PENDIDIKAN TIDAK MENJAMIN KEKAYAAN
Dewasa ini, peningkatan kos sara hidup saban hari menyebabkan manusia bekerja keras untuk mencari sebanyak mungkin wang bagi menyara kehidupan yang penuh pancaroba. Ada yang bekerja di dalam sektor kerajaan, semi kerajaan, swasta dan ada juga yang bekerja sendiri.
Seperti yang diketahui, pekerjaan dan pendidikan mempunyai hubungan yang erat kerana tanpa pendidikan seseorang itu tidak akan mendapat pekerjaan yang sewajarnya. Oleh itu, pendidikan sangat dititikberatkan sejak zaman dahulu lagi kerana pendidikan formal diberi keutamaan sebagai satu daripada modal untuk mendapatkan pekerjaan. Bahkan telah menjadi keinginan setiap ibu bapa melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang menjamin masa hadapan.
"Tak Belajar Tinggi pun Boleh Kaya"?
Meniti realiti kehidupan yang terjadi pada masa ini sangat mengecewakan apabila pendidikan mula dipertikaikan sebagai usaha yang sia-sia untuk mendapatkan pekerjaan dan kemewahan secara mutlak. Tidak dapat dinafikan bahawa taraf pendidikan tidak sepenuhnya dapat menjamin seseorang untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara mudah. Tambahan pula, isu lambakan graduan yang menganggur bukanlah sesuatu yang baharu. Maka itu, tidak hairanlah jika keadaan ini menimbulkan spekulasi yang kurang enak didengar serta menuai perdebatan tentang kepentingan pendidikan. Penyataan seperti "keluar universiti, belum tentu ada peluang kerja menanti", atau "tak bijak pun tidak mengapa, janji kaya", yang dikeluarkan oleh segelintir orang menunjukkan pendidikan mula dianggap sebagai enteng dalam kalangan masyarakat setempat.
Kini, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) banyak mewujudkan peluang pekerjaan, sama ada secara maya atau ekonomi gig, seperti menjadi penulis bebas, penjual dalam talian dan pencipta kandungan, Penangan pandemik COVID-19 suatu ketika dahulu merancakkan lagi penggunaan media sosial untuk tujuan menjana pendapatan dan mendapat sambutan daripada seluruh masyarakat dunia kerana bersifat luas tanpa mementingkan taraf pendidikan individu. Proses kerja yang mudah, tiada batas waktu serta menjanjikan gaji yang lumayan menarik perhatian orang ramai untuk mengambil peluang bagi mengumpul kemewahan menggunakan pelbagai platform sosial media. Sudah menjadi lumrah manusia untuk lebih kepada melakukan sesuatu yang mudah dan tidak suka akan cabaran. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang negatif memandangkan negara kita melahirkan banyak e-usahawan terkenal, termasuklah pencipta kandungan profesional dan pempengaruh yang berjaya. Golongan ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat tentang faedah media sosial dari aspek menjana pendapatan, khususnya kepada golongan penganggur.
Meskipun begitu, terdapat segelintir masyarakat mencetuskan provokasi terhadap kepentingan pendidikan. Sejak kebelakangan ini, bagaikan sudah menjadi trend penceritaan bagi orang yang berjaya dan hidup mewah berbangga dengan kejayaan yang dimiliki walaupun tanpa sijil kelayakan akademik seolah-olah menggambarkan diri mereka adalah definisi sebenar kejayaan. Mereka dengan lantangnya menyatakan bahawa pencapian akademik bukanlah penentu masa depan seseorang itu.
Secara umumnya, mungkin individu tersebut hanya berniat untuk memberikan motivasi kepada orang lain supaya tidak berputus asa sekiranya menghadapi kegagalan dalam akademik, namun mereka tidak sewajarnya memanipulasikan minda generasi muda bahawa pendidikan itu tidak memberikan manfaat terhadap kehidupan seseorang.
Timbul persoalan, bagaimanakah kenyataan itu boleh dikeluarkan oleh seseorang yang berada di kemuncak kejayaan hidup? Apakah tujuan mereka sehingga tergamak meletakkan ilmu dan pelajaran pada tahap sedemikian? Maka itu, tidak hairanlah wujud sebahagian masyarakat yang mula berangan-angan untuk "kaya segera" sehingga lupa tentang realiti kehidupan yang tidak semulus angan-angan.
Memilih Populariti Berbanding dengan Pendidikan.
Melihat situasi sekarang, jelas bahawa pada usia muda lagi terdapat golongan yang mampu menjana pendapatan sendiri hasil daripada menjadi pencipta kandungan dan pempengaruh dalam pelbagai saluran media sosial. Dengan bakat yang ada seperti menyanyi, menari dan berlakon akan memudahkan mereka untuk mendapatkan jumlah tanda suka, tontonan dan pengikut yang banyak. Bahkan, mereka mampu memperoleh pendapatan sendiri dan menjadi lebih dikenali dalam kalangan pengguna media sosial.
Tanpa sedar, populariti yang dimiliki membuatkan mereka terleka dan terpengaruh dalam gaya hidup mewah, materialistik dan mementingkan aspek fizikal semata-mata. Biarpun kandungan yang dihasilkan ini bersifat kontroversi, namun demi wang dan populariti mereka membuang perasaan malu dan bertindak tanpa berfikir panjang. Buktinya, setiap hari pasti kelihatan kandungan "murahan" yang tidak masuk akal tular dalam media sosial. Pada awalnya, mereka tetap menjadi idola dan pujaan bagi sebahagian masyarakat. Mengapakah hal ini berlaku? Adakah disebabkan oleh harta, kekayaan, kemasyhuran dan rupa yang mereka miliki?
Susulan daripada itu, mereka mula tidak berminat lagi untuk meneruskan pelajaran memandangkan kemungkinan untuk mendapat peluang pekerjaan selepas tamat pengajian adalah tipis. Pada akhirnya, media sosial dijadikan sebagai "matlamat, akhir" untuk meraih kejayaan berbanding dengan berlumba-lumba menjejakkan kaki ke menara gading. Natijahnya, keadaan ini akan berterusan dari satu generasi ke generasi seterusnya sekiranya mentaliti itu dinormalisasikan.
Berbanding dengan individu yang berpendidikan dan mempunyai ilmu yang luas, mereka akan mengutamakan nilai dan kualiti sesuatu kandungan dengan harapan dapat membawa manfaat kepada masyarakat. Jelaslah bahawa orang yang berpendidikan akan meletakkan harga diri dan kemampuan mereka berada setingkat lebih tinggi daripada orang lain. Populariti dan kemewahan pastinya akan malap, bahkan lenyap dalam sekelip mata, sebaliknya orang yang berpendidikan akan selalu mendapat peluang untuk menonjolkan diri dalam mana-mana bidang yang ingin diceburi berbekalkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari. Dengan kata lain, pendidikan akan menjadi harta yang abadi dan tidak ternilai dalam hidup kita pada saat orang lain kehilangan sesuatu yang paling mereka sanjungi, iaitu kemasyhuran dan kemewahan kerana populariti dan kemewahan seolah-olah menjadi rebutan generasi kini berbanding dengan individu yang melanjutkan pendidikan di institut pengajian tinggi.
Pada tahun 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa 72 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran. Keadaan ini sangat membimbangkan banyak pihak yang berusaha menerapkan ilmu pendidikan dalam setiap lapisan masyarakat agar mencintai pendidikan dan menyedari kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Lebih mengecewakan lagi, apabila kita terpaksa menerima kenyataan bahawa universiti bukan lagi menjadi idaman sebagaimana impian generasi dahulu.
Kejarlah Pendidikan Hingga ke Hujung Dunia
Pendidikan bukanlah sekadar satu persediaan untuk mendapatkan pekerjaan semata-mata, malah turut menjadi senjata yang paling utuh untuk mengubah dunia dan membina peradaban manusia. Oleh itu, pendidikan sangat penting kepada seseorang dalam mengenal erti kehidupan yang hakiki, mengasah kemahiran, meningkatkan jati diri, mendidik etika dan mengasuh jiwa. Selain itu, maju atau mundurnya sesebuah peradaban manusia adalah bergantung kepada kualiti individu dan masyarakatnya yang diukur melalui penguasaan terhadap ilmu pengetahuan, serta teknologi.
Benar, pendidikan adalah suatu perjalanan yang panjang dan sukar, tetapi pada akhirnya akan mendatangkan limpahan manfaat dalam kehidupan kita. Bahkan sebagai rakyat Malaysia, kita ditekankan untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat demi memperbaik kehidupan kita menerusi peningkatan kemahiran kerja, sahsiah diri dan penambahan ilmu pengetahuan. Pelbagai pusat atau institusi kemahiran dan akademik telah disediakan dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dan berminda kelas pertama. Sekiranya pendidikan semakin tidak mendapat tempat di hati masyarakat, bagaimanakah penilaian orang luar terhadap kurangnya golongan cerdik pandai, terutamanya, tenaga kerja profesional dalam kalangan rakyat tempatan kita? Siapakah yang akan memimpin negara pada kemudian hari?
Sebagai masyarakat yang berfikiran positif dan berpandangan jauh, kita haruslah mengubah mentaliti yang sedemikian kerana pernyataan sebegitu akan memberikan impak negatif terhadap pandangan anak-anak muda terhadap pendidikan. Jangan pernah dilaungkan perkataan "pelajaran tidak penting". Penghinaan terhadap pelajaran seumpama mencerminkan peribadi dan mentaliti seseorang yang tidak berkualiti. Sebagai manusia yang menginginkan perubahan dalam diri, ilmu haruslah digali dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa walau sehebat atau sepandai mana pun diri seseorang itu. Walau setinggi mana pun harta kekayaan, seandainya tiada ilmu yang mencukupi, harta yang banyak juga sukar untuk dikendalikan. Ingatlah, kekayaan tanpa ilmu pendidikan tidak akan bermakna kerana orang yang berilmu itu akan selalu "bercahaya walau di mana-manapun mereka berada.
Ulasan
Catat Ulasan