahuan semata-mata, tetapi juga perlu memiliki pengalaman sepak terajang menulis. Tulislah isu yang sederhana ringan, sesuai dengan usia anda. Anda mungkin boleh menulis tentang sukan pada usia awal 20-an. Hanya pada usia 50-an ke atas sahaja seseorang itu mungkin boleh menulis isu-isu falsafah dan nilai kemanusiaan.
2. Menulis bukan kerana orang lain
Ada orang yang menulis kerana orang lain menulis. Jika anda kanak-kanak belasan tahun, itu tidak mengapa. Identiti masih dicari-cari pada usia belasan tahun dan juga awal 20-an. Apabila anda menulis tidak kerana pentingnya isu itu dan tidak juga dari hati anda sendiri, anda tidak akan dapat merasai kelazatan menulis. Bagaimanakah anda hendak menghabiskan makanan sekiranya selera memang tidak ada? Kalau sememangnya isu yang ditulis itu penting, akan timbul rasa kewajipan untuk menulis isu tersebut. Apabila anda menulis dengan ikhlas, tidak semestinya penerbitan yang anda dambakan. Bagi orang yang God conscious (ada kesedaran tentang Tuhan dalam dirinya), menulis itu diniatkan untuk mendapat keredaan Tuhan. Orang Islam akan menyebut, "Alhamdulillah" pada setiap sesuatu yang dapat menggembirakannya. Sekiranya anda menulis dengan niat yang suci, tidak terikut-ikut dengan orang lain, bukan sahaja hasil nukilan anda akan mantap, malahan identiti anda akan terserlah daripada makalah yang dihasilkan.
3. Menulis bukan kerana hendak mengujakan pihak lain
Asam garam kehidupan penulisan memang banyak. Memang ramai manusia yang mahu popular dan dirinya dipuja. Sekiranya orang itu ialah artis seperti penyanyi atau pelakon, itu biasa dan tidak menghairankan. Dunia mereka ialah dunia glamour. Jika anda menulis kerana anda hendak glamour, ini bukan
profesionnya. Rasa seronok apabila orang membaca rencana kita memang sudah lumrah. Stephen B. Smith (profesor bidang falsafah politik terkemuka dari Yale University) pernah berkongsi rahsia keseronokannya dalam menulis. Menurut beliau, amatlah bahagia bagi dirinya sekiranya pembaca itu memberikan reaksi terhadap karyanya. Tidak kiralah sama ada pembaca itu berkerut dahi atau merah muka marah dan mungkin juga sampai melontarkan buku (melontarkan buku hanyalah tambahan pengarang). Marah atau gembira tidak penting, tetapi bagi seorang penulis, sebarang bentuk respons ialah sumber kegembiraan baginya. Memang benar kadangkala organisasi ataupun keluarga sendiri yang mahu anda menulis. Pastikan anda menulis bukan untuk mengujakan mereka. Menulislah kerana sesuatu isu itu penting untuk ditulis. Dengan sendirinya pihak lain akan teruja dengan anda.
4. Jangan berhenti menulis walaupun tong sampah penuh
Banyak tulisan yang hanya sekerat jalan dan berhujung ke dalam tong sampah. Banyak juga tulisan yang sampai ke noktah hujung tetapi akhirnya ke tong sampah juga. Ini semua asam garam penulisan. Jangan semata-mata mengukur kejayaan anda berdasarkan kuantiti penerbitan tetapi sentiasalah memberikan keutamaan kepada kualiti diri. Yang pasti, pengalaman anda telah bertambah. Kesabaran anda juga sepatutnya sudah meningkat Banyaknya sampah tulisan di dalam tong sampah itu sewajarnya dapat mencerminkan banyaknya pengalaman dan kesabaran anda itu. Jangan marah kepada takdir. Berdamailah dengannya. Anda mungkin pernah membaca kisah J.K. Rowling yang menghasilkan novel terlaris di dunia, Harry Potter. Karya ini pernah ditolak sepuluh kali sebelum dipersetujui oleh penerbit untuk diterbitkan. Ini semua asam garam kehidupan. Pastikan tulisan anda tidak terlebih asam dan garamnya. Ia akan sedap sekiranya secukup rasa sahaja.
5. Elakkan menuding jari kepada editor
Ada juga orang yang tidak sabar setelah makalahnya dikirimkan untuk tujuan penerbitan. Adab dan tertib pengarang dengan editor mestilah dijaga. Begitulah juga adab editor dengan pengarang. Editor itu bukan sahaja banyak kerjanya, tetapi kerjanya memerlukan suntingan rapi sebelum sesuatu rencana disiarkan. Kalau masih berjerawat tidak berubat, atau tidak bersikat masih berserabut, masakan hendak dipamerkan kepada khalayak. Ada yang baru sahaja mengemelkan rencananya semalam, hari ini mahu mendapatkan keputusan daripada editor tentang kemungkinan rencananya disiarkan. Ada juga yang sibuk bertanya, apakah isu-isu yang menjadi tumpuan akhbar atau majalah untuk tiga bulan ke hadapan. Ada juga yang acap kali menghubungi - WhatsApp, emel, telefon dan lain- lain. Mengajak editor keluar makan boleh ditafsirkan sebagai makan suap. Anda perlu profesional untuk menjadi penulis atau pengarang yang berjaya. Baca polisi akhbar atau majalah, bukannya sibuk mengganggu editor. Tulis artikel dengan baik, bukannya melobi tulisan sendiri. Gunakan masa untuk berkarya, bukannya cuba belanja editor.
Kesimpulan
PETUA atau tip menulis memangnya banyak. Apa yang baik untuk anda tidak semestinya baik untuk orang lain. One size fits all tidak ada di dunia ini. Ukur baju di badan sendiri. Pastikan tip mana sesuai untuk masa bila dan bagi tujuan apa. Orang yang hebat dalam bidang penulisan umumnya orang yang juga hebat dalam kehidupan. Sama ada Khazaki, Roskin atau al-Ghazali, masing-masingnya hebat kerana mereka amat fokus tentang persekitarannya.
Apa yang dilihat itulah ditafsirkan dan ditulis. Asam garam dalam kehidupan memang banyak. Jangan ditambahkan lagi asam dan garamnya. Pastikan kesemuanya secukup-cukupnya, tidak lebih dan tidak kurang. Bersederhana dalam kehidupan bukan bermakna tidak beriltizam dan optimis kerana lain padang lain belalang dan manusia itu perlu mengukur baju pada badannya sendiri. Titik keseimbangan yang mesti diusahakan untuk ditemukan.
BAHAGIAN B
LATIHAN MENULIS
SINOPSIS
BAHAGIAN B ini juga mengandungi 3 bab (4, 5 dan 6). Anda diminta untuk membuat tugasan dalam ruangan yang disediakan sesuai dengan arahan dalam bab masing-masing. Setiap bab dimulakan dengan pembacaan rencana selepas pendahuluan. Anda perlu membelek-belek rencana berkenaan bagi membolehkan anda membuat tugasan dan memberikan respons terhadap soalan dalam bahagian yang disediakan.
yang Ketiga-tiga bab dalam Bahagian B ini memerlukan pembacaan yang teliti dan tumpuan membuat latihan intensif. Sekiranya kesuntukan masa, anda boleh tinggalkan dahulu keseluruhan perbincangan dalam bahagian B ini. Terus sahaja ke Bahagian C buku ini.
Bab 4, 5 dan 6 memuatkan rencana asal pengarang yang pernah dihantarkan di majalah-majalah tempatan dan kemudiannya disiarkan. Anda dikehendaki menilai dan memahami pentingnya faktor kepakaran atau autoriti bagi menjadi seorang penulis sebagaimana yang dibincangkan dalam Bab 4. Selain itu, latihan mendapatkan ilham dan memunculkan idea serta teknik mencetuskan idea dimasukkan dalam Bahagian B buku ini. Selamat membaca.
BAB 4
Faktor-faktor artikel tidak disiarkan
Pendahuluan
TIDAK ada sesiapa yang tidak mahu rencana yang dikirimkan kepada penerbitan majalah atau akhbar tidak diterbitkan. Kalau mereka cuba-cuba sahaja pun, mereka tentu ada perasaan untung-untung diterbitkan.
Kebiasaannya apabila seseorang itu membuat pengucapan atau penulisan, ada beberapa perkara yang hendak diketahui mengenai orang itu. Antara yang terpenting ialah atas autoriti apa orang itu berucap atau menulis. Adakah beliau memang pakar bidangnya ataupun pelipur lara atau kaki temberang sahaja?
Perbincangan tentang faktor-faktor penolakan rencana bagi penerbitan dalam bab ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:
a. Membelek-belek rencana
b. Analisis rencana
c. Jenis-jenis wacana teks
a. Membelek-belek rencana: Isu Disforia Gender Perlu Perhatian Masyarakat
Sila baca rencana yang berikut dengan teliti terutamanya pada bahagian yang bertanda bold. Artikel asal yang dihantarkan ke Majalah Dewan Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka ini telah diterbitkan dalam keluaran Julai 2022. Selamat membaca.
Isu Disforia Gender Perlu Perhatian Masyarakat
Istilah gender dan transgender telah lama digunakan, dan hal ini telah menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata Melayu Kebelakangan ini pula, istilah disforia gender sudah semakin diperkatakan masyarakat dunia dengan meluas, terutamanya di dunia Barat. Disforia gender adalah masalah kesihatan psikologi yang disebabkan oleh keperitan yang ditanggung seseorang akibat ketidak selarian antara jantina individu berkenaan dengan naluri jantinanya. Keperitan yang ditanggung itu boleh menjadi teramat sangat sehingga mendatangkan kesan depresi yang berbahaya.
Istilah gender berbeza dengan jantina dan ia dibezakan dengan istilah jantina, terutamanya oleh para pendukung teon Konstruktivisme, yang mana menurut pandangan kumpulan ini, sementara jantina seseorang itu boleh ditentukan semasa kelahirannya, iaitu sebagai bayi lelaki atau bayi perempuan, aspek- aspek lain seperti feminiti dan maskuliniti, atau keperempuanan dan kelelakian seseorang itu terbina kemudiannya, iaitu ditentukan oleh faktor budaya masyarakatnya. Transgender adalah berkaitan dengan isu bersilang identiti jantina, dan Transgenderisme pula adalah ideologi yang diperjuangkan atas maksud bahawa mereka yang mempunyai naluri yang berbeza dengan jantinanya harus diberikan hak berdasarkan nalurinya. Hak bernaluri sedemikian di ruang awam diiktiraf badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di bawah payung Deklarasi Hak Asasi Manusia berkaitan fasal Sexual Orientation and Gende Identity (SOGI), sememangnya ada dinyatakan dengan jelas mengenai perkara ini.
Isu orientasi seksual perlulah dibezakan dengan isu identi gender, dan makalah ini adalah perbincangan yang berkaitan
dengan isu identiti gender sahaja. Isu yang berkaitan dengan orientasi seksual seperti lesbianisme dan gay yang dikaitkan dengan isu perkahwinan sesama jantina tidak disentuh dalam makalah ini.
Rakan-rakan kita yang mempunyai naluri yang berbeza dengan alat kelaminnya adalah sebahagian daripada masyarakat seperti kita juga, dan mereka harus didekati agar dapat dibantu untuk memahami bahawa terdapat banyak faktor yang menyebabkan rakan-rakan kita perlu menerima hakikat bahawa faktor naluri semata-mata tidak boleh dijadikan penentu gender seseorang itu, baik dari segi feminiti mahupun maskulinitinya itu.
Secara kasarnya, terdapat tiga faktor yang boleh direnungkan untuk dijadikan sandaran berfikir soalan "Mengapakah naluri tidak boleh dijadikan penentu gender seseorang itu?". Pertamanya, adalah bersandarkan kepada faktor sains perubatan itu sendiri. Semua manusia itu dilahirkan mempunyai hanya dua jantina, sama ada lelaki atau perempuan, meskipun tidak dinafikan adanya kes- kes terpencil hermaphrodite. Hermaphrodite adalah makhluk yang dilahirkan mempunyai dua jantina dan bagi kes manusia, sesorang itu memiliki dua alat kelamin, yang mana sekiranya kedua-duanya berfungsi, yang satu akan lebih kuat daripada yang satu laginya. Ia juga disebut sebagai intersex atau khunsa.
Sebelum adanya penemuan sains pembedahan, individu intersex ini sememangnya terus hidup dalam masyarakat yang mana dilemanya diselesaikan melalui bantuan keluarga, institusi agama dan masyarakat. Jumlah mereka yang dilahirkan seumpama ini amatlah kecil dan pada zaman moden ini, para pakar perubatan akan menentukan jantina mereka seawal usia bayi lagi. Dengan ayat lain, dengan penemuan sains moden, dilema khunsa tidak lagi wajar wujud pada masa kini.
Isu disforia gender adalah masalah emosi yang sewajarnya mendapat bantuan kita dan rawatan pakar psikologi secara emosi juga. Sekiranya faktor emosi berkenaan amat kuat dipengaruhi oleh faktor hormon, maka para pakar mungkin akan mempertimbangkan kaedah suntikan atau pengambilan hormon yang sesuai dengan jantina masing-masing. Perkara ini perlu diingatkan, yang mana ianya mudah kita perkatakan, tetapi bagi rakan-rakan kita yang menderita masalah disforia gender ini, ianya tidak semudah disangkakan.
Keduanya, adalah faktor berkaitan dengan sandaran agama. Mungkin ada di antara kita yang pernah diberitahu oleh rakan-rakan yang mempunyai naluri seumpama ini bahawa perasaan berkenaan datang secara semula jadi dan ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Tuhan sendiri. Ada antara kita yang mungkin bersimpati dengan mengatakan "sekiranya agama (seperti Islam misalnya) adalah agama fitrah, mengapa kemahuan naluri sedemikian tidak boleh diterima oleh masyarakat?". Tidak ada sesiapapun yang dapat menafikan bahawa setiap sesuatu itu dijadikan oleh Tuhan, tetapi tidak ada sesiapa juga yang boleh tidak bersetuju bahawa tidak ada manusia yang dilahirkan ke atas muka bumi ini tanpa sebarang ujian.
Baik kekurangan mahupun kelebihan yang ditakdirkan kepada seseorang itu tidak lain dan tidak bukan melainkan semata-mata ujian daripada Tuhan. Ada mereka yang diuji dengan penyakit kronik seperti masalah buah pinggang, jantung, paru-paru dan masalah-masalah lain. Ada mereka yang diuji kecacatan fizikal seperti buta, cacat anggota, pekak atau ketidakupayaan yang lain. Ada juga yang diuji dari segi emosi atau naluri seperti panas baran, perongos, berkecenderungan melakukan fahishah, suka mengomel, gedik dan gelenyar, menipu dan mencuri, dan lain-lain lagi.
Disforia gender ini juga adalah ujian daripada Tuhan, dan Tuhan tidak membiarkan hamba-Nya diuji begitu sahaja, tetapi menurunkan manual penyelesaian melalui al-Quran dan hadis bagi membolehkan seseorang itu lulus ujian berkenaan.
Semua orang mahu mengecap nikmat kebahagiaan. Namun begitu, seseorang itu tidak sewajarnya memikirkan tentang apakah yang dapat memuaskan hatinya sebagai matlamat mencapai kebahagiaan berkenaan, sebaliknya mendapatkan ketenangan jiwa atau Sakinah. Sakinah ini hanya akan dapat diperoleh sekiranya manual yang diturunkan itu diikuti dan yang pastinya ganjaran di akhirat bagi mereka yang mengikut manual berkenaan itu lebih besar bagi mereka yang diuji dengan ujian yang getir dan besar seperti disforia gender ini. Atas maksud inilah sesiapa sahaja yang diuji, sama ada dengan masalah kesihatan, kecacatan fizikal ataupun kelemahan naluri berkenaan harus sentiasa bersabar dan ini bukanlah sesuatu yang mudah diterima sebagaimana gambaran yang ada dalam makalah ini.
Ketiganya adalah faktor yang berkaitan dengan persekitaran, atau dalam istilah sains sosialnya, faktor sosialisasi. Perihal pemikiran, perasaan, cita rasa, dan faktor psikologi yang lain amat dipengaruhi oleh persekitaran seseorang itu. Ini membawa pengertian bahawa, pemilihan rakan dan kumpulan serta organisasi amatlah penting dalam mempengaruhi aspek psikologi berkenaan. Seseorang yang dilahirkan lelaki dengan naluri lelaki sekalipun lambat-laun boleh bermuarakan naluri perempuan sekiranya ia bertali arus dikelilingi oleh unsur-unsur keperempuanan dan bertubi-tubi mendapat pengaruh bahan bacaan serta didikan menjadi seorang perempuan.
Dengan kata-kata lain, sekiranya seseorang itu telah diuji dengan naluri yang bertentangan dengan jantinanya, wajarlah mereka berusaha untuk terus memilih persekitaran yang sihat bagi mendepani isu disforia gender yang dialaminya itu.
Ini bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia memerlukan iltizam yang tinggi, usaha yang berlipatganda dan kesabaran yang bersungguh-sungguh.
Bagi maksud ini, semua pihak, terutamanya para pendidik agama, pemimpin masyarakat dan ahli politik, seharusnya tidak mencemuh kumpulan yang diuji dengan naluri seumpama ini dan pada masa yang sama, tidak pula mengiktiraf kehendak mereka berdasarkan naluri berkenaan. Sebaliknya, kita harus sama-sama berjuang bersama mereka untuk berjaya mendapat Sakinah dan keredaan Tuhan hendaknya.
Sungguhpun benar adanya badan antarabangsa yang mengiktiraf hak bernaluri seumpama ini atas prinsip hak seperti PBB yang disentuh di awal tadi, perlulah difahami bahawa semangat pengiktirafan sejagat berkenaan muncul daripada semangat penolakan terhadap agama di Dunia Barat yang menganggap agama berkenaan sebagai agama sejagat. Seterusnya juga, perlu difahami bahawa kemunculan semangat sejagat agama berkenaan pula muncul dari penolakan terhadap semangat sejagat Empayar Rom. Mesejnya, apa sangatlah yang sejagatnya dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia PBB itu sekiranya yang dikatakan sejagat itu hanyalah sejarah jatuh bangun Eropah semata-mata?
Sebenarnya pada hari ini pun, Bukan sahaja hak bernaluri sedemikian ditolak oleh ajaran Kristian itu sendiri, tetapi juga dalam ajaran agama yang lainnya. Sekiranya ada agama yang bersetuju dengan membenarkan sahaja tuntutan kumpulan bermasalah disforia gender ini, hal tersebut sangatlah terpencil sebagaimana terpencilnya kes-kes hermaphrodite yang disentuh pada awal tadi.
Sewajarnya, kita bersama-sama cuba memahami masalah rakan-rakan kita ini dan mempunyai sikap bahawa kepayahan mereka untuk terus hidup dengan ujian naluri ini sebagai suatu kepayahan kita juga, dan kegagalan mereka untuk menyelesaikan masalah berkenaan sebagai sebahagian daripada kegagalan kita sendiri juga.
b. Analisis artikel: Autoriti Pengarang
Terima kasih kerana anda telah membaca rencana ini dengan telitinya. Sekarang mohon nyatakan dalam ruang kosong berikut tiga faktor yang memungkinkan pihak editor menolak penerbitan makalah ini.
1.
2.
3.
Tujuan penulisan artikel berkenaan adalah untuk berkongsi informasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat. Artikel berkenaan sesuai untuk terbitan ketegori majalah atau akhbar. Latihan dalam bahagian ini bertujuan untuk membiasakan anda tentang pentingnya faktor autoriti menulis. Pengarang tidak bermaksud mengatakan dalam bahagian ini bahawa pengarang mempunyai autoriti dalam semua bidang yang disentuh dalam rencana ini, maka itulah rencana itu disiarkan.
Dalam bahagian ini hanya dibincangkan secara am sahaja tentang autoriti penulis. Autoriti ini bersangkutan dengan soalan-soalan seperti:
1. Adakah kandungan rencana berkenaan dihasilkan oleh pakar dalam isu yang ditulis?
2. Adakah penulis mempunyai rekod penghasilan rencana yang kontroversi?
3. Apakah pengalaman penulisan yang dimiliki oleh penulis?
Tumpuan bahagian ini diberikan kepada tiga bahagian dalam rencana. Mesej pentingnya adalah isu autoriti penulis amat penting.
Bahagian pertama, adakah penulis mempunyai autoriti untuk menulis pernyataan yang bertanda bold dalam rencana itu
Pernyataan pertama yang ditandakan bold itu tidak mempunyai autoriti sekiranya ditulis oleh mereka yang tiada latar belakang atau pendidikan dari segi biologi atau perubatan. Sekiranya anda tidak mempunyai latar belakang sedemikian rujukan perlulah ditulis bagi pernyataan seumpama itu
Adakah penulis mempunyai autoriti untuk melontarkan buah fikiran pernyataan yang bertanda bold kedua dalam rencana berkenaan?
Pernyataan sedemikian tidak mempunyai autoriti sekiranya ditulis oleh mereka yang tiada latar belakang atau pendidikan dari segi agama. Sekiranya anda tidak mempunya latar belakang sedemikian, rujukan perlulah ditulis bagi pernyataan tersebut.
Sekiranya anda tidak mempunyai latihan atau pendidikan dalam bidang berkaitan agama, selain memasukkan rujukan mungkin anda juga boleh memilih alternatif lain. Sebagai contohnya, dengan menerangkan bahawa pernyataan yang dituliskan berkenaan berdasarkan perbahasan-perbahasan yang biasa didengar di layar perak atau televisyen.
Adakah penulis mempunyai autoriti untuk menulis pernyataan yang bertanda bold ketiga dalam rencana berkenaan?
Pernyataan yang ditanda bold sedemikian tidak mempunyai autoriti sekiranya ditulis oleh mereka yang tiada latar belakang atau pendidikan dalam bidang sains sosial. Sekiranya anda tidak mempunyai latar belakang sedemikian, rujukan perlulah ditulis bagi pernyataan berkenaan.
Ketiga-tiga pernyataan yang diboldkan itu nampak semacam biasa sahaja. Anda mungkin ada idea yang bernas dan menarik. Anda tahu bahawa anda tiada autoriti untuk menulis idea berkenaan. Tulis idea tersebut dengan memasukkan rujukannya. Autoriti amatlah penting sebagai satu kaedah untuk menentukan kesahihan idea dalam perbincangan yang diketengahkan.
Satu persoalan yang menarik untuk diajukan berkaitan dengan isu autoriti ini ialah bagaimanakah sekiranya penulis rencana ini hanya berusia 15 tahun?
Secara amnya, tidak dapat dipercayai bahawa remaja seusia 15 tahun telah mempunyai latihan dan pendidikan yang cukup untuk menulis rencana seumpama ini. Walaupun mungkin penulis itu baru setahun jagung sahaja, ada kemungkinan dia adalah si jagung emas. Namun begitu, sekiranya memang ada rekod bahawa beliau pernah menulis dan hasil tulisannya tidak mencetuskan kontroversi, rencananya masih boleh dipertimbangkan. Atau sememangnya telah pun diketahui pengalaman menulisnya ada dan luas pula.
c. Jenis-jenis wacana teks
Wacana teks ialah penulisan yang mantap dan lengkap tentang sesuatu idea. Kadangkala disebut sebagai penulisan yang utuh.Terdapat beberapa kategorinya seperti laporan, cerita, puisi dan seumpamanya. Ketika menulis, anda patutlah sudah mengetahui kategori penulisan anda.
Mengetahui kategori penulisan memang penting. Selain mengetahui jenis penulisan, amat penting juga untuk anda memahami tujuan menulis. Apakah tujuan anda menulis? Menambahkan sumber pendapatan dan sebahagian daripada hobi bukanlah itu yang dimaksudkan dengan jawapan yang dikehendaki daripada soalan ini.
Adakah tujuan anda dalam penulisan rencana itu termasuk satu daripada yang berikut?
a. Berkongsi informasi
b. Mengemukan hujah
c. Meningkatkan kesedaran.
d. Memberikan motivasi
e. Memberikan keinsafan
Menulis rencana bukanlah pekerjaan mudah tidak kira apa pun tujuannya. Mungkin beberapa idea dalam kata-kata motivasi berikut dapat membantu anda.
Tabah dengan Kegagalan Bersyukur dengan Kejayaan
Untuk menjadi penulis, anda perlu bersedia dan berani untuk gagal menulis. Menghasilkan penulisan memang susah. Tidak disiarkan pula selepas itu memang mematahkan semangat. Orang yang kecundang adalah orang yang berhenti mencuba, bukannya orang yang ditimpa kegagalan tetapi mahu terus mencuba. Tabahlah dan terus mencuba. Tukar strategi anda. Dapatkan petua daripada yang arif dan berpengalaman. Banyak yang dipelajari ketika sesat dalam perjalanan. Akhirnya nanti, kita bukannya setakat mengetahui jalan yang betul, tetapi juga mahir dengan jalan yang salah. Pengetahuan dan pengalaman juga bertambah berbanding dengan orang yang tidak sesat. Sesat dan kegagalan banyak mengajar kita erti kehidupan.
"Bersyukur, bersyukur, dan bersyukurlah kerana dengan berterima kasih dan memulangkan pujian kepada Pemberi Anugerah menulis, sifat bangga diri mudah dijinakkan. Dengan bersyukur itu kebahagiaan sejati dapat dikecapi." Anda perlu bersyukur bukan sahaja kerana artikel anda telah disiarkan. Anda juga perlu ingat bahawa ramai di luar sana masih terkial-kial menulis. Ramai yang artikelnya masih ditolak. Anda pun tahu, artikel anda sudah mula diterima setelah anda gagal berkali-kali. Terus tabah, kali ini tabah pula dengan ujian puji-pujian.
Kalau hendak berjaya memang kena mendaki. Bukan semua yang turun dari gunung itu telah berjaya tiba di puncaknya. Ramai yang turun semula selepas sekerat pendakian. Ketabahan memang diperlukan, pengetahuan pula dimestikan dan kemahiran semestinya diwajibkan. "Going down hill" anda ialah simbol kejatuhan.
Jenis rencana teks yang lain di bawah ini lebih menerangkan hierarki ketinggian ilmu dan kedalaman metodenya.
a. Artikel majalah dan akhbar latihan ilmiah.
b. Kertas persidangan
. Makalah saintifik
d. Makalah ketuhanan
e. Makalah falsafah
Bagi setiap jenis kategori makalah berkenaan, teknik dan keperluannya berbeza. Bahagian latihan menulis dalam Bab 4 ini ditumpukan kepada wacana teks majalah dan akhbar. Sebelum membuat kesimpulan, hayatilah kata-kata motivasi berikut bagi menguatkan keazaman anda menulis.
Bersabar dengan Gangguan dan Perlu Ada Pelan B
Gangguan perasaan memang banyak ketika menulis. Bukan sahaja ada yang kuat mengomen, tetapi suka mengomel pula. Kadang kadang tidak tahan juga telinga kita dibuatnya. Lebih dahsyat lagi, ada yang sampai tahap mencaci. Ada orang berkata, "Lebih baik diam daripada panjang masalahnya." Pekerjaan yang senang bukannya tukang cuci, tetapi tukang caci.
Perlahan-lahanlah meninggalkan mereka. Masih ramai manusia lain yang hebat untuk didekati. Bersama dengan orang yang berpenyakit hati boleh menyebabkan kita juga sakit hati. Mendekati pembuat minyak wangi akan menjadikan kita juga wangi.
Masalah dalam penulisan memang banyak. Gangguan perasaan itu ialah sebahagian daripadanya. Tumpukan kepada penyelesaianya, bukan besarkan masalahnya. Perlu sentiasa ada pelan B. Jangan mudah mengaku kalah. Kata orang "Apa-apa pun yang kita lakukan, jangan sekali-kali menyerah untuk menghasilkannya."
Mungkin strategi kita menulis punca masalahnya. Kalau begitu, carilah penyelesaiannya. Bukan tiada pernyataan tesis pada bahagian awalnya. Barangkali tiada kata-kata penyimpul pada bahagian hujungnya. Kalau semuanya baik, mungkin penyelesaiannya ada pada pelan B itu.
Kadangkala ada tarikh akhir penghantaran rencana Gangguan perasaan masih berterusan. Artikel pertama telah ditolak, Pelan B tidak ada. Rencana tetap perlu dihantar juga. Ini sudah terjadi banyak kali. Kenapa mesti masuk ke dalam lubang yang sama dua tiga kali? Kenapa sudah terhantuk baru hendak tengadah? Bukankah sudah terhantuk baru hendak mengadah tiada faedah? Soalan ini tidak memerlukan jawapan, tetapi amat memerlukan tindakan. Jika memang perlu, sediakan juga pelan C sekali.
Kesimpulan
PENOLAKAN artikel untuk disiarkan merupakan perkara biasa. Sebenarnya lebih banyak rencana yang ditolak penerbitannya berbanding dengan yang diterima. Sememangnya anda digalakan untuk menulis berdasarkan kepakaran anda sahaja. Namun demikian, sekiranya anda memang orang yang memiliki pelbagai bakat, tidak mengapa. Luncur sahajalah menulis berdasarkan bakat anda itu kerana kadang-kadang ada sesetengah penerbitan yang tidak begitu mendalam perbincangannya.
Dalam penulisan, selain faktor autoriti, kejelasan dan idea menarik adalah faktor lain yang yang menentukan sesuatu artikel itu tersiar. Tentu sahaja ada penulis yang terkemuka pada usia muda dan tentu sahaja pandangan generasi muda hanya ada autoritinya sekiranya datang daripada orang muda juga. Fakor- faktor lain juga sama pentingnya dan hal ini akan dibincangkan dalam bab-bab yang lain.
BAB 5
Mendapatkan Ilham
IDEA berpunca daripada dua sumber, iaitu alam nyata dan alam ghaib. Pancaindera berfungsi untuk mencerap idea daripada alam nyata ini. Persepsi kita terhadap sesuatu terbentuk berdasarkan lima deria, iaitu penglihatan, pendengaran, bauan, rasa dan sentuhan.
Walau bagaimanapun, minda kita berupaya memproses data dan fakta untuk membina konsep. Dengan melakukan eksperimen minda, kita juga boleh mendapatkan ilham dan mencetuskan idea.
Bab ini mengandungi tiga bahagian iaitu: a. Membelek-belek rencana
b. Latihan praktikal
c. Mendapatkan idea dan ilham
a. Membelek-belek rencana: Kebenaran Mutlak Dan Relatif Kaca Mata Barat
Anda diminta membaca rencana berikut dengan teliti dengan memerhatikan ayat yang bertanda bold. Dalam bahagian selanjutnya iaitu Bahagian B, disenaraikan beberapa latihan praktikal menulis. Anda boleh membaca dahulu. Senarai latihan berkenan bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang apakah yang hendak ditumpukan semasa melakukan pembacaan rencana ini. Karya asal yang dikirimkan kemudiannya telah diterbitkan dalam Majalah Dewan Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka,Februari 2021.
Selamat Membaca:
Kebenaran Mutlak dan Relatif Kaca Mata Barat
Apabila lahirnya bayi ke atas muka bumi ini, kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya ialah sesuatu yang diharapkan daripada bayi itu. Kasih sayang sebagai fitrah bayi itu ialah kasih sayang yang sama yang pernah diharapkan oleh kedua-dua ibu bapanya ketika mereka lahir ke dunia ini dan fitrah ini berterusan sejak zaman anak-anak Adam dan Hawa sehinggalah bayi yang terakhir lahir di atas muka bumi ini.
Dari sudut falsafah Barat, manusia semula jadinya memiliki daya rasional dan kesemua manusia adalah sama. Adakah falsafah seperti ini masih boleh dipertahankan dan adakah mustahak bagi kita mengajar ilmu falsafah kepada masyarakat kita? Jika diperhatikan tentang kejadian makhluk mamalia yang lain yang umumnya hidup secara berkumpulan, fitrah menginginkan dan memberikan kasih sayang antara bayi dengan ibu bapa juga merupakan kejadian yang sama dan terus berlaku sejak dahulu sehinggalah kini.
Pemahaman tentang kejadian manusia yang berfitrah seumpama ini tidak masuk ke benak ramai manusia pada zaman ini. Ini sebahagian besarnya adalah kerana meluasnya pengaruh falsafah Barat yang mula berkembang mulai abad ke-17. Zaman ini disebut sebagai bermulanya Era Pencerahan (Enlightment) yang dimulakan oleh buah fikiran tokoh besar di Eropah, misalnya melalui Rene Descartes (1596-1650). Manusia dipercayai semula jadinya atau secara fitrahnya memiliki daya rasional dan mempunyai naluri (instinct) untuk mengejar atau mendapat kebebasan secara sama,meliputi setiap kejadian semua manusia. Apabila berbondong- bondong manusia berkiblatkan Barat untuk mendapat pencerahan ilmu, maka semakin ramailah spesies manusia itu menyerap gagasan yang percaya bahawa manusia semula jadinya rasional
Pemahaman fitrah atau tabii manusia seumpama ini berterusan beratus tahun lamanya sehinggalah ke hari ini. Adam Smith lebih dipuja sebagai Bapa Ekonomi Moden, John Stuart Mill dikagum sebagai Bapa Falsafah Kebebasan atau Liberty, sehinggalah yang agak dekat dengan zaman kita seperti John Rawls dan Robert Nozick (sementara dua tokoh sebelumnya asalnya berpengaruh di benua Eropah, dua tokoh kemudiannya pula ketika ini terus semakin berpengaruh di benua Amerika Utara). Rata-ratanya kesemua mereka percaya bahawa dengan kekuatan rasional dan atas kepercayaan kebebasan individu secara sama bagi semua manusia sahaja prinsip-prinsip kehidupan yang benar lagi mutlak akan dihasilkan. Ini memberikan implikasi bahawa bukan sahaja sumber- sumber lain seperti kasih sayang, bahkan sumber metafizik seperti wahyu dan ilham seseorang individu juga tidak dimasukkan dalam perhitungan memformulasikan prinsip-prinsip kehidupan manusia.
Umumnya, dari kaca mata Barat dan kaca mata manusia yang termakan dengan falsafah ini, manusia hanya akan dapat hidup jika mereka membuat keputusan berdasarkan kekuatan rasional yang berprinsipkan kekuatan merebut apa yang menggembirakan dan menepis semua yang menyengsarakan. Gagasan seumpama ini amnya disebut sebagai memaksimumkan utiliti atau kebahagiaan Pemikiran rasional tanpa teras kasih sayang, cahaya wahyu dan ilham menjadikan kehidupan manusia hari ini bukan sahaja tidak sihat, malah turut menjadikan kehidupan spesies yang lain semakin tidak sihat, termasuk bumi dan alam keseluruhannya
Bukan sahaja risiko kesihatan badaniyah semakin tinggi dan risiko kemusnahan alam semakin jelas, bahkan masalah moraliti dan spiritualiti spesies manusia juga semakin membimbangkan
Rene Descartes yang disebut sebelum ini berhujah bahawa terlalu banyak kesangsian atau kekeliruan terhadap idea para pendukung agama dan para penaakul yang menggunakan kekuatan dalaman bagi membuktikan ilmu masing-masing yang dipercayai datang dari alam metafizik atau alam ghaib. Demikian itu, Descartes mengemukakan metode Kesangsian Sistematik (Systematic Doubt). Inti kepada metode ini adalah kebenaran mutlak akan ditemukan sekiranya semua kesangsian dapat dihilangkan. Sebagai kiasnya atau analoginya, bagi memastikan kesemua buah epal dalam sebuah bakul baik kualitinya, kesangsian terhadap kualiti epal itu hanya akan hilang apabila epal itu disiasat kualitinya satu persatu sehingga habis kesemuanya.
Persoalannya, tidak ada satu pun perkara di atas muka bumi ini yang tidak tertakluk kepada kesangsian sekiranya daya rasional sahaja yang hendak dijadikan makanisme berfikir. Ini membawa pengertian bahawa manusia akan terus hidup dari satu kesangsian ke kesangsian yang lain tanpa ada prinsip kebenaran mutlak semasa hayatnya. Apa yang dapat dicerap oleh daya rasional adalah apa yang dapat dicerap oleh lima pancaindera manusia: melihat, mendengar, menyentuh, menghidu dan mengecap. Pancaindera penglihatan itu pun sangat terhad. Jika ditanya apakah yang dapat kita lihat di hadapan ketika ini, mungkin jawabnya adalah bahan bacaan kita.
Sebenarnya terdapat banyak benda dan perkara yang ada di depan mata selain bahan bacaan itu. Ini termasuklah udara, gelombang bunyi, atom, ataupun yang beribu kali lebih halus daripadanya termasuklah kemungkinan adanya tachyon (sejenis partikel), dan lain-lain seumpamanya, lebih-lebih lagi makhluk hidup yang halus, baik yang mempunyai nilai sains yang boleh dikuantifikasi seperti virus dan bakteria mahupun yang mempunyai ilmu yang tidak boleh dikuantifikasi seperti malaikat dan jin
Menentukan kualiti epal dengan kaedah kesangsian berdasarkan kias sebelum ini pun sebenarnya memancing kesangsian lain, misalnya yang dapat dilihat hanyalah bahagian luar epal itu. Kesangsian kualiti epal masih terus tidak dapat dihilangkan kerana kualiti epal itu lebih terletak kepada isinya dan bahagian luaran tidak selalunya memberikan gambaran dalaman sesuatu benda
Akhirnya, apabila menyedari tiada kebenaran mutlak dapat ditemui, falsafah Barat pada masa kini mengatakan tiada satu kebenaran pun yang mutlak melainkan relatif kesemuanya. Rene Descartes sendiri dikritik kerana memberikan gambaran tentang betapa lemahnya ilmu berdasarkan sumber alam ghaib yang mana baginya hanya akan menghimpunkan banyak keraguan dan kesangsian kepada manusia.
Apakah pula kebenaran mutlak menurut kaca mata pendukung agama dan pendeta ilmu? Soalan seperti ini biasanya dijawab dengan merujuk kepada huraian yang terdapat dalam bahan-bahan berasaskan sumber wahyu dan pengalaman hidup para pendeta yang menjadi guru kepada murid atau ahlinya. Bahan-bahan seumpama ini sememangnya sangat baik dan umumnya pembaca dalam kumpulan ini akan dapat mempertajam daya fikir mereka sekali gus menambahkan keyakinan dan diharapkan meningkatkan keimanan.
Bagaimanakah reaksi kumpulan manusia yang telah dipengaruhi oleh pemikiran mereka yang telah berkiblat he Barat dengan pendekatan saintifik, bukan sahaja dalam sains tulen tetapi juga dalam ilmu sains sosial? Mungkin impaknya mudah boleh diduga semakin menjauh, bukannya semakin mendekat kepada ilmu yang didapati daripada bahan berkenaan. Melabel atau mengkategorikan kumpulan dan sub-sub label dan kategori kumpulan hanyalah permulaan suatu proses diagnosis. Apa yang lebih ditunggu adalah preskripsinya atau prognosisnya. Sesuatu barah atau kanser itu hanya diketahui oleh pakar dalam jurusan kanser dan masalah bersifat kefalsafahan seumpama ini memerlukan ilmu jurusan falsafah juga. Mungkin dalam bidang seumpama ini kita masih amat beratus batu terkebelakang
Di dunia Barat itu sendiri usaha dalam kalangan ahli falsafah dalam isu keruntuhan moral, ketipisan identiti agama dan isu-isu lain seumpamaya semakin giat dilakukan. Antara yang terkini adalah yang dilakukan oleh Alasdair MacIntyre, khususnya melalui perbahasan beliau dalam karyanya, After Virtue (1981). Sebahagian daripada perbincangan tentang masalah metode Kesangsian Sistematik Descartes sebelum ini adalah dikutip daripada karya beliau ini. Menurut tokoh ini (lahir 1929 dan hingga kini masih hidup dan terus berwacana), tumpuan terhadap kekuatan rasional boleh disifatkan sebagai sama dengan tumpuan terhadap kekuatan fizikal.
Ini membawa pengertian bahawa sekiranya manusia gasar (barbaric) adalah manusia yang menggunakan kekuatan fizikalnya untuk memaksa orang lain tunduk kepadanya, manusia moden pula menggunakan kekuatan rasional untuk memaksa atau meyakinkan manusia yang lain agar tunduk dengan kekuatan rasional yang dikuasainya
Idea MacIntyre dapat dirumuskan seperti berikut: Daya rasional sememangnya penting dan ia perlu diletakkan di tempatnya manusia semula jadinya sejak dalam buaian menjalinkan hubungan kasih sayang dengan ibu bapanya dan ini adalah hakikat, bukannya andaian. Ini membawa pengertian bahawa manusia itu semula jadinya adalah makhluk berkasih sayang, bukannya makhluk rasional semata. Perkara-perkara yang berkaitan dengan kasih sayang perlu menjadi keutamaan atau dalaman (internal) dalam masyarakat.
Daya rasional berkembang pada tahap yang selepasnya dan ia diperlukan bagi menghalusi perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan kekayaan, kekuasaan dan status kehidupan dalam masyarakat. Dengan memastikan aspek internal didahulukan sebelum aspek eksternal, harkat atau harga diri manusia sebagai makhluk yang paling tinggi daya rasionalnya relatif kepada haiwan yang lain akan dapat dijaga dan menjadi mulia. Jika daya rasional dibiarkan bermaharajalela, manusia akan menjadi lebih hina daripada haiwan yang paling buas di muka bumi ini. Harimau hanya membunuh mangsanya untuk tujuan memakannya, tetapi manusia sedia membunuh manusia lain, bukan seorang tetapi jutaan orang, kerana mahu memaksimumkan kekayaan, kekuasaan dan statusnya dalam masyarakat.
Pendeknya, selain bidang ilmu yang lain, ilmu falsafah amat diperlukan bagi menangani pelbagai masalah manusia har ini yang berpunca daripada berkembangnya falsafah itu sendiri. Ilmu falsafah itu sememangnya berpotensi mengundang bahaya kesarjanaannya tersendiri. Dalam pergulatan falsafah, memang ada yang sesat ketika mengembara dan terus merawang di dalam minda falsafahnya. Ini membawa pengertian, sebagai orang yang beragama, ia perlu sentiasa memahami akan pentingnya hierarki ilmu itu, yang mana ilmu wahyu mestilah sentiasa berada di atas ilmu logik atau falsafah itu. Masih mesej yang sama, semakin tinggi ilmu falsafah seseorang itu, sewajarnya semakin hampirlah individu itu dengan ilmu wahyu berkenaan.
Bahagian selanjutnya mengenai latihan mendapatkan ilham.
b. Latihan praktikal
Dalam Bab Empat sebelum ini dibincangkan tentang pentingnya faktor autoriti dalam penulisan. Dalam bahagian ini cuba dibuktikan bahawa kalau hanya orang yang berautoriti sahaja boleh menulis, dunia penulisan ialah dunia yang tidak adil. Sebenarnya sesiapa pun boleh menulis. Asalkan individu itu ada idea atau ilham, kemahiran dan kemahuan. Dengan berbekalkan faktor ini, individu itu hanya perlu luncur menulis sahaja.
Dalam bahagian ini anda diminta memikirkan apakah yang boleh ditulis oleh empat individu yang berlainan latar belakang berdasarkan penerangan atau fakta yang sama dalam rencana yang dibaca sebelum ini. Empat individu itu ialah:
i. Ahli Perniagaan
ii. Ahli Agama
iii. Peladang
iv. Suri Rumah
Sebelum anda memulakan latihan mendapatkan ilham ini anda mestilah jelas tentang mesej penting yang terkandung dalam rencana Kebenaran Mutlak Dan Relatif Kaca Mata Barat dalam bahagian sebelum ini. Mesej pentingnya ialah manusia itu merupakan makhluk berkasih sayang. Daya rasional ialah keupayaan yang datang kemudian bergantung pada tahap pengaruh pendidikan. Sifat semula jadi berkasih sayang pada diri manusia ini tetap wujud tidak kira sama ada dinafikan atau tidak kewujudan semula jadinya itu.
Anda dikehendaki membaca semula konteks ayat yang bertanda bold dalam rencana berkenaan supaya jelas maknanya kepada anda sebelum membuat latihan ini. Sedutan daripada rencana yang dimaksudkan itu adalah seperti yang berikut:
Menentukan kualiti epal dengan kaedah kesangsian berdasarkan kias sebelum ini pun sebenarnya memancing kesangsian lain, misalnya yang dapat dilihat hanyalah bahagian luar epal itu. Kesangsian kualiti epal masih terus tidak dapat dihilangkan kerana kualiti epal itu lebih terletak kepada isinya dan bahagian luaran tidak selalunya memberikan gambaran dalaman sesuatu benda.
Anda diminta berhenti sejenak daripada terus membaca dan cuba berfikir seolah-olah anda merupakan setiap satu daripada keempat-keempat individu yang berlainan latar belakang berkenaan. Jika anda memerlukan masa yang lama, tidak mengapa kerana andalah yang mengawal kapal angkasa anda. Jika anda mahu terus membaca sahaja, tidak mengapa Anda juga yang memilih persimpangan hidup anda.
Yang berikut ialah contoh ilham yang boleh datang dan yang dapat difikirkan oleh keempat-empat individu berkenaan untuk luncur menulis:
i. Ahli Perniagaan
Kepentingan mewjudkan hubungan kekeluargaan dalam organisasi supaya setiap kakitangan menyumbang dalam organisasi berkenaan sama seperti setiap anggota keluarga menyumbang kepada keluarganya. Kecekapan dalam organisasi dan juga keuntungan tidak semestinya dapat dihasilkan melalui kerasnya bekerja, tetapi utuhnya hubungan kasih sayang sesama kakitangan.
ii. Ahli Agama
Menghayati potensi emosional yang boleh dibangunkan bagi membolehkan ajaran agama yang mengutamakan kasih sayang dalam hubungan manusia itu dapat dipraktikkan dengan berkesan dalam hubungan negara dan masyarakat. Semakin kuat kasih sayang sesama manusia dan semakin ilkhlas setiap sesuatu yang dilakukan, dengan izinNya, maka akan melimpah ruahlah rahmat dan perlindugan yang diberikan kepada keluarga dan negara itu.
iii. Peladang
Memastikan hasil ladang seperti buah-buahan dan ternakan berkualiti tanpa kontiminasi racun. Hasil keluaran ladang yang tidak elok dan beracun membahayakan kesihatan kehidupan ahli keluarga orang lain sebagaimana dapat membahayakan kehidupan ahli keluarga yang paling hampir dengan hasil itu, iaitu keluarga peladang itu sendiri. Manusia tidak setakat menilai kulit epal sahaja, manusia akan mendapatkan maklumat daripada orang lain tentang kualiti dan kebersihan hasil berkenaan.
iv. Suri Rumah
Sama ada lelaki atau wanita, suri rumah moden boleh lebih bijak untuk menentukan barangan rumah yang diperlukan. Menjaga kualiti dan khasiat makanan yang baik untuk santapan keluarga ialah bukti kasih dan sayangnya anda kepada ahli keluarga anda. Oleh kerana manusia itu fitrahnya berkasih-sayang, maka sewajarnyalah fitrah ini dibajai supaya hubungan kekeluargaan lebih mesra dan tautan kasih sayang semakin subur
Pendeknya, semua manusia tanpa mengira berautoriti atau pun tidak, sememangnya boleh menulis. Ilham dapat dihadirkan dengan pelbagai cara termasuklah dengan pembacaan itu. Mesejnya, ketika anda membaca rencana, pastikan bahawa bagaimana dengan pembacaan berkenaan percambahan idea dapat dilakukan. Latihan dalam bahagian ini hanya menumpukan sebahagian kecil perenggan sahaja. Anda boleh memilih mana-mana satu atau dua perenggan untuk dijadikan bahan mencambahkan idea berkenaan. Selamat mencuba dan terus luncur menulis. Dalam bahagian selanjutnya, perbincangan yang lebih terperinci ditumpukan tentang menghadirkan ilham ini.
c. Mendapatkan idea dan ilham
Sebagaimana yang telah disentuh dalam bahagian pendahuluan bab ini, idea daripada alam nyata ini hasil daripada kegiatan minda. Minda berfungsi mengkonsepsikan sesuatu idea melalui pelbagai aktiviti di dalam minda. Yang berikut merupakan contoh bagaimana aktiviti minda digunakan bagi membina konsep.
Mungkin anda pernah membaca pernyataan ini. Semua manusia pasti mati. Ali dan Aishah ialah manusia, maka mereka juga pasti mati. Ini adalah contoh mudah bagaimana aktiviti minda dilakukan. Idea dalam alam nyata ini terhasil daripada pembentukan persepsi dan proses mengkonsepsi. Persepsi terhasil daripada cerapan pancaindera yang lima itu iaitu melihat, mendengar, menghidu, mengecap dan menyentuh.
Untuk menghasilkan rencana, anda bukan setakat perlu ada idea, tetapi juga kemahiran dan kemahuan menulis.
Yang berikut ialah contoh latihan minda dalam pembinaan konsep. Perhatikan kandungan diskusi kebebasan manusia berikut:
Soalan: Adakah manusia benar-benar bebas membuat pilihan?
Idea A
Manusia bebas membuat pilihan kerana di hadapannya terhimpun pelbagai pilihan.
Idea B
Manusia tidak bebas memilih pilihan kerana semua pilihannya ditentukan oleh faktor latar belakangnya. Mereka yang ditakdirkan menjadi Melayu tidak boleh memilih menjadi India. Mereka yang dilahirkan sebagai wanita tidak boleh memilih menjadi ayah.
Idea C
Manusia langsung tidak boleh membuat pilihan. Manusia tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi makhluk manusia. Jika penciptanya mahu, makhluk ini boleh sahaja dijadikan monyet atau pokok. Manusia tiada kebebasan memilih kerana bukan manusia memilih dirinya sendiri untuk menjadi manusia. Manusia menyangka dirinya bebas membuat pilihan, tetapi semua pilihan manusia tertakluk kepada pilihan Penciptanya.
Idea-idea bermula dalam minda dan kemudiannya berkembang terhasil daripada kegiatan penyelidikan yang berterusan. Anda perlu mengikuti perkembangan hasil penyelidikan terkini untuk mendapat idea yang mutakhir atau terbaharu. Di menara gading, istilah-istilah dalam kaedah penyelidikan banyak digunakan. Data-data dikumpulkan daripada pelbagai sumber. Buku, laporan, media fizikal dan media online ialah sumber yang biasa digunakan dalam penulisan. Jika anda buntu untuk mendapatkan idea selepas melakukan bacaan bahan-bahan ini, anda boleh menggunakan sumber yang lain. Adakan wawancara dengan tokoh-tokoh tertentu atau lakukan pemerhatian secara langsung terhadap sesuatu aktiviti.
Anda mungkin berasa susah untuk melakukan kesemua ini. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Membaca dan menulis tidak dapat dipisahkan. Hanya melalui banyak membaca sahajalah anda akan didatangi oleh banyak idea.
Bagaimana pula ilmu atau idea yang datang daripada alam ghaib? Buat satu garis vertikal atau menegak, yang teratas yang ilmu wahyu dan yang terbawah ilmu ilham. Semua orang tahu ilmu wahyu diberikan kepada nabi dan rasul sahaja. Ada ilmu yang disebut sebagai ilmu laduni yang juga berjenis ilham diberikan terus Tuhan kepada insan terpilih sahaja. Ilham yang biasa boleh diterima oleh sesiapa sahaja. Bagaimanakah hendak mendapatkan ilham ini?
Manusia boleh mendapat ilham dalam apa-apa keadaan sekalipun, sama ada sewaktu tidur mahupun berjaga, waktu makan ataupun menonton televisyen. Ramai juga yang mendapat ilham ketika menunaikan sembahyang. Ini hakikat, bukan hikayat. Persoalannya, kita sudah mendapat ilham namun sedihnya, terlupa apa ideanya. Apakah yang sepatutnya dilakukan? Tentulah yang sebaik-baiknya terus mencatatkan ilham berkenaan. Semua yang kita tulis dalam fail MSWord akan hilang kalau kita tidak menekan butang simpan (save). Dengan membuat catatan, kita sebenarnya sedang melakukan proses save berkenaan.
Kadangkala ilham datang dalam keadaan kita tidak mempunyai alat untuk membuat catatan. Maklumlah, dalam "Bilik Termenung" juga kadang-kadang ilham datang. Pengalaman mengajar kita bahawa kita lebih mudah mengingati peristiwa beremosi. Kita semua ingat tentang peristiwa ngeri, kejam dan seronok walaupun berlaku ketika waktu kecil lagi. Tidak ada sesiapapun yang ingat bila dan bagaimana dia belajar 1 tambah 1 jadi 2.
Kaitkan ilham yang datang itu dengan peristiwa beremosi seperti itu. Datangkan peristiwa beremosi tersebut dengan ilham yang datang serentak. Ilham berkenaan terlekat pada ingatan beremosi tersebut. Ini cuma petua, bukannya preskripsi psikologi.
Secara kasarnya, idea dan ilham ialah buah fikiran yang sama fungsinya. Namun begitu, dalam bahagian ini, idea difahami sebagai buah fikiran yang boleh dipelajari, manakala ilham pula buah fikiran yang kadang-kadang juga disebut sebagai inspirasi. Anda tidak boleh menulis dengan "menggoreng" sahaja. Tukang masak pun memerlukan bahan untuk menggoreng.
Untuk menyediakan nasi goreng, setidak-tidaknya mesti ada bawang dan nasi itu sendiri. Sekiranya anda boleh menggoreng ketika berbual, sebenarnya anda ada bahan atau idea. Hanya yang menjadi masalahnya ialah bahan atau idea berkenaan tidak diurus secara sistematik untuk disampaikan dengan berkesan. Mungkin kata-kata motivasi berikut dapat anda manfaatkan.
Kegagalan adalah Pelajaran, Ubah Haluan
Rencana anda masih tidak diterbitkan? Rencana yang sama telah dibaiki berulang kali. Anda yakin buah fikiran yang tertuang itu amat berharga. Anda telah cuba dan cuba lagi, tetapi tidak berjaya diterbitkan juga.
Jangan putus asa dan yang penting jangan takut kepada kegagalan. Sekiranya anda tidak patah semangat, kegagalan itu hanya sementara. Kata-kata nasihat Robert Toru Kiyosaki (lahir 1947), usahawan dan pengarang buku terkenal, wajar dihayati. Beliau menyebut, "Successful people don't fear failure but understand that it's necessary to learn and grow."
Cuba ubah tumpuan topik penulisan anda kepada topik yang lain. Tidak mengapa sekiranya anda merasakan hal tersebut satu kerugian buat diri anda. Sekiranya anda tidak lemah semangat, akhirnya anda akan sedar bahawa rasa rugi itu sementara sahaja sifatnya. Kerugian yang anda rasakan itu sekadar satu persinggahan, bukan tempat untuk berlama-lama. Hasil penulisan sebelum ini hanyalah sebuah jambatan, bukan untuk membuat binaan, tetapi laluan berpijak ke seberang.
Mudah-mudahan mesej di sebalik kata-kata motivasi ini dapat membantu anda: "Jangan takut akan perubahan. Kita mungkin kehilangan sesuatu yang baik, namun berubah memungkinkan kita memperoleh sesuatu yang lebih baik."
Kata orang berilmu yang berikut ini besar manfaatnya dan tentulah wajar direnungi, "Jangan putus asa mencuba. Tidak ada jaminan kejayaan, tetapi memilih untuk tidak mencuba adalah jaminan kegagalan." Kali ini bukan sahaja anda mesti mengubah topiknya, tetapi usahakan juga mengubah gaya bahasa dan penyampaiannya.
Untuk menjadi penulis, elakkan menulis atau mengitar semula idea-idea lama. Tidak ada nikmat dan kelazatannya pada nasi goreng yang basi itu. Oleh itu, dapatkan idea yang baharu untuk menulis.
Ramai orang bercakap tentang patriotism. Bagaimanakah hendak mendapatkan idea yang baharu tentang patriotisme? Kenal pasti contoh idea patriotisme yang tradisional dan idea patriotisme yang moden seperti yang berikut: Patriotisme Lama
Patriotisme ialah semangat kecintaan kepada negara yang mewajibkan warganegaranya taat kepada negara dan sanggup berjuang berhabis-habisan sehingga titisan darah yang terakhir bagi mempertahankan negaranya untuk melawan musuh.
Sekiranya anda masih lagi menulis patriotisme dengan takrif seperti ini, tidak ada apa yang baharunya pun. Tulisan anda mungkin sahaja boleh menjadi menarik hanya kerana perspektif lain diberikan tentang sesuatu peristiwa patriotisme berdasarkan takrifan ini.
Patriotisme Moden
Patriotisme ialah kesetiaan kepada negara yang mana warganegaranya dapat mengimbangi tuntutan kehendak kaumnya dengan kaum yang lain. Selain itu, warganegaranya juga dapat mengutamakan kepentingan negaranya berbanding dengan kepentingan yang bersifat sejagat.
Terdapat dua perkara penting yang perlu difahami pada takrif patriotisme moden ini, iaitu nasionalisme mengikut kaum yang jika tidak terkawal boleh mengakibatkan pergaduhan dan pembunuhan. Perkara kedua ialah yang berkaitan dengan tuntutan sejagat, misalnya melalui deklarisasi hak manusia dan pertentangannya dengan tuntutan tempatan berdasarkan perlembagaan negara.
Perbahasan patriotisme moden ini telah dibangunkan kira-kira empat dekad yang lalu di dunia barat. Perkara ini masih baharu dibincangkan di negara kita. Sekiranya kita masih lagi membincangkan patriotisme takrif lama, ternyata idea kita tidak ubah seperti nasi goreng basi itu. Sekiranya anda benar benar berminat dengan perbahasan patriotisme ini, sila dapatkan buku Stephen B. Smith, "Reclaiming Patriotism in the Age of Extreme, 2020".
Kesimpulan
SEBENARNYA, bukannya tiada idea yang menjadi masalah besar ingin menulis, tetapi kesukaran memulakan penulisan berkenaan. Memastikan diri sentiasa tenang dapat menjadikan minda sihat. Sentiasa positif dan bergaul dengan individu yang positif dapat menjadikan anda lebih positif. Sentiasa berfikir tentang penulisan boleh mendapatkan ilham.
Fikiran mestilah sihat dan subur untuk menghasilkan buah fikiran. Terdapat banyak cara untuk membolehkan fikiran atau minda menjadi sihat. Manusia berhikmah terdahulu ada mengesyorkan kita supaya mengamalkan lima perlakuan berikut:
1. Elakkan memandang rendah kepada orang yang memandang tinggi kepada anda.
2. Elakkan teruja dengan pencapaian sendiri.
3. Elakkan menyanjung atau menghina diri sendiri
4. Elakkan menyoal melainkan benar-benar ikhlas mahukan jawapan.
5. Tumpukan kepada kerja kita, jauhi daripada sibuk menjaga tepi kain orang.
Dalam bab seterusnya perbincangan yang lebih mendalam tentang menghadirkan ilham ini dimuatkan.
BAB 6
Membuahkan Idea Baharu
Pendahuluan
DALAM dua bab sebelum ini, anda telah didedahkan dengan dua jenis latihan menulis. Setiap satunya mempunyai fungsinya yang tersendiri. Latihan menilai autoriti pengarang dalam Bab Empat berfungsi memahamkan anda bahawa tanpa kepakaran, seseorang itu bukan sahaja tidak sesuai menulis bidang yang khusus, malah tidak layak menulisnya.
Latihan dalam Bab Lima itu pula membantu anda bagaimana individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza akan mendapat idea yang berbeza.
Dalam Bab Enam ini, tumpuan latihan tertumpu kepada membuahkan idea daripada artikel yang dibaca. Sekilas pandang. macam tiada perbezaan perkara yang hendak dibincangkan dalam bab ini dengan bab sebelum ini. Pada penghujung bab ini nanti, anda akan nampak beberapa perbezaan yang ketara antara kedua-duanya.
Huraian dalam bab ini dibahagikan kepada tiga bahagian
iaitu:
a. Membelek-belek rencana
b. Latihan memunculkan idea
c. Cetusan gagasan baharu
a. Membelek-belek rencana: Terperangkap Dalam Pemikiran Untung Perang
Anda diminta untuk membaca rencana dalam bahagian ini. Peluang membuat latihan untuk menilai buah fikiran baharu yang cuba diketengahkan pengarang ialah tugas anda dalam bahagian b kemudiannya. Tugas ini memang susah dan mencabar. Anda boleh terus ke bab seterusnya jika anda enggan memikul tugas ini. Walau bagaimanapun, manfaatnya mungkin besar sekiranya anda sedia menggalas tugas ini. Rencana asal pengarang ini telah dikirimkan ke Editor Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa Dan Pustaka dan kemudiannya telah diterbitkan untuk keluaran Julai 2022. Selamat membaca.
Arahan: Baca dengan teliti rencana berikut dan kemudiannya berikan respons anda kepada beberapa kemusykilan yang dimuatkan dalam bahagian b. Anda boleh membaca soalan- soalan atau kemusykilan yang dinyatakan dalam bahagian b itu terlebih dahulu, sekiranya anda berpendapat teknik itu lebih berkesan. Untuk memudahkan pembacaan, rencana ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Selamat membaca.
Terperangkap dalam Pemikiran 'Untung Berperang'
Bahagian A
Sungguhpun peperangan bukanlah sesuatu yang mudah dielakkan, ini bukanlah bermakna usaha mencapai kedamaian boleh diabaikan. Kejadian peperangan itu pula semakin kompleks dan pelik, daripada yang melibatkan senjata perang konvensional kepada senjata yang metafora seperti tarif dalam perang perdagangan, senjata pencerobohan data dalam perang siber dan senjata devaluasi dalam perang mata wang. Bagi perusahaan yang mengeluarkan senjata perang konvensional, produk firma itu hanya akan bertambah laris jika terjadinya pertempuran di medan perang. Semakin banyak peperangan dan semakin dahsyat pertembungan di medan perang, maka dapat dijangka semakin banyak permintaan terhadap produk senjata peperangan berkenaan.
Berdasarkan hukum permintaan dan penawaran pasaran, mereka yang mengejar keuntungan akan sentiasa berusaha membuka dan mencari pasaran baharu di samping memperkukuh pasaran yang sedia ada bagi membolehkan permintaan barangan atau perkhidmatan ditingkatkan. Bagi pengeluar senjata, apabila peperangan yang sedia ada tidak cukup bagi menjamin keuntungan yang berlipat ganda, maka usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan dan membanyakkan peperangan supaya penawaran pasaran senjata dapat dibuka dengan lebih banyak dan luas dan dengan itu pengeluaran mereka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih menguntungkan. Ini membawa pengertian bahawa perisytiharan perang mana-mana negara adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan konflik pertumpahan darah secara besar-besaran adalah sesuatu yang ditunggu-tunggukan mereka.
Makalah ini adalah penerangan tentang bagaimana terperangkapnya penduduk dunia menentukan kedamaian dan peperangan berdasarkan pemikiran pengejar untung atau laba para pengeluar senjata yang mahukan peperangan bagi memastikan permintaan senjata terus meningkat.
Bahagian B
Umumnya, rata-rata kita mengetahui fungsi badan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang antara lainnya adalah untuk memastikan keamanan dunia yang mana pada masa ini keanggotaan badan berkenaan meningkat kepada 193 negara. Umum juga mengetahui bahawa dalam hal ehwal keselamatan badan ini memberikan kuasa veto kepada lima buah negara adikuasa, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis dan China.
Dalam masa yang sama juga, 100 buah firma pengeluar senjata terbesar di dunia rata-ratanya berada dalam lima buah negara kuasa besar berkenaan, malah lima buah firma terbesar di dunia berada di Amerika Syarikat yang mana firma itu menghasilkan 35 peratus keluaran senjata daripada 100 firma terbesar di dunia itu. Butiran mengenai semakin meningkatnya perusahaan firma senjata di dunia boleh sahaja dirujuk dalam pelbagai sumber. Antara sumber yang terpenting adalah butiran yang pernah dikeluarkan oleh Stockholm International Peace Research Institute seperti di atas.
Tentulah perusahaan seumpama ini membantu kepada meningkatnya GDP dan hasil cukai sesebuah negara. Namun, sebagaimana yang disinggung pada awal makalah ini, keuntungan firma senjata seumpama ini amat bergantung pada jumlah dan intensiti sesuatu peperangan, baik yang diisytiharkan secara rasmi mahupun peperangan yang disebabkan oleh konflik- konflik tertentu.
Terlalu banyak ironi dan paradoks berkaitan dengan pemikiran untung berperang ini, misalnya, persoalan tentang bagaimanakah sebenarnya keselamatan dan kedamaian dunia ini dapat dan boleh dijaga sekiranya negara yang dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan besar mengenai perkara perdamaian ini juga adalah negara yang mendapat faedah besar daripada keuntungan berperang? Adakah peperangan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh fitrah manusia itu sendiri atau sebenarnya pada masa ini lebih kuat dipengaruhi oleh fitrah mengejar keuntungan?
Sejak dahulu lagi ahli falsafah seperti Thucydides dan Hobbes meyakini bahawa fitrah ganas yang ada dalam diri manusia itulah yang berpotensi mencetus peperangan berkenaan dan idea-idea fitrah ganas manusia seumpama ini disambut oleh peneliti realisme yang lain seperti Hans Morgenthau dan Henry Kissinger. Ahli-ahli ekonomi meyakini bahawa manusia secara fitrahnya berfikir secara rasional dan mengejar keuntungan adalah antara ciri-ciri rasional yang fitrah pada manusia. Sungguhpun tidak terkenal sebagai ahli ekonomi, ahli falsafah politik silam terkemuka, John Locke memiliki gerak batin dan visi kapitalis kerana beliau pernah mengatakan bahawa manusia itu secara fitrahnya adalah 'property acquiring animal' iaitu manusia itu adalah makhluk yang sentiasa ingin memiliki harta.
Pernyataan Locke ini dapat ditafsirkan sebagai manifesto kapitalis dan pengaruh manifesto ini tidak setakat mempengaruhi sistem perdagangan dan kewangan, tetapi juga sistem ekonomi industri persenjataan dalam peperangan dunia. Pemikiran untung berperang pada hari ini adalah pemikiran perang kapitalisme yang mana sistem tawar - menawar senjata dalam pasaran perang menentukan kekuatan sesuatu firma yang sekaligus juga menentukan kekuatan pengaruh sesebuah negara.
Bahagian C
Perbincangan dalam bahagian selanjutnya akan ditumpukan kepada bagaimana Amerika Syarikat amat bergantung kepada firma senjata, bukan sahaja dari segi GDP dan hasil cukainya tetapi juga bagi maksud pengaruh politik dan ketenteraan di peringkat antarabangsa.
Jika dimudiki sejarah ekonomi politik antarabangsa, tantanan global selepas Perang Dunia Kedua amat ditentukan oleh pengaruh beberapa buah negara adikuasa dan fungsi Amerika Syarikat sebagai hegemon amat penting dalam konteks perbincangan makalah ini.
Bagi maksud menjalankan fungsi hegemon berkenaan, iaitu dipertanggungjawabkan menjaga kestabilan dunia atas kapasiti hegemoni kekuatan ketenteraan dan kewangan negara berkenaan, negara itu telah melabur dalam industri ketenteraan dalam jumlah yang amat besar, hampir separuh daripada GDP negara tersebut.
Melalui pelaburan sedemikian, dalam sekelip mata pengangguran dapat dikurangkan, ekonomi negara itu bertumbuh dengan pesatnya dan pengaruh ketenteraannya di peringkat antarabangsa meningkat secara mendadak. Keadaan ini mewujudkan hubungan tiga penjuru yang amat kompleks dalam negara berkenaan, iaitu antara firma senjata, agensi ketenteraan dan ahli politik. Sangat ramai keluarga warganegara Amerika Syarikat yang bergantung pada hasil pelaburan sektor ekonomi industri persenjataan ini kerana terlalu ramai mereka yang berkerja dengan firma persenjataan dan agensi ketenteraan negara tersebut.
Apa yang menjadi ironi dan paradoksnya adalah, senjata mesti dikeluarkan bukan kerana keperluan pertahanan negara tetapi bagi keperluan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada warganegara. Memang benar di peringkat antarabangsa kekuatan ketenteraan dan kewangan berkenaan telah menjadikan negara itu digeruni oleh penduduk banyak negara meskipun tidak semua penduduk dunia yang menghormati kepimpinan politik dan ketenteraan negara berkenaan. Dwight Eisenhower, Presiden Amerika Syarikat yang ke-34 pernah mengungkapkan perihal hubungan tiga penjuru ini dengan istilah 'military industrial complex' yang mana antara lainnya frasa ini dapat menerangkan tentang betapa kompleksnya hubungan tiga penjuru berkenaan iaitu antara firma senjata, ketenteraan dan ahli politik itu, bukan sahaja terhadap dinamika dalam negara Amerika Syarikat tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Sekiranya dalam negara sektor ekonomi persenjataan ini amat membantu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan, di peringkat antarabangsa, khususnya dalam tiga dekad kebelakangan ini, ianya mempunyai dinamika buruk yang tersendiri. Perang Vietnam yang melibatkan kematian beribu-ribu pasukan tentera Amerika Syarikat telah dikecam oleh warganegaranya, bukan sahaja atas alasan terkorbannya banyak nyawa pasukan tentera berkenaan tetapi juga atas sebab perbelanjaan perang yang besar. Namun begitu, dalam memahami frasa 'military industrial complex' Eisenhower, negara kuasa besar itu amat dipengaruhi oleh pemikiran untung berperang'. Falsafah seperti, "Sekiranya Amerika Syarikat dapat menentukan keputusan percaturan politik dan ketenteraan antarabangsa tanpa perlu menghantar pasukan tenteranya, maka lebih selamat dan menguntungkan jika dieksport sahaja senjata-senjata canggih keluaran negara berkenaan ke negara-negara yang bergolak"
Berdasarkan hujah ini, ia menguntungkan negara itu sekurang-kurangnya dalam tiga perkara besar. Pertamanya, penerusan pengaruh dan hegemoni negara tersebut. Kedua, tiada keperluan mengorbankan nyawa tentera negara berkenaan lagi dan ketiga, yang lebih penting, laba daripada hasil eksport senjata berkenaan.
Bahagian D
Kesedaran 'untung perang' seumpama inilah yang menyebabkan sebarang peristiwa antarabangsa akan dilihat dari segi percaturan untung perang. Peristiwa pengeboman Menara Kembar di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 oleh Osama Bin Laden boleh sahaja ditafsirkan sebagai kes jenayah antarabangsa dan penjenayahnya boleh dihukum di mahkamah antarabangsa. Bagi pengejar laba, tafsiran seumpama ini tidak menguntungkan dari segi ekonomi industri persenjataan dan tidak memberikan impak politik dan ketenteraan di peringkat dunia. Adalah lebih strategik dan menguntungkan jika ianya ditafsirkan sebagai perisytiharan perang para pengganas, oleh itu perisytiharan perang keganasan (war on terror) berskala besar perlu dilakukan dan dengan ini pengeluaran senjata oleh firma-firma berkenaan dengan berskala besar juga boleh dilakukan. Jika untung sebegini masih tidak mencukupi (dan fitrah manusia itu tidak pernah ada yang cukup dan sentiasa mahukan yang lebih daripada yang sebelumnya), peperangan dan untung berskala besar di peringkat antarabangsa melalui pendekatan lain perlu dilakukan.
Antara dua contoh yang biasa digunakan oleh pengkaji bidang ekonomi politik antarabangsa adalah peranan Amerika Syarikat dalam membanyakkan negara anggota NATO dan hubungan negara berkenaan dengan negara Republik China. Semakin banyak bilangan anggota NATO, bukan sahaja bermakna semakin kuat kuasa ketenteraan blok-blok kapitalisme tetapi juga semakin banyak kepastian perjanjian penjualan senjata dengan negara-negara anggota berkenaan dapat dilakukan. Perang Ukrain dan Rusia mungkin ditafsirkan sebagai perihal kuasa dan kemanusiaan tetapi kepada pemilik firma senjata, ia adalah peperangan yang diperlukan dan pasaran yang menguntungkan. Bagi memberikan legitimasi yang lebih kuat tentang perlunya lebih banyak senjata dikeluarkan, maka musuh yang lebih kuat perlu dicari dan dibesar-besarkan. Kekuatan negara Republik China dilihat sebagai calon musuh terbaik bagi memberi legitimasi kepada produksi senjata berteknologi tinggi dalam skala yang besar. Inilah yang dimaksudkan dengan ironi dan paradoksnya apabila dunia telah terperangkap dengan pemikiran 'untung perang' ini.
Anda sebenarnya juga boleh menyanggah hujah pengarang artikel ini sekiranya anda ialah pakar bidang Hubungan Antarabangsa, Ekonomi Peperangan, Ekonomi Politik dan Ketenteraan dan seumpamanya.
b. Latihan memunculkan idea
Perhatikan contoh-contoh peperangan dalam ayat berikut:
Kejadian peperangan itu pula semakin kompleks dan pelik, daripada yang melibatkan senjata perang konvensional kepada senjata yang metafora seperti tarif dalam perang perdagangan, senjata pencerobohan data dalam perang siber dan senjata devaluasi dalam perang matawang.
Anda didedahkan kepada jenis-jenis senjata metafora iaitu:
a. Senjata tarif dalam perang perdagangan,
b. Senjata pencerobohan data dalam perang siber
c. Senjata devaluasi dalam perang mata wang
Mohon tulis perbandingan bagi tiap berkenaan dengan senjata konvensional (bom, senapang dan seumpamanya).
- tiap senjata metafora
1.
2.
3.
Perhatikan bahawa anda telah menyediakan buah fikiran bagi sebuah artikel yang bertajuk 'Perbezaan Antara Perang Konvensional dengan Perang Metafora.' Apa lagi yang anda menungkan? Ayuh, luncurlah menulis! Baca dengan teliti dan perhatikan ayat berikut.
Sejak dari dahulu lagi ahli falsafah seperti Thucydides dan Hobbes meyakini bahawa fitrah ganas yang ada dalam diri manusia itulah yang berpotensi mencetus peperangan berkenaan dan idea-idea fitrah ganas manusia seumpama ini disambut oleh peneliti realisme yang lain seperti Hans Morgenthau dan Henry Kissinger. ahli falsafah politik silam terkemuka, John Locke memiliki gerak batin dan visi kapitalis kerana beliau pernah mengatakan bahawa manusia itu secara fitrahnya adalah property acquiring animal iaitu manusia itu adalah makhluk yang sentiasa ingin memiliki harta
Terdapat lima nama tokoh dinyatakan dalam bahagian ini dan masing-masingnya mempunyai andaian yang berbeza tentang fitrah manusia.
Cuba anda tulis jawapan soalan-soalan bagi tiga soalan
1. Apa itu fitrah manusia?
2. Bezakan antara fitrah ganas dengan fitrah mengejar keuntungan. Tulis dua perbezaan utamanya.
3. Apa yang anda tahu atau faham tentang fitrah atau sifat semula jadi manusia dalam agama anda?
Perhatikan bahawa anda telah menyediakan idea bagi sebuah artikel bertajuk 'Pandangan Filasuf dan Agamawan Mengenai Konsep Fitrah manusia. Apa lagi ditunggu? Teruslah luncur menulis!
Perhatikan pernyataan berikut:
Ia menguntungkan negara itu sekurang-kurangnya dalam tiga perkara besar. Pertamanya, penerusan pengaruh dan hegemoni negara tersebut. Kedua, tiada keperluan mengorbankan nyawa tentera negara berkenaan lagi dan ketiga, yang lebih penting, laba daripada hasil eksport senjata berkenaan.
Pengarang artikel ini mengemukakan tiga keadaan yang menguntungkan kuasa Amerika Syarikat daripada peperangan.
Cuba anda tulis huraian lima faktor daripada peperangan dengan menunjukkan masalah besar akibat peperangan berkenaan.
a. Masalah moral
b. Kemusnahan alam
c. Sikap permusuhan yang tidak berkesudahan
d. Penerusan domanasi negara kaya dan kuasa besar
e. Ketidak setabilan politik dan ekonomi
Perhatikan, sama juga seperti sebelum ini, anda sebenarnya telah menyediakan idea baharu. Tajuknya mungkin ditulis sebagai 'Lima Kesan Buruk Peperangan Masa Kini. Apa lagi masalahnya? Teruslah luncur menulis!
c. Cetusan gagasan baharu
Jika kita tidak mahu ketinggalan, mestilah kita tahu apakah cetusan idea yang terbaharu. Jika kita mahu di hadapan, mestilah kita yang mencetuskan idea baharu. Banyak masalah kalau kita ketinggalan ilmu pengetahuan yang baharu. Bukan sahaja apa yang kita tulis dan ucap lebih merupakan kitar semula, malah boleh juga menjadi basi bagi sesetengah orang. Dalam bahagian ini, diberikan dua contoh kes bagi membantu anda memahami bagaimana sesuatu idea itu tercetus. Perkara pertama yang perlu difahami ialah sesuatu fakta itu boleh sama sepanjang masa, tetapi penerangannya boleh berbeza, bergantung pada cetusan idea. Revolusi idea berlaku apabila adanya letusan idea. Ia akan merobah paradigma manusia untuk memahami sesuatu fakta.
Kes 1: Apakah sebabnya batu yang dilontarkan ke udara kembali jatuh ke atas tanah?
Dalam masyarakat purbakala, penerangan kepada fakta jatuhnya ke tanah batu yang dilambung ini berbeza dengan masyarakat moden. Bagi masyarakat purbakala, apabila batu itu dilambung ke udara, akan ada makhluk halus seperti jin dan hantu yang melontar kembali batu itu ke tanah. Ia menjadi kepercayaan sejak sekian lama. Tentulah ada kebaikan daripada penerangan seumpama ini. Setidak-tidaknya kanak-kanak tidak sewenang- wenangnya membaling batu ke udara. Bahaya kepada dirinya dan juga bahaya kepada orang lain bukan kepalang impaknya kalau batu itu terkena kepala.
Apa sahaja penerangannya, fakta sesuatu objek yang berada di tempat tinggi akan jatuh ke bawah sekiranya tiada apa-apa yang menghalangnya tidak akan berubah. Ilmu fizik merobah paradigma memahami jatuhnya ke bumi batu yang dilambung itu. Istilah graviti dipopularkan dan nama Isaac Newton menjadi masyhur. Beliau cuba memahami mengapa epal jatuh dari pokok mencecah tanah, tetapi bulan sentiasa berada di angkasa dan tidak ditarik oleh graviti untuk jatuh ke bumi. Jika anda hendak menjadi penulis yang hebat, anda harus dapat mencetuskan idea yang luar biasa.
Newton terkenal dengan teori gravitinya, iaitu Teori Kegravitian Semesta. Sama ada teori ini ditemui atau diformulasikan oleh Newton ataupun tidak, epal dan batu tetap jatuh ke bumi dan bulan tetap berada di angkasa. Faktanya tetap sama, tetapi penerangannya yang berbeza. Kenapa epal itu jatuh ke tanah? Jawapan Newton, kerana adanya tarikan graviti. Kenapa bulan tidak jatuh ke bumi? Jawapan Newton, kerana pergerakannya terlalu laju sehingga ia tidak sempat jatuh ke bumi, tambahan pula tarikan sesama tiga kuasa iaitu bumi, matahari dan bulan itu sendiri. Jika anda berdiri di puncak gunung dan membuat panahan sekuat dan sejauh yang dilakukan oleh manusia ajaib, anak panah itu akan bergerak begitu laju sehingga ia terlepas daripada tarikan graviti bumi. Anak panah itu akan kembali berada di belakang anda, melengkapkan satu pusingan bumi. Begitulah lajunya bulan itu meluncur sehingga ia tidak sempat jatuh ke bumi. Nampaknya macam hunky-dory (baik baik saja). Fakta
yang sama diberikan penjelasan yang berbeza oleh Albert Einstein 300 tahun selepas Newton. Batu dan epal terus ditarik oleh graviti ke tanah. Bulan terus meluncur, melepaskan dirinya bebas daripada tarikan graviti. Kata Einstein, tidak ada tenaga di dalam bumi ini yang boleh menarik sesuatu sehingga jatuh ke atas tanah. Apa yang berlaku adalah tekanan kuat dari ruang angkasa yang menyebabkan sesuatu itu tidak terus boleh melambung pergi jauh ke angkasa, bukannya tarikan graviti bumi. Graviti yang dimaksudkan oleh Newton bagi Einstein adalah tekanan daripada angkasa, bukan tarikan dari bumi. Agaknya tekanan daripada angkasa itulah yang dimaksudkan oleh manusia purbakala sebagai adanya jin dan hantu yang melontar batu dan kembali jatuh ke tanah.
Anda mungkin pernah mendengar nama Michio Kaku Beliau terkenal dengan teorinya, iaitu String Theory. Tidak mustahil kalau beliau dan kumpulan teori fiziknya mempunyai penjelasan yang lain mengenai fakta yang sama iaitu, jatuhnya batu dan epal ke tanah dan tidak jatuhnya bulan ke permukaan bumi.
Kita tidak semestinya terlebih dahulu menjadi Newton, Einstein atau Michio Kaku untuk mencetuskan idea baharu. Sungguhpun begitu, janganlah kita menulis dengan mengitar semula idea lama sebagaimana disentuh tadi. Kalaupun kita tidak boleh dan tidak mampu untuk membuat kajian, dengan membaca hasil penyelidikan orang lain juga kita sudah dapat mengongsi idea baharu daripada mereka. Sebagaimana yang ada dalam latihan bahagian (b) sebelum ini, anda akan didedahkan dengan bagaimana memberikan respons terhadap idea idea yang ada dalam artikel supaya anda dapat membuahkan idea baharu.
Kes 2: Kenapa agaknya manusia mahukan demokrasi?
Sebagaimana dijanjikan sebelum ini, dua contoh kes akan dibincangkan dalam bahagian ini dan yang berikut adalah contoh keduanya.
Idea demokrasi hari ini difahami secara berbeza mengikut tempoh masa yang berbeza. Mungkin anda terkejut dengan penjelasan, "Demokrasi adalah sistem yang keji berdasarkan perspektif orang-orang Yunani Greek." Dalam huraian mengenai graviti sebelum ini, anda telah faham bahawa fakta fizik juga dihuraikan berbeza-beza mengikut masa. Dalam bidang falsafah politik, logik sesuatu huraian juga berubah dari masa ke masa. Plato (meninggal dunia antara 347 hingga 348 sebelum masihi) tidak percaya kepada suara majoriti. Majoriti masyarakat rendah pendidikannya dan mudah pula dipengaruhi pemikirannya. Demokrasi ialah suatu sistem berdasarkan majoriti suara rakyat dalam pembuatan keputusan. Dalam logik Plato, apa masuk akalnya membuat polisi berdasarkan suara majoriti yang rendah pendidikan itu? Bagi pemikir Greek seperti Plato, polisi dan kebijaksanaan mesti ditentukan oleh bijak pandai seperti ahli falsafah. Bukan suara majoriti rakyat yang perlu didengar, tetapi suara ahli falsafah.
Jika anda menulis tentang demokrasi di sesebuah negara, penulisan anda akan lebih mantap sekiranya anda dapat mencetuskan idea baharu tentang demokrasi. Konsep demokrasi pada zaman Plato 2500 tahun yang lalu tentulah melalui zaman evolusi dan revolusinya sendiri. Pada hari ini anda mungkin pernah dengar istilah 'demokrasi liberal', 'demokrasi sosialis' 'demokrasi Islam' dan banyak lagi istilah demokrasi yang lain. Jika anda dapat memahami logik ditubuhkan kerajaan, anda akan dapat mencetuskan banyak idea baharu tentang demokrasi Logiknya kerajaan diwujudkan bertujuan untuk membuat keputusan bagi kepentingan semua warganegaranya. Anda kemudian boleh mengemukakan tiga soalan yang berikut:
1. Antara suara pakar dengan suara majoriti rakyat, yang manakah patut diikuti?
2. Antara suara pembayar cukai dengan keputusan undi, yang manakah sepatutnya didengari?
3. Antara pemimpin yang berjasa dengan pemimpin yang popular, yang mana sepatutnya diundi?
Ketiga-tiga soalan ini memerlukan penerangan panjang lebar secara berasingan. Tanpa anda sedari, sebenarnya anda telah mencetuskan tiga idea besar tentang demokrasi yang boleh ditulis dalam tiga rencana yang berasingan.
Manusia hari ini mahu demokrasi atas kepercayan bahawa kebebasan hanya dapat diperolehi melalui sistem demokrasi sahaja. Sistem politik yang lain dilihat bersifat mengongkong kebebasan mereka. Manusia mahukan demokrasi juga kerana mereka percaya bahawa hanya melalui sistem demokrasilah perjuangan persamaan sesama manusia dapat dicapai. Persamaan ini termasuklah dari segi etnik, gender, kelas, agama dan beberapa yang lain lagi. Manusia hari ini mahukan demokrasi atas hujah hak-hak manusia. Bagi mereka, manusia mempunyai hak ke atas dirinya. Bukan sahaja hak terhadap hartanya sahaja, tetapi juga hak terhadap ideanya serta tubuh badannya. Pendeknya, mereka percaya bahawa melalui sistem demokrasi, mereka akan mendapat hak mereka untuk melakukan apa-apa sahaja terhadap harta, idea dan tubuh badannya.
Jika anda masih ingat tentang perbincangan sebelum ini tentang kejinya demokrasi itu, anda boleh fikirkan sekarang mungkin ada rasionalnya mengapa tokoh itu berpandangan sedemikian. Manusia hari ini berjuang untuk mendapatkan haknya untuk memilih sama ada beragama atau tidak, lelaki atau perempuan atau tanpa gender sekali pun.
Tentu ada sudah boleh terfikir tentang banyaknya idea yang boleh dicetuskan daripada perbincangan ini. Apa lagi ditunggu? Teruslah meluncur menulis. Jika anda masih terkial- kial lagi, mungkin anda perlu membaca semula tujuh tip pantas menulis dalam bab pertama buku ini sebelum ini.
Kesimpulan
SEPINTAS lalu, mendapatkan ilham semacam sama sahaja dengan mencetuskan idea. Perbincangan tentang mencetuskan idea. Ilham ialah imput buah fikiran dan cetusan merupakan outputnya.
Anda akan menjadi penulis hebat sekiranya anda dapat mencetuskan gagasan besar. Revolusi dalam pelbagai bidang seperti sains, industri dan teknologi datangnya daripada cetusan gagasan besar. Sekiranya anda masih lagi menulis dengan kaedah petik dan tempik, eloklah anda berubah. Sekiranya anda masih menulis dengan melukut di tepi gantang idea, hentikanlah. Lakukanlah revolusi dalam diri anda jika anda mahu melakukan revolusi terhadap dunia.
Sebelum memasuki bahagian seterusnya, cuba dapatkan manfaat daripada kata-kata motivasi dan nasihat berikut ini.
Jadilah Manusia Pemaaf Bukan Manusia Pendendam
Ada orang mengecam tulisan anda dalam tulisannya? Sanggahan idea lawan dalam penulisan adalah asam garam kehidupan seorang karyawan. Kadangkala ada yang cuba menegakkan benang basah dengan teknik pulau-memulau. Memanglah tindakan tersebut amat menjengkelkan dan menyakitkan hati.
Daripada semua jenis luka yang pedih, luka yang paling pedih adalah luka dalam hati. Bila hati terhiris, minda cepat terguris. Bila kita marah, muka hodoh menjadi lonjong. Anda tidak sudi melihat wajah orang itu, tetapi mukanya terpampang dalam minda.
Lupakan sahaja kejahatan orang kepada kita jika kita hendak menghilangkan wajahnya itu. Api jangan dicurahkan dengan minyak, tetapi gunakanlah air untuk memadamkannya. Tumpukan sepenuhnya kepada potensi kebaikan kita. "Forgive and forget, not revenge and regret." Gunakanlah kedua-dua mata kita dengan baiknya. Yang kanan melihat kebaikannya walau sekelumit mana sekalipun. Mata yang satu lagi melihat potensi diri dengan membaiki kelemahan. Buat lima perkara sebelum lima perkara. Beribadat dan berbuat baiklah ketika muda sebelum tua, ketika sihat sebelum sakit, ketika hidup sebelum mati, ketika kaya sebelum miskin dan ketika lapang sebelum sempit. Ingatlah kata- kata nasihat ini, "Focus on what you have left on not what you have lost. Be forgiving, don't revengeful."
BAHAGIAN C
WACANA TEKS BERKUALITI DAN MOTIVASI MENULIS
SINOPSIS
BAHAGIAN ini sama sahaja dengan Bahagian sebelum ini, mengandungi tiga bab juga dan sekarang ini bersambung pula pada Bab 7, 8 dan 9 yang mana kata-kata motivasi menulis dimuatkan dalam sub-heading bab, bab berkenaan. Bab 7 memuatkan perbincangan mengenai apa yang hendak ditulis. Anda akan menemukan tiga cara untuk menentukan apa yang hendak ditulis (berdasarkan autoriti, isu semasa dan catatan sambutan dalam kalendar). Bab 8 bertujuan untuk membantu anda menulis dengan kaedah analogi atau kiasan. Dalam bab ini, anda akan menemukan artikel yang menunjukkan bahawa patriotisme boleh difahami dengan kiasan setia kepada jenama dan kesetiaan kepada negara. Bab 9 memuatkan perbincangan mengenai penulisan beremosi. Anda diperkenalkan dengan Teknik Penulisan Retorika. Dalam bab ni, anda didedahkan dengan penggunaan perkataan atau frasa yang boleh menaikkan semangat khalayak ketika membacanya. Anda boleh memahami bagaimana pentingnya kaedah retorika ini daripada Bab 9 itu.
Selamat membaca dan selamat mencuba luncur menulis.
BAB 7
Apa Yang Hendak Ditulis?
Pendahuluan
SIAPA anda ialah penentu kepada topik yang hendak ditulis. Topik yang hendak dipilih boleh berdasarkan tiga perkara: kepakaran, isu semasa dan tarikh peristiwa dalam kalendar. Bab ini akan membincangkan ketiga-tiga perkara ini bagi membolehkan anda luncur menulis. Secara khusus bab ini dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu:
a. Memilih topik penulisan
b. Membelek-belek rencana
c. Kata-kata motivasi dan nasihat menulis
a. Memilih Topik Tulisan
Apabila seseorang itu menulis atau menyampaikan idea, ada perkara penting yang hendak diketahui awam. Apakah autoriti yang individu itu ada untuk menulis atau bercakap mengenai topik berkenaan? Penulisan, terutamanya penulisan akademik mestilah berdasarkan kepakaran individu.
Sungguhpun begitu, penulisan di media agak longgar syarat kualiti akademiknya. Walaupun kepakaran anda tentang isu-isu yang khas, anda juga boleh menulis isu-isu yang lain misalnya alam sekitar, wanita, orang kurang upaya OKU, kesihatan, hak asasi manusia, patriotisme dan banyak lagi topik yang anda boleh pilih.
Bukanlah semestinya ahli akademik sahaja yang menulis.Sesiapa pun boleh menulis. Sudah tentulah ada topik tertentu yang hendak ditulis. Anda boleh menulis berdasarkan isu- isu semasa. Saban hari ada sahaja isu-isu baharu. Anda perlu sentiasa mengikut perkembangan peristiwa dan isu-isu penting yang berlaku. Jika anda mempunyai minat tentang isu-isu global, pastikan anda mengikuti media-media antarabangsa seperti BBC, Al-Jazirah, CNN dan seumpamanya.
Manusia mempunyai kecenderungan minat atau peka kepada isu-isu tertentu. Topik yang paling baik dipilih ialah topik yang dekat dengan hati dan minat anda. Anda juga boleh menulis isu yang berkaitan dengan anda sendiri. Jika anda seorang yang tidak sihat, isu kesihatan mungkin boleh dipilih sebagai satu topik. Ikuti laporan daripada mana-mana media tentang isu kesihatan yang berkaitan dengan anda dan terus tulis.
Anda mungkin buntu untuk menulis sesuatu topik.Kaedah yang agak mudah adalah dengan mengikuti peristiwa- peristiwa penting sebagaimana yang ada pada kalendar. Wartawan amat biasa menggunakan kaedah peristiwa dalam kalendar ini. Bagi yang hendak melaporkan sesuatu peristiwa, mereka telah bersiap siaga lebih awal lagi, malah sudah ada template mengenainya. Anda akan mendapat faedah berganda pada tahun hadapan dengan menggunakan kaedah ini. Peristiwa tertentu dalam kalendar sama sahaja setiap bulan, pada setiap tahun. Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Hari Pekerja, dan sebagainya sememangnya ada dan tidak berubah tarikhnya setiap tahun. Anda mungkin perlu membuat sedikit penyelidikan. Ada setengah sambutan tidak dipaparkan dalam kalendar seperti hari Wanita, Hari Kanak-Kanak Sedunia dan sebagainya yang disambut setiap tahun dan anda boleh menulis topik-topik ini.
Berdasarkan kalendar 2022 misalnya, antara peristiwa yang dicatatkan adalah seperti berikut:
- Januari: Sambutan Tahun Baru; Hari Thaipusam
- Februari: Hari Wilayah Persekutuan
- Mac: Israk dan Mikraj
- April: Hari Perisytiharan Melaka Sebagai Bandar Raya Bersejarah; Hari Nuzul Al-Quran
Mei: Hari Ibu
Jun: Hari Bapa
Julai: Hari Bandar Warisan Dunia Georgetown; Hari Kemerdekaan Sarawak; Maal Hijrah
Ogos: Hari Kebangsaan
September: Hari Malaysia
Oktober: Maulidur Rasul
November: Hari Keputeraan Sultan Perak dan Sultan Kelantan
Disember: Hari Keputeraan Sultan Selangor dan Hari Krismas
Soalan: Kepakaran saya adalah dalam isu alam sekitar. Bagaimanakah saya hendak menulis isu-isu yang lain? Isu alam sekitar tidak dilaporkan setiap minggu. Sambutan Hari Alam Sekitar tidak disambut setiap bulan.
Jawapan: Anda boleh menggabungkan kepakaran anda dengan isu yang lain dengan menulis dua topik secara serentak. Sebagai contoh, anda boleh menulis isu alam sekitar semasa sambutan Hari Kemerdekaan. Atau anda juga boleh menulis khusus mengenai bidang anda dengan menyentuh bidang tujahan lain. Walau bagaimanapun, jangan sesekali membuat ulasan tentang perkara-perkara yang di luar kepakaran anda. Dalam bahagian berikut dimuatkan contoh rencana penulisan dalam bidang falsafah yang menyentuh perbahasan khusus tentang agama. Pengarang rencana ini menyerahkan kepada pihak pakar agama mengulas perihal agama dan memberikan tumpuan terhadap bidang falsafahnya sahaja.
b. Membelek-belek rencana: Eksistensialisme, Tabula Rasa dan Kebebasan Memilih
Berdasarkan pengalaman mengajar di menara gading, khususnya bidang yang ada kaitan dengan falsafah, dapat diperhatikan bahawa mahasiswa Islam tidak mampu untuk berdepan dengan mahasiswa agama lain sekiranya isu-isu yang berkaitan dengan Tuhan dan ketuhanan dibangkitkan. Sebagai contohnya, soalan- soalan yang berkaitan dengan kebebasan memilih agama tidak dapat ditangani dengan berhemah oleh mahasiswa Islam, tidak termasuk soalan yang lebih berat seperti sekiranya alam ini dicipta oleh Tuhan, siapakah pula yang menciptakan Tuhan itu?
Perbincangan dalam makalah ini akan tertumpu kepada perihal falsafah kebebasan memilih yang mana perbendaharaan kata seperti eksistensialisme dan tabula rasa sangat diperlukan bagi membolehkan seseorang itu untuk memahami dengan baik apakah yang tersirat di sebalik falsafah kebebasan memilih itu. Secara amnya, perbincangan ini akan dibahagikan kepada dua fasa: fasa perbahasan kebebasan memilih, iaitu fasa Zaman Awal Pencerahan dan fasa yang disebut sebagai Pasca-Nihilisme, iaitu fasa masa kini. Konsep tabula rasa (blank slate) pernah dipopularkan oleh John Locke dalam karyanya, An Essay Concerning Human Understanding
Secara amnya, tabula rasa adalah perihal minda manusia yang bukan sahaja ketika bayi (baru dilahirkan), mindanya kosong dan putih, tetapi minda tersebut adalah malleable, yakni boleh diadun sesuai dengan persekitarannya. Sekiranya ia menjadi manusia beragama, itu adalah disebabkan oleh persekitarannya. Secara amnya, pemahaman ini menerangkan bahawa bayi ketika lahirnya tiada pemahaman tentang agama dan ketuhanan. Kesemuanya datang kemudian, sama ada melalui didikan berdasarkan adunan pemahaman agama keluarga, atau faktor persekitaran yang lain.
Pemahaman falsafah tabula rasa seumpama ini berkembang dengan adanya kritikan Friedrich Nietzsche terhadap agama dan falsafah. Bagi Nietzsche, tidak ada apa pun yang boleh disandarkan sebagai benar, baik oleh agamawan mahupun ahli falsafah, kerana apa yang benar itu bergantung kepada faktor tempat dan masa. Bagaimana hujah kebenaran berkenaan dibangunkan? Sebagai contoh, sesuatu yang dilihat sebagai benar dari segi moralnya di Jepun akan menjadi tidak bermoral di Arab Saudi, dan sebaliknya. Begitulah juga dari segi masa. Apa yang dikatakan benar 1000 tahun yang lalu tidak lagi diterima sebagai benar pada masa kini. Pandangan Nietzsche seumpama ini sebenarnya tiadalah nilai tambah yang luar biasa dalam memahami konsep tabula rasa dan kebebasan memilih yang dipopularkan Locke sebelum ini. Idea- idea Nietzsche ini disebut juga sebagai nihilisme, perbendaharaan yang tidak dimiliki oleh mahasiswa Islam, sedangkan istilah ini telah digunakan secara meluas di Barat, kerana Nietzsche sendiri telah mati lebih seabad yang lalu. Dengan kematian Nietzsche berkenaan, maka bermulalah pemahaman tabula rasa pasca-nihilisme yang disebut sebelum ini. Apakah pula eksistensialisme? Falsafah atau lebih tepatnya gerakan ini dipimpin oleh individu-individu seperti Jean-Paul Sartre, Simone de Beauvoir, dan Albert Camus Eksistensialisme boleh difahami sebagai fahaman yang menggesa manusia supaya diberikan kebebasan mutlak dengan kuasa veto untuk memilih apa-apa sahaja cara hidup yang mereka suka. Tabula rasa dalam pemahaman eksistensialisme ini lebih mengelirukan lagi kerana bukan sahaja manusia itu kosong dan boleh diadun mengikut acuan, tetapi jauh daripada itu, minda manusia menurut golongan ini secara semula jadinya sebagaimana minda bayi ketika dilahirkan, tidak mempunyai sebarang identiti sepertimana yang ditentukan oleh biologi seperti lelaki dan wanita, berkulit putih atau hitam, dan seumpamanya. Menurut pemahaman ini, manusia perlu diberikan kebebasan semahunya untuk menentukan jantina atau etniknya. Dengan perkataan lain, seseorang itu perlu diberikan kebebasan mutlak untuk menentukan bukan sahaja memilih untuk menjadi lelaki atau wanita, tetapi juga bebas memilih pasangan dan cara hidup perkahwinan, sekiranya mereka sememangnya memilih untuk berkahwin.
Memahami eksistensialisme memerlukan perbendaharaan kata yang lain, terutamanya esensialisme. Kebiasaannya, contoh yang mudah untuk memahami esensialisme adalah dengan menerangkan konsep H20, iaitu kandungan air adalah dua atom hidrogen dan satu oksigen. Ertinya, kesemua atom mempunyai esensinya sendiri, atau dalam konteks perbahasan esensialisme melawan eksistensialisme, manusia itu secara biologinya sememangnya mempunyai esensi dari segi jantina atau etnik. Berdasarkan pemahaman eksistensialisme pula, manusia perlu dibezakan dengan kejadian bukan manusia kerana manusia mempunyai keupayaan dan kebebasan memilih hakiki, iaitu kuasa veto yang tiada pada kejadian yang lain.
Secara sedar atau tidak, eksistensialisme telah pun menyerap masuk bukan sahaja di dunia Barat, tetapi juga ke dalam dunia Islam, termasuk di negara kita sendiri. Terbaharu ini, Ronald Inglehart (2021) melalui karyanya, Religion's Sudden Decline: What's Causing It, and What Comes Next? mendapati bahawa trend agama yang menurun atau semakin kurangnya manusia menerima agama, bukan sahaja wujud di negara Nordik, termasuk Netherlands, tetapi yang lebih memeranjatkan beliau adalah kewujudannya di Amerika Syarikat sendiri. Tiga indikator yang digunakan untuk mengukur trend berkenaan adalah kebebasan homoseksualiti, kebebasan bercerai, dan kebebasan menggugurkan anak. Berdasarkan pengalaman pengarang mengajar di universiti dan interaksi sosial yang lainnya, sudah ada trend yang menunjukkan bahawa berdasarkan ketiga-tiga indikator ini, bukan sahaja anggota masyarakat agama lain, tetapi masyarakat beragama Islam juga sudah mula menyokong kebebasan memilih seumpama ini.
Sememangnyalah benar kebebasan memilih juga membawa maksud bebas memilih untuk beragama atau menjadi hamba Tuhan yang taat, tetapi berdasarkan eksistensialisme, ini adalah pilihan yang membosankan. Memilih beragama bererti melangkah ke belakang, memilih cara hidup 300 tahun yang lalu. Sepatutnya, istilah-istilah seperti eksistensialisme, tabula rasa, nihilisme, dan esensialisme sewajarnya sudah difahami dan ditangani umat Islam dengan baik, namun begitu tidak dapat dipastikan mengapa perkara ini tidak difahami oleh mahasiswa Islam, sedangkan perbahasan ini sudah pun pesat digunakan dalam perbahasan awam kira-kira 50 tahun lamanya di Barat. Kemajuan ICT, khususnya melalui Internet sudah membolehkan mahasiswa membaca dan memahami istilah-istilah ini dan lebih mudah diakses oleh mahasiswa yang bermedium Inggeris. Oleh sebab kebanyakan respons terhadap falsafah eksistensialisme ini dilakukan oleh agamawan lain, khusunya Kristian di Barat, pemahaman tentang Islam yang dimiliki oleh sebahagian kecil mahasiswa Islam untuk menerangkan masalah falsafah-falsafah ini mempunyai nilai Kristian yang sangat kuat. Sebagai contoh, konsep teodisi yang mengemukakan soalan, "Why does God allow evil things to happen?" Konsep teodisi ini adalah konsep yang sangat berakal dalam perbahasan agama Kristian, dan mahasiswa Islam yang mahir berbahasa Inggeris berhujah tentang eksistensialisme teodisi dalam laras bahasa dan pemahaman ajaran Kristian, sungguhpun konsep tabula rasa ada dalam Islam dengan pemahaman bahawa apabila seorang bayi itu dilahirkan, ia diibaratkan seperti kain putih (blank slate).
Ramai mahasiswa Islam yang tahu perkara ini tetapi mamai apabila istilah tabula rasa (bukan istilah 'kain putih') digunakan dalam perbahasan. Hadis mengenai perkara ini sangat jelas dan bukanlah saya orangnya untuk mengupas hadis berkenaan. Malah, hadis berkenaan amat berkait dengan Surah Ar-Rum, ayat 30 yang tentunya memerlukan kupasan pakar bidang Al-Quran pula. Para mahasiswa Islam perlu diberikan penjelasan dengan perbendaharaan yang lebih terkini mengenai konsep tabula rasa dan fitrah manusia kerana pada kain putih itu sudah sedia ada (in-built) rasa fitrah mengabdikan diri kepada Tuhan dan tentulah biologinya akan dijadikan faktor bagaimana seseorang itu akan dapat mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Dengan istilah yang lebih kontemporari, manusia itu by default sudah mempunyai rasa pengabdian kepada Yang Maha Esa. Jantinanya penting untuk menentukan apakah peranan yang perlu dilakukan oleh manusia tersebut bagi menjadi hamba Allah yang diredhai, manakala perkahwinan adalah institusi halal bagi menyambung zuriat mereka.
Sepanjang perbincangan dalam makalah ini, telah dikemukakan beberapa istilah falsafah terkini, yang mana usaha untuk memperkayakannya perlu dilakukan, terutamanya dalam konteks ilmu agama Islam. Pengetahuan tentangnya perlu disebarkan seberapa segera, dan tentulah ICT dapat digunakan untuk memastikan istilah dan falsafah itu dapat masuk ke benak masyarakat Islam dengan pantas, sesuai dengan kepantasan internet masa kini. Kelewatan kita dalam memberikan respons terhadap isu-isu eksistensialisme, tabula rasa, dan kebebasan memilih termasuk esensialisme dan nihilisme ini adalah sesuatu yang mencemaskan dan padahnya amat besar terhadap umat Islam itu sendiri.
c. Kata-Kata Motivasi dan Nasihat Menulis
(i) Tulis apa yang anda minat, elakkan patah semangat
Anda tidak tahu apa yang hendak ditulis? Anda tidak tahu apa yang anda minati? Tidak mengapa kerana memang ada ramai yang seperti anda juga. Mulakan dengan membaca rencana- rencana yang terpapar dalam mana-mana ruang majalah atau akhbar. Mungkin ada yang menyentuh kalbu. Atau mungkin saja anda boleh mulakan dengan menulis tentang tokoh yang anda kagumi. Anda mungkin pernah mendengar atau membaca tentang pentingnya menulis isu-isu yang hanya menjadi minat seseorang. Kita tidak akan mudah penat kalau kita membuat pekerjaan yang kita minati.
Steve Jobs (1955-2011), seorang usahawan terkenal Amerika Syarikat yang memperkenalkan produk Apple dan Pixar dalam hal ini pernah menyebut, "Satu-satunya cara untuk melakukan pekerjaan dengan cemerlang adalah dengan mencintai apa yang anda lakukan." Usahawan ini meninggal dunia pada usia muda, iaitu 54 tahun, tetapi pencapaiannya amat luar biasa. Kata-katanya ini memberikan isyarat kepada kita supaya faham bahawa dengan melakukan pekerjaan yang diminati, kecemerlangan dapat dicapai dalam masa yang singkat.
Bukan sahaja profesion pekerjaan yang banyak pilihannya, profesion penulisan juga mempuyai banyak pilihan topik untuk ditulis. Topik yang dipilih mestilah mengenai perkara yang anda betul-betul minati. Penulisan bukanlah pekerjaan mudah. Jumlah rencana yang ditolak lebih banyak daripada yang diterima untuk penerbitan. Anda tentu ada pengalaman gembira atau duka sepanjang kehidupan. Pengalaman yang ada pengajarannya wajar ditulis. Kalau anda merasakan bahawa anda tiada pengalaman suka duka yang boleh dikongsi, tulislah pengalaman kakak atau abang anda, atau pengalaman saudara- mara anda. Pendeknya, terlalu banyak topik yang boleh ditulis dan boleh menjadi minat anda. Patah semangat mudah terjadi pada perbuatan yang tidak kita minati. Jika kita berstrategi dan betul-betul dapat mencurahkan ilmu dan perasaan tentang apa yang kita minati melalui penulisan, hasilnya pasti mantap, orang pun akan berminat.
(ii) Kewajipan menulis dan kelemahan berputus asa
Menulis itu, jika boleh janganlah dijadikan sekadar hobi sahaja. Bagi orang yang jelas pendiriannya, menulis hal-hal penting adalah kewajipan baginya. Bukan semua orang dianugerahi ilmu dan kemahiran menulis. Mendiamkan diri dengan kemungkaran di hadapan mata mungkin boleh menjadikan kita bersubahat dengannya.
Jika anda membiarkan sahaja anugerah menulis yang dikurniakan kepada anda, dikhuatiri anugerah itu akan menjadi besi karat. Anda ada tanggungjawab ke atas masyarakat, sama ada mendidik, menyedarkan, memberitahu, mengarah mahupun mengkritik pihak tertentu supaya membetulkan kepincangan dalam masyarakat.
Tokoh yang banyak jasanya kepada keturunan berkulit hitam, Martin Luther King Jr. (1929-1968) pernah melontarkan pandangannya mengenai pentingnya bersuara. Renungkan kata-katanya ini, "Hidup kita mulai berakhir saat kita menjadi diam tentang hal-hal yang penting." Bersuaralah menegakkan kebenaran. Jika kita tidak pekak dan buta, janganlah memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan kerenah gajah di hadapan mata. Menjadi hina pula kita jika membesarkan kuman di seberang sana. Luncurlah menulis dan teruskanlah kewajipan menulis tanpa hentinya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menidakkan pentingnya usaha. Pepatah Melayu ada menyebut, "Usaha tangga kejayaan." Usaha yang gigih juga semestinya diiringi doa. Kata orang alim, putus asa sifat orang yang tidak beriman
Mudah-mudahan kata-kata selebriti televisyen Amerika Syarikat, Oprah Winfrey (lahir 1954) ini ada manfaatnya.
Beliau menyatakan, "Lakukan apa yang harus anda lakukan sampai anda dapat melakukan apa yang ingin anda lakukan."
Lakukanlah kewajipan menulis tanpa rasa jemu dan tanpa putus asa.
iii) Hargai usaha sebagaimana menghargai hasil
Apa hasilnya? Apa produktivitinya? Ramai yang gemar bertanyakan soalan seperti ini. Tiada salahnya dengan soalan seperti ini. Cuma, berapa banyak kos yang telah dibelanjakan atau diusahakan untuk menghasilkan outputnya juga perlu ditanyakan. Kepentingan kedua-duanya, iaitu kos dan output itu sama sahaja. Output tidak wujud jika tiadanya kos, ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan.
Tidak tepat mengukur kejayaan diri anda atau orang lain dengan menilai banyaknya penerbitan yang ada. Artikel tersiar seminggu sekali itu sememangnya sudah bagus. Adakalanya anda gigih dan terus bekerja keras, tetapi ouputnya kecil. Itu bukanlah satu-satunya yang menjadi perhitungan.
Perhatikan apa yang diperkatakan oleh Albert Einstein (1879-1955) ini, "Berikan nilai daripada usahanya, jangan daripada hasilnya, baru kita dapat menilai kehidupan sebenar."
Suri rumah sepenuh masa menyediakan makanan dan menyiapkan pakaian kepada si suami yang merupakan seorang penulis. Hanya menobatkan pencapaian si suami, tanpa menilai penat lelah isteri bukanlah cara menilai kejayaan diri.
Perkara ini amat jelas dalam ajaran mana-mana agama sekalipun. Dalam agama Islam umpamanya, memang dikatakan hebat sekiranya seseorang itu berjaya menghafaz seluruh al-Quran. Bukan itu sahaja, keseluruhan hafazan itu dapat dilakukan hanya dalam tempoh tiga tahun. Tidak tepat pula kita menidakkan kehebatan individu yang terus bersungguh-sungguh menghafaz al-Quran, tetapi masih tidak berjaya menghafaz seluruh isi kandungannya walaupun telah berhempas pulas selama sepuluh tahun lamanya. Kehebatan A terletak pada outputnya. Kehebatan B terletak kepada kegigihannya. Mereka yang terus memberikan sumbangan di sebalik kehebatan-kehebatan itu juga perlu dihargai jasa mereka.Tanpa mereka siapalah anda. Mungkin tidak salah agaknya kalau dikatakan bahawa dari segi agama itu, mereka yang telah bersungguh-sungguh berusaha untuk berpuasa, tetapi gagal menyudahkannya tetap memperoleh ganjarannya sebagaimana ganjaran yang diterima orang yang menyempurnakan puasa itu.
(iv) Elakkan bercakap kosong, tulis apa yang dicakap
Cakap terlebih dahulu apa yang hendak ditulis memanglah teknik penulisan yang berkesan. Asyik bercakap sehingga terlupa akan matlamat penulisan menjadikan anda dalam kesesatan. Ada dikisahkan bahawa terdapat amalan orang-orang hebat terdahulu yang mengulum batu kecil bagi mengelakkan dirinya bercakap. Batu itu hanya dikeluarkan jika sememangnya ada keperluan untuk bercakap sahaja. Walt Disney (1901-1966) mengingatkan kita supaya kurang bercakap dan tumpukan kepada pekerjaan. Katanya, "Cara terbaik untuk memulai pekerjaan adalah dengan berhenti berbicara dan mula melakukan pekerjaan." Cakap setakat mana diperlukan. Memang benar perbualan dapat mengurangkan tekanan. Tekanan juga datang akibat berlebih-lebih dalam perbualan. Pastikan setiap percakapan anda itu ada ilmu yang dapat dikongsi. Kehidupan tanpa penumpuan kepada ilmu adalah suatu pembaziran. Ahli Falsafah logik Bertrand Russell (1872-1970) pernah menyebut, "Hidup yang baik adalah hidup yang diinspirasikan oleh cinta dan dipandu oleh ilmu pengetahuan."
Seperkara penting lagi, "Walk the way you talk." Apakah maksudnya frasa ini? Ada peribahasa Melayu yang menyebut cakap tidak serupa bikin. Kedua-dua frasa ini mempunyai makna yang hampir sama. Kalau kita mengingatkan orang tentang pentingnya menepati janji, kita mestilah menjadi orang yang menepati janji. Penulisan juga sama. Sekiranya kita menulis mesej tentang pentingnya mengelakkan pembaziran air atau pentingnya penjagaan alam sekitar, kita mestilah melakukan apa yang kita cakapkan itu. Kita mestilah walk the way we talk.
(v) Sentiasa menaruh harapan, sesekali pandang cermin belakang
Anda mungkin telah beberapa kali mengirimkan rencana. Sedihnya, masih lagi tidak diterbitkan juga. Walaupun sepuluh kali ditolak, teruslah menulis dan pandang ke hadapan. Pepatah Inggeris ada menyebut, "Don't look back with regret, look forward with hope."
Kata-kata ini bukan membawa maksud larangan melihat ke belakang, tetapi larangan melihat ke belakang dengan kesedihan. Kesedihan itu telah berlaku, malah telah pun menjadi sejarah. Banyak kejadian yang telah berlaku itu berada di luar kawalan kita dan bukan pun pilihan kita. Lihatlah ke hadapan supaya sejarah masa depan itu dapat kita tulis sendiri. Mengambil risiko untuk suatu masa hadapan yang bahagia dan berjaya itu usahlah dirisaukan. Banyakkan pelaburan, baik dari segi pendidikan, masa, tenaga mahupun wang ringgit untuk cita-cita itu. Untuk menjadi penulis hebat, anda memang perlu melabur. Jika ada kursus atau bengkel penulisan, janganlah kedekut duit, sebaliknya belanjakanlah sedikit.
Pandulah kereta penulisan itu laju ke hadapan. Ini tidaklah pula bermakna anda tidak perlu menggunakan cermin
belakang. Pastikan masa hadapan yang selamat dan cemerlang dengan sesekali melihat cermin belakang itu
Ahli Teori Fizik Stephen Hawking (1942-2018) pernah menyebut, "Betapa sulit hidup sekalipun, selalu ada sesuatu yang dapat kamu lakukan dan berhasil daripadanya." Orang alim ada memberitahu kita supaya jangan takut apa yang akan berlaku dan janganlah bersedih ke atas apa yang telah berlalu. Luncurlah menulis, janganlah melakukan kesilapan yang sama. Terperosok ke dalam lubang ketika meluncur tidak mengapa, asalkan lubang itu bukan lubang yang tidak boleh keluar lagi.
Jika rencana anda telah beberapa kali ditolak disebabkan anda masih lagi melakukan kesilapan yang sama, itu watak orang yang tidak bijak. Penulisan akan mati katak, kalau ejaan dan tanda bacaan pun "koyak" dan lintang pukang. Termasuk ke dalam lubang itu hal biasa. Masuk banyak lubang juga mungkin biasa bagi kes orang tertentu. Namun, masuk lubang yang sama berkali-kali itu sememangnya masalah besar.
Kesimpulan
SEBENARNYA memang banyak perkara yang boleh ditulis. Selain daripada bidang kepakaran, pengalaman hidup dan imaginasi kreatif juga boleh dijadikan sumber menulis itu. Walau bagaimana pun anda tidak akan puas dalam hidup ini jika anda tidak menulis topik yang benar-benar diminati. Menulislah berdasarkan apa yang terpahat dalam hati dan kemudian lontarkannya dalam bentuk tulisan.
Tidak dapat tidak seorang itu tidak akan dapat menulis dengan baik jika tidak banyak membaca. Anda mungkin mempunyai ratusan pengalaman hidup yang banyak dan minat yang sangat dalam terhadap sesuatu topik, namun tanpa membaca anda tidak dapat tahu tentang teknik penulisan ada dan bagaimana orang lain menulis. Dalam bab selanjutnya dibincangkan beberapa teknik penulisan seperti penulisan beranalogi dan beremosi.
Ulasan
Catat Ulasan